Pada zaman sekarang, menaiki pesawat adalah perkara mudah dan anda boleh terbang ke mana sahaja yang diingini asalkan anda mempunyai wang yang cukup. Sejak Wright bersaudara memulakan penerbangan pertama mereka 115 tahun yang lalu, pelbagai eksperimen penting telah dilakukan dalam dunia penerbangan.

Sebahagian pencapaian dalam eksperimen penerbangan telah menjadi tolok ukur kepada dunia penerbangan sekarang dan sebahagian yang lain pula dilihat sebagai percubaan pelik dan unik. Berikut adalah beberapa pesawat yang dibina dalam eksperimen pelik yang dilakukan dunia penerbangan demi mencapai kemajuan yang kita kecapi hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Aerodyne

the aerodyne

Aerodyne adalah salah satu pesawat yang paling pelik pernah dibangunkan. Pesawat Aerodyne ini dibangunkan oleh Alexander Lippisch, seorang pelarian Nazi Jerman. Seperti kebanyakan pelarian Jerman yang lain, mereka membantu Amerika Syarikat untuk memenangi dua perperangan penting iaitu Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin.

Secara fizikalnya pesawat Aerodyne ini kelihatan seakan-akan pembesar suara gergasi dan mempunyai dua kipas paksi bersama, bagi menghasilkan kuasa apungan dan pecutan. Beberapa jenis jet pejuang yang digunakan sejak 1970-an sehingga kini telah mengambil prinsip rekaan Lippisch sebagai inspirasi.

7. Roket berputar

roket berputar

Roket berputar adalah salah satu jentera pelik yang pernah dicipta dalam dunia penerbangan. Jentera yang berbentuk seperti jidal (alat yang diletakkan pada jari untuk kegunaan menjahit) ini dipasang dengan empat bilah pemutar berdiameter besar di atasnya. Pada setiap bilah pemutar ini terdapat "enjin roket cecair propelan" yang diletakkan secara strategik di setiap hujung bilah.

Roket berputar ini telah dicipta oleh Gary Hudson dan Bevin McKinney pada penghujung tahun 1990-an. Hudson yang juga pengasas Syarikat Roket Berputar mencipta jentera ini yang berfungsi seperti helikopter tetapi dapat terbang di kawasan udara berketumpan rendah di mana helikopter tidak praktikal.

6. Aerocycle HZ-1

aerocycle hz 1

Menurut catitan sejarah, jentera Aerocycle HZ-1 ini direka dengan harapan yang tinggi. Sewaktu kemuncak Perang Dingin pada tahun 1950-an, Aerocycle ini telah dicipta oleh Syarikat de Lackner Helicopters dengan tujuan untuk menjadi jentera pemantau asas bagi Tentera Amerika Syarikat.

Walaupun kebanyakan pesawat mempunyai potensi untuk menjadi bencana, tetapi Aerocycle ini jelas kelihatan berbahaya dan menakutkan. Jentera ini gagal menjadi alat pemantau kerana ia berbahaya bagi juruterbang yang perlu berdiri untuk mengawalnya tanpa perlindungan yang betul di atas bilah kipasnya yang berputar laju.

5. Stipa Caproni

stipa caproni

Setakat ini, pesawat Stipa Caproni mungkin merupakan salah satu pesawat paling comel dan kalakar yang pernah dibina dalam dunia penerbangan. Pesawat yang berbentuk seperti tong berongga ini kelihatan seperti sebuah enjin kipas pesawat komersial pada keseluruhannya.

Stipa Caproni merupakan pesawat eksperiman Itali yang dibangunkan ketika era kegemilangan Mussolini pada tahun 1932, direka oleh Luigi Stipa dan dibina oleh Caproni. Pada asalnya ia dibina untuk tujuan kegunaan tentera namun Regia Aeronautica (Tentera Udara Diraja Itali) tidak lagi berminat dalam pembinaan Stipa Caproni ini. Akan tetapi, rekaan pesawat ini menjadi langkah penting dalam pembangunan enjin penggerak.

4. Kaman K-16

kaman k 16

Pesawat Kaman K-16 telah dibina pada tahun 1954 oleh syarikat Kaman Aerospace yang diasaskan oleh Charles Kaman pada tahun 1945. Pesawat ini mempunyai "Rototop" yang berfungsi meningkatkan lagi apungan seperti sebuah helikopter. Pesawat ini direka agar boleh mendarat di darat dan juga dalam air.

Pesawat Kaman K-16 ini telah berjaya pada beberapa siri percubaan penerbangan yang dijalankan di Terowong Angin Ames milik NASA. Namun begitu, pesawat yang dibina untuk Pasukan Navy Amerika Syarikat ini tidak digunakan dengan begitu meluas.

3. Kettering Bug

Sebenarnya, drone atau pesawat tanpa pemandu telah wujud sejak WW1 lagi. Sejak daripada penerbangan pertama yang dilakukan oleh Orville dan Wilbur Wright, industri penerbangan berkembang dengan begitu sekali. Pada tahun 1918, satu projek rahsia oleh kerajaan Amerika telah dijalankan oleh Orville Wright dan Charles F. Kattering untuk membina pesawat tanpa pemandu.

Kemudian, sebuah pesawat kayu yang murah berukuran 12 kaki panjang dan 15 kaki lebar yang diberi nama Kettering Bug berjaya dihasilkan. Dengan menggunakan enjin yang dihasilkan oleh Ford, pesawat tanpa pemandu ini boleh terbang sehingga 120km.

Drone terawal yang dibina ketika perang sedang sengit ini mempunyai satu tujuan, iaitu untuk menjatuhkan bom di kawasan perang atau di pangkalan pihak musuh. Untuk menerbangkan Kettering Bug ini, landasan besi pendek seakan landasan kereta api telah digunakan.

2. Bartini Beriev VVA-14

bartini beriev vva 14

Pesawat Bartini Beriev VVA-14 atau nama penuhnya "Vertikal no-Vzletayuschaya Amphibia" (Pesawat Amfibia Apungan Vertikal) adalah sebuah pesawat yang dibangunkan oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1970-an. Pesawat ini direka agar boleh berlepas dari atas air dan terbang dengan kelajuan tinggi buat jangka masa yang panjang.

Pesawat ini juga sangat efisyen untuk terbang di atas permukaan air dengan menggunakan efek aerodinamik. Pesawat yang direka oleh lelaki kelahiran Itali iaitu Robert Bartini ini bakal digunakan untuk memusnahkan kapal selam Polaris milik Navy Amerika Syarikat.

Setelah kematian Bartini pada tahun 1974, projek pembinaan ini menjadi perlahan dan hampir dibatalkan. Pesawat ini hanya melalui 107 penerbangan dengan keseluruhan 103 jam penerbangan. Pesawat terakhir telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 1987 dan kini dipamerkan di Muzium Tentera Udara Soviet.

1. VZ9 Avrocar

vz9 avrocar

Semasa tahun 1950-an, idea mengenai "piring terbang" atau UFO kerap dipopularkan dalam filem-filem fiksyen sains berkaitan makhluk asing dari dunia lain. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat cuba untuk mencipta piring terbang mereka sendiri.

vz9 avrocar 2

Mereka akhirnya berjaya membangunkan pesawat VZ9 Avrocar, jentera hovercraft pertama yang pernah dibina. Namun, terdapat beberapa isu teknikal yang serius membuatkan pesawat ini tidak digunakan oleh pihak tentera untuk jangka panjang. Salah satunya ialah pesawat ini menghasilkan begitu banyak haba sehingga ia boleh mencairkan peralatan dan instrumennya sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)