Mana-mana kamus biasanya akan dikemaskini setiap beberapa tahun untuk ditambah atau disunting isi kandungannya, termasuklah kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Oxford English Dictionary.
Suntingan ini perlu dilakukan sekiranya terdapat pertambahan perkataan atau frasa ataupun suntingan terhadap definisi sesuatu perkataan. Sekiranya anda merupakan seorang penulis, maka amatlah digalakkan untuk mendapatkan edisi terbaru kamus kerana ianya lebih tepat.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada bulan April yang lalu, para penyunting Oxford English Dictionary melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Selama 20 tahun sebelumnya, mereka telah mengeluarkan kemas kini setiap suku tahun untuk mengumumkan kata-kata dan makna baru yang dipilih untuk dimasukkan. Kemas kini ini biasanya tersedia pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.
Namun, pada akhir musim bunga dan sekali lagi pada bulan Julai, para penyunting kamus ini telah mengeluarkan kemas kini khas dengan alasan perlunya perubahan ini untuk mendokumentasikan perubahan kesan pandemik COVID-19 terhadap bahasa Inggeris.
Walaupun para penyunting ini telah mendokumentasikan banyak perubahan linguistik yang berkaitan dengan koronavirus, terdapat beberapa pemerhatian mereka yang mengejutkan. Mereka mendakwa, misalnya, bahawa wabak itu telah menghasilkan satu kata yang benar-benar baru, iaitu akronim "COVID-19".
Sebilangan besar perubahan yang berkaitan dengan koronavirus yang diperhatikan oleh penyunting berkaitan dengan kata-kata dan frasa yang lebih lama dan lebih jelas yang dilampirkan ke penggunaan umum, seperti "reproduction number" dan "social distancing". Mereka juga mendokumentasikan penciptaan gabungan kata baru berdasarkan kosa kata yang ada sebelumnya.
Sejarah Oxford English Dictionary
Oxford English Dictionary mempunyai hasrat besar untuk menjadi sebuah catatan mengenai bahasa Inggeris dan sejarahnya yang paling luas dan lengkap.
Pada tahun 1884, bahagian daripada edisi pertama diterbitkan. Ia tidak diselesaikan sehinggalah tahun 1928. Selama bertahun-tahun berikutnya, jilid tambahan kata-kata baru diterbitkan untuk melengkapkan edisi pertama dan kemudiannya disatukan ke dalam edisi kedua yang muncul pada tahun 1989. Edisi kedua ini adalah versi yang akan anda dapati di kebanyakan perpustakaan .
Cetakan digital dalam bentuk CD-ROM telah diterbitkan kemudiannya pada tahun 1992. Pada bulan Mac 2000, kamus versi dalam talian telah dilancarkan. Untuk edisi baru ini, para penyunting telah menyemak semula definisi yang berasal dari edisi pertama yang dalam kebanyakan kes sudah berusia lebih dari satu abad.
Oleh kerana saiznya yang terlalu besar, edisi ketiga ini tidak akan diterbitkan dalam edisi cetakan dan mungkin tidak akan selesai sehingga tahun 2034. Pada masa yang sama, para penyunting terus mendokumentasikan bahasa ketika ia berkembang, berubah dan terus berevolusi. Kemas kini setiap suku tahun turut mengeluarkan senarai kata dan penyemakan baru.
Pertambahan perkataan baru
Kemas kini khusus yang berkaitan dengan koronavirus memberi kita gambaran bagaimana bahasa dapat berubah dengan cepat dalam menghadapi gangguan sosial dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya. Sebagai contoh, salah satu kesan pandemik ialah membawa istilah perubatan yang sebelumnya tidak jelas ke penggunaan umum dalam pertuturan seharian.
Secara tradisinya, penyunting kamus hanya akan menyenaraikan istilah saintifik dan teknikal hanya jika perkataan-perkataan tersebut cukup popular digunakan di luar disiplin mereka. Perkara ini biasa berlaku untuk kes nama-nama ubat, kerana terdapat ribuan nama ubat-ubatan yang wujud.
Contohnya, anda akan melihat Ritalin dan Oxycontin dalam kamus, tetapi anda tidak akan melihat Aripiprazole. Alasannya mudah, Aripiprazole hanya diketahui oleh segelintir individu tertentu terutamanya dalam bidang perubatan dan tidak popular dalam kalangan orang awam.
Walau bagaimanapun, wabak ini telah menyaksikan sekurang-kurangnya dua nama ubat memasuki wacana umum. Hydroxychloroquine, ubat rawatan malaria yang didakwa oleh beberapa orang sebagai ubat ajaib terhadap virus COVID-19, telah ditambahkan ke Oxford English Dictionary pada bulan Julai, walaupun nama ubat itu telah digunakann dalam media cetak pada awal tahun 1951 lagi.
