Kredit foto: Instagram Nabil Ahmad
Hos dan pelawak, Nabil Ahmad mendedahkan dirinya kini sedang giat mendalami ilmu agama, serta berkawan rapat dengan mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang berkenaan.
Menurut Nabil, niat berhijrah ke arah kebaikan tercetus angkara sebuah video yang ditontonnya berkisarkan hari kiamat.
"Pada mulanya, saya menonton video ceramah agama mengenai hari kiamat. Dalam video ceramah yang disampaikan oleh penceramah bernama Ustaz Zulkifli itu, ia berkisar mengenai tanda-tanda akhir zaman dan sebagainya.
"Perlahan-lahan, saya mula sedar bahawa usia dunia kita sudah tidak lama. Semua yang kita ada sekarang hanyalah pinjaman semata-mata," katanya kepada portal Harian Metro.
Mencari rezeki dalam bidang hiburan, umpama anak seni yang lain, Nabil sedar akan persepsi sesetengah pihak yang beranggapan kerjaya itu menjadi kesukaran untuknya berhijrah.
Kredit foto: Instagram Nabil Ahmad
"Kerja adalah kerja kerana dari situ, saya menjana pendapatan. Tapi di luar waktu kerja, itu antara saya dengan Allah," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, hos Meletop ini bersyukur selepas dimaklumkan isterinya mempunyai niat untuk mengenakan tudung.
Cuma saat disuakan hasrat itu, Nabil berkata, dia menyeru agar wanita itu berniat ikhlas dan tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam bidang perniagaan.
"Zira ada memaklumkan kepada saya mengenai keinginan untuk bertudung. Saya pesan, jangan bertudung untuk tujuan lain seperti perniagaan dan sebagainya.
"Saya mohon kepada semua agar mendoakan kami sekeluarga supaya menemui jalan mudah untuk mendekati ilmu agama di samping menjalani tugas sebagai hamba-Nya," katanya.
Nabil turut berkata, dengan motif dakwah, dia tidak lokek berkongsi ilmu baharu yang dipelajari untuk manfaat teman-teman sekeliling.
"Saya tak reti nak berdakwah atau apa. Tapi, cara saya, mainkan video terbabit dan kongsikan apa yang saya tahu," katanya.