Kredit foto: Instagram Nabil
Pengacara, Ahmad Nabil Ahmad, 34, menganggap kritikan netizen terhadap cara pemakaian isterinya, Zira atau Nazirah Ayub sebagai sesuatu yang tidak mustahak.
“Zaman sekarang, apa yang kita buat atau pakai, orang tetap akan bercakap. Netizen memang gemar menulis sesuatu yang mereka suka,” kata Nabil dalam laporan Harian Metro.
Pernah menyiasat profil netizen yang mengkritiknya, Nabil mendedahkan mereka yang mengutuk itu juga sebenarnya lebih teruk.
“Kadang-kadang, ada profil yang saya buka, gambar mereka pun tak senonoh. Pernah sekali saya buka profil netizen di Twitter dan perbincangan mereka adalah mengenai perkara lucah,” katanya.
Begitupun, Nabil mahupun isterinya enggan menilai kehidupan orang lain kerana menyedari mereka mempunyai anak yang sedang membesar.
“Saya dan Zira adalah orang yang sentiasa berfikiran positif. Saya tak suka bercakap pasal orang lain kerana anak-anak saya sedang membesar. Saya tak mahu nanti kalau apa yang saya katakan, akan kena kepada anak-anak saya,” katanya.
Baginya, lebih banyak isu lain di luar sana yang lebih penting untuk didebatkan.
“Kalau artis yang mereka minat berbogel sekali pun, tetap akan nampak sopan dan tak salah di mata mereka.
“Banyak lagi hal lain yang boleh mereka bincangkan contohnya, isu lelaki berpakaian wanita. Kenapa mereka menyokong dan tidak perdebatkan?” soalnya.
Dalam pada itu, Nabil meminta agar netizen mendoakan yang terbaik buat isterinya.
“Kepada netizen-netizen yang suka menulis kecaman dan komen negatif, apa kata sama-sama doakan supaya saya dan isteri dibuka pintu hidayah buat kami. Itu lebih baik,” katanya.
Terdahulu, gambar dimuat naik Zira di laman Instagram mendapat kritikan hebat netizen.
Foto itu memaparkan Zira bergambar di sisi Nabil sambil berpakaian mencolok mata.
Sumber berita: Harian Metro