Anda tidak perlu mempunyai masalah aerophobia (ketakutan untuk terbang atau berada dalam pesawat) untuk memikirkan soal keselamatan semasa menaiki sesebuah pesawat. Walaupun kemajuan teknologi telah menjadikan perjalanan udara lebih selamat, anda pasti akan terasa sedikit takut atau gusar apabila pesawat yang dinaiki bergelora di udara.

Dalam keadaan itu, penumpang biasanya akan mengetatkan tali pinggang keledar masing-masing sambil memegang erat tempat letak tangan. Semua pesanan yang diberikan atenden sebelum pesawat berlepas kembali bermain di fikiran anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika itu barulah anda perasan bahawa pesawat yang anda naiki dilengkapi dengan jaket keselamatan tetapi bukannya payung terjun kecemasan. Secara logiknya, bukankah payung terjun lebih selamat?

Seperti pesawat tentera atau jet pejuang, payung terjun kecemasan disediakan bagi penumpang sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal. Dalam keadaan itu, melompat keluar dari pesawat mungkin satu-satunya pilihan yang ada.

payung terjun tentera

Sebaliknya, pesawat komersial seperti Boeing 737 membawa kira-kira 200 orang penumpang. Berpuluh-puluh ribu penumpang menggunakan pesawat komersial untuk sampai ke destinasi yang dituju. Jadi, mengapakah syarikat penerbangan tidak menyediakan payung terjun kecemasan?

Sebenarnya, terdapat beberapa sebab yang baik mengapa mereka berbuat demikian. Berikut adalah sebab mengapa pesawat komersial tidak menyediakan payung terjun kecemasan.

Kebanyakan penumpang tidak mempunyai latihan asas

latihan skydiving

Hollywood membuatkan kita percaya bahawa melompat keluar dari kapal terbang adalah mudah dan hanya memerlukan keberanian. Realitinya, penggunaan payung terjun amatlah rumit dan memerlukan latihan profesional selama berjam-jam.

Dalam terjunan paling mudah seperti skydiving tandem (di mana anda diikat pada seorang pakar sepanjang terjunan) sekalipun, anda memerlukan sekurang-kurangnya satu jam latihan. Manakala Accelerated freefall (AFF) adalah terjunan paling berisiko.

kenapa kapal terbang awam tak sediakan payung terjun

Terjunan AFF ini memerlukan anda berada pada ketinggian 10,000 kaki (3048 meter) hingga 13,000 kaki (3962 meter) di udara. Semestinya, ia memerlukan latihan khusus yang lebih lama.

Tambahan pula, melompat dari pesawat dalam kecemasan adalah berbeza sama sekali dengan terjunan udara yang mempunyai persiapan rapi. Satu melibatkan hidup dan mati dan satu lagi adalah sejenis sukan (walaupun sangat berisiko).

latihan payung terjun tentera

Dalam terjunan yang dirancang, penerjun tahu di mana dan bila mereka perlu terjun. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan jika ada sedikit perubahan dalam keadaan cuaca, semua yang dirancang boleh dibatalkan.

Sebaliknya, penumpang pesawat komersial tidak bersedia untuk melompat. Malah, orang yang menerima latihan juga kadang-kadang sukar untuk melakukan lompatan seperti yang dirancang. Dalam keadaan kecemasan itu, semua penumpang akan menjadi panik dan ketakutan. Ini sebabnya terjunan bebas tidak praktikal.

Pesawat komersial tidak direka untuk terjunan udara

pesawat tentera

Biasanya, pesawat yang digunakan untuk terjunan udara adalah lebih kecil berbanding pesawat komersial. Bagi pesawat tentera pula, ia lebih besar dan mempunyai pintu di bahagian belakang pesawat. 

Penerjun menggunakan tanjakan ini untuk melompat dengan lebih selamat dan mengelak daripada terkena sebarang bahagian pesawat. Pesawat komersial tidak mempunyai ciri-ciri ini untuk penerjun. Disebabkan itu, terjun dari pesawat komersial adalah sangat berisiko kerana penerjun boleh berlanggar dengan sayap atau ekor pesawat.