Satu lagi ubat yang terkenal ialah dexamethasone, ubat yang telah mengurangkan kadar kematian COVID-19. Ia sebenarnya telah wujud dalam media cetak seawal 1958 dan dimasukkan dalam edisi kedua kamus. Dalam kemaskini bulan Julai, para penyunting memberikan petikan yang menggambarkan penggunaan ubat ini untuk memerangi koronavirus.
Kemaskini ini juga merangkumi petikan baru untuk istilah seperti "community transmission" yang telah digunakan sejak tahun 1959 dan "community spread" yang pertama kali didokumentasikan dalam media cetak pada tahun 1903.
Perubahan pemahaman mengenai kuarantin
Istilah-istilah yang berkaitan dengan pengasingan sosial sudah lama wujud sebelum wabak COVID-19, tetapi istilah tersebut menjadi lebih umum pada tahun 2020.
Perkataan "self-isolate", "self-isolated" and "shelter in place" kesemuanya mendapat definisi baru untuk menggambarkan penggunaannya sekarang. Beberapa istilah juga telah melihat perubahan makna. Pada asalnya, "shelter in place" merujuk kepada mencari keselamatan semasa peristiwa seperti angin puting beliung atau serangan penembak aktif. Kini, ia digunakan untuk merujuk kepada pengasingan sosial yang berpanjangan.
Beberapa perbezaan berdasarkan kawasan juga muncul dalam musim COVID-19. Perkataan "self-isolate" adalah istilah yang lebih banyak dipakai oleh penutur bahasa Inggeris British, sedangkan "self-quarantine" lebih banyak digunakan di Amerika Syarikat.
Perkataan "Rona" atau "the rona" juga banyak digunakan sebagai slanga untuk koronavirus di Amerika Syarikat dan Australia, tetapi penyunting kamus tidak mendokumentasikan penggunaannya yang cukup luas untuk menjamin kemasukannya ke dalam daftar bahasa perkataan baru.
‘COVID’ or ‘Covid’?
Dan bagaimana dengan perkataan "COVID-19" itu sendiri?
Menurut para penyunting Oxford English Dictionary, ia pertama kali muncul dalam laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Februari sebagai singkatan untuk "coronavirus disease 2019".
Tetapi adakah perkataan ini perlu ditulis sebagai "COVID-19" atau sebagai "Covid-19"? Penyunting kamus turut melaporkan terdapat perbezaan penggunaan perkataan mengikut kawasan untuk istilah ini juga. Penggunaan "COVID" lebih dominan di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia sementara "Covid" lebih dominan di UK, Ireland, New Zealand dan Afrika Selatan.
Namun, disebabkan Oxford English Dictionary disunting dan diterbitkan di England, maka perkataan yang lebih dominan di British lebih diutamakan. Dalam kamus dalam talian, perkataan ini muncul di bawah tajuk "Covid-19".
Krisis kesihatan sebelumnya juga melahirkan akronim dan terminologi baru. Hampir 40 tahun yang lalu, istilah AIDS dan HIV memasuki bahasa Inggeris. Namun, akronim ini tidak muncul dalam kamus sehingga edisi kedua diterbitkan pada akhir 1980-an.
Perkataan-perkataan yang dipertimbangkan
Selain itu, pandemik COVID-19 menyaksikan kewujudan perkataan-perkataan baru hasil gabungan dengan perkataan lain. Contohnya, "maskne", jerawat yang disebabkan oleh pemakaian penutup muka, "Zoombombing" iaitu gangguan orang asing dalam persidangan video dan "quarantini" iaitu koktail yang diminum ketika berada dalam isolasi.
Perkataan baru yang terhasil daripada gabungan 2 perkataan termasuklah "covidiot" untuk seseorang yang mengabaikan cadangan keselamatan awam, "doomscrolling" yang berlaku apabila anda membaca cerita berkaitan wabak yang menimbulkan kegelisahan pada telefon pintar anda dan istilah Jerman "hamsterkauf" iaitu pembelian panik.
Kewujudan teknologi pada masa kini amat membantu para penyunting ini dalam mengemaskan kamus sedia ada. Dengan membuat kemas kini secara dalam talian, para penyunting dapat mengesan perubahan bahasa secara nyata dan para penutur bahasa Inggeris tidak lagi perlu risau mereka menyalahgunakan perkataan kerana semuanya boleh disemak secara dalam talian.
Kredit: