Pernah tak anda mengalami situasi ini:
Situasi 1 : Anda berada di Tesco dan anda hendak mengambil troli untuk membawa barang yang akan anda beli. Ketika anda mencapai pada pemegang troli, tangan anda seolah-oleh terkena renjatan elektrik kecil.
Situasi 2 : Anda sedang berjalan-jalan bersama rakan menuju ke eskalator. Ketika anda melangkah naik eskalator, tangan anda tersentuh tangan rakan anda, dan anda tersentak kerana anda merasakan sesuatu seperti renjatan elektrik?
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Ia bermula dengan sebuah atom
Ia dipanggil elektrik statik. Semua yang anda lihat di sekeliling anda terdiri daripada elemen yang dipanggil atom. Caj elektrik dibawa oleh proton dan elektron. Atom-atom ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan proton dikatakan mempunyai caj +1 unit elektron manakala elektron mempunyai caj -1.
Proton tertanam di dalam nukleus atom, dan tidak bebas untuk bergerak dan melompat-lompat seperti elektron. Jadi, apabila kita bercakap mengenai arus elektrik, apa yang dimaksudkan adalah pengaliran elektron, dan elektrik statik bermaksud ketidakseimbangan antara caj negatif dan positif yang ada pada sesuatu objek, apabila caj terbina pada sesuatu objek. Biasanya, atom akan bercaj neutral, yang bermaksud ia mempunyai jumlah proton dan elektron yang sama.
Jadi, apabila seseorang atau sesuatu objek mempunyai elektron berlebihan, ia akan menghasilkan caj negatif. Elektron-elektron ini akan tertarik kepada elektron yang bercaj positif yang terdapat badan atau objek lain. Rasa renjatan kecil yang kita rasa dan juga bunyi "tik tik tik" adalah kesan daripada perpindahan elektron-elektron yang melompat dengan laju kepada orang atau objek lain.
Adakah cuaca mempengaruhi situasi ini?
Ya, elektrik statik selalunya terjadi ketika musim sejuk (di negara luar), cuaca di sekeliling kita kering dan juga jika kita berada di tempat yang bersuhu rendah seperti di pejabat dengan aircond terpasang. Udara yang kering memudahkan pembentukan elektron pada permukaan kulit kita. Ketika musim panas, lembapan air menghapuskan elektron yang bercaj negatif dan kita jarang akan mengalami situasi renjatan kecil ini.
Pengaruh dan kesan elektrik statik dalam kehidupan harian
Elektrik statik sebenarnya adalah perkara biasa dalam kehidupan kita. Ia seperti hidupan yang sentiasa wujud dan mencari keseimbangan apabila caj-cajnya berubah. Sama ada anda merasakan elektrik statik atau tidak dalam seharian anda bergantung kepada aktiviti dan kecenderungan anda untuk membuatkan caj-caj atom pada badan anda berubah.
Salah satu contoh pengaruh elektrik statik yang boleh memberikan impak kepada kehidupan kita, adalah, sebagai contoh, kes kereta terbakar ketika mengisi minyak. Menurut Bob Rankes, naib presiden Petroleum Equipment Institute di Tulsa, Oklahoma, ketika hendak keluar dari kereta untuk mengisi minyak, anda perlu menyentuh badan kereta terlebih dahulu untuk menstabilkan caj yang ada pada badan anda. Ini kerana, ketika anda berada di dalam kereta dan sedang memandu, atau apa