Pesawat komersial terbang lebih tinggi dan lebih laju

malaysia airlines 102

Seperti yang dinyatakan, terjunan udara biasanya dirancang dengan teliti dan ketinggian lompatan adalah salah satu perkara paling penting. Biasanya, skydiving dilakukan pada ketinggian 15,000 hingga 16,000 kaki (4572 hingga 4876 meter).

Pesawat komersial pula biasanya terbang pada ketinggian 35,000 kaki (10.6km) dari tanah. Pada ketinggian ini, suhu berapa di paras yang sangat rendah dan membuatkan penerjun sukar untuk bernafas.

Jika penumpang pesawat komersial berjaya melompat keluar dengan selamat, mereka memerlukan pelbagai peralatan seperti alat pernafasan, peralatan altitud tinggi, silinder oksigen, altimeter, topi keledar dan sut penerbangan. Tanpa semua peralatan ini, mereka mungkin akan pengsan akibat kekurangan udara. 

peralatan skydiving altitud tinggi

Kelajuan kapal terbang komersial juga membuatkan terjunan udara hampir mustahil. Apabila terbang pada paras tinggi, Boeing 737 boleh mencapai kelajuan 600 batu (965 km) sejam.

Pengawal trafik udara adalah orang yang menetapkan kelajuan dan ketinggian sesebuah pesawat. Biasanya, penerbangan yang mengambil masa lama akan terbang lebih tinggi sekitar 35,000 hingga 39,000 kaki. Melompat keluar dari ketinggian dan kelajuan ini sudah cukup untuk membunuh penerjun.

Peralatan payung terjun sangat mahal dan memakan ruang

peralatan payung terjun

Satu payung terjun sahaja sudah cukup untuk dimuatkan di bawah kerusi penumpang kelas ekonomi. Peralatan payung terjun juga agak berat. Oleh itu, syarikat penerbangan memerlukan ruang tambahan bagi menampung payung terjun yang mencukupi untuk semua penumpang.

Anda pasti tahu betapa cerewetnya syarikat mengenai berat bagasi terutamanya bagasi kabin yang disimpan di atas tempat duduk. Bayangkan penambahan payung terjun dan peralatan yang secukupnya untuk semua penumpang. Berat keseluruhan pesawat dengan mudah bertambah sebanyak sehingga 3,000 kg.

Selain itu, payung terjun dan peralatannya juga agak mahal. Ini bermakna syarikat perlu berbelanja lebih. Kemungkinan besar kos itu akan diserapkan sebagai kos tambahan kepada harga tiket penerbangan yang sememangnya lebih mahal berbanding pengangkutan awam lain.

Kebanyakan kemalangan berlaku semasa berlepas dan mendarat

kemalangan pesawat mendarat

Secara statistiknya, kebanyakan kemalangan pesawat berlaku ketika berlepas dan mendarat. Dari tahun 2003 hingga 2012, hanya 9% daripada semua kemalangan maut melibatkan pesawat pada altitud tinggi. Selain itu, kemalangan pesawat juga boleh berlaku akibat ribut petir.

Jelas bahawa payung terjun tidak berguna dalam kemalangan yang berlaku semasa berlepas dan mendarat. Lebih berbahaya untuk menggunakan payung terjun dalam keadaan ribut petir. Penerjun terlatih juga tidak berani mencubanya.

Mempunyai payung terjun kecemasan di atas pesawat komersial mungkin kedengaran seperti satu cadangan yang baik. Setelah melihat logistiknya, payung terjun tidaklah begitu praktikal atau berguna bagi penumpang pesawat komersial.

Rujukan:

1. Mengapa pesawat komersial tidak menyediakan payung terjun

2. Adakah payung terjun praktikal bagi penumpang pesawat komersial

3. Sebab mengapa syarikat penerbangan komersial tidak membekalkan payung terjun kecemasan




Hakcipta iluminasi.com (2017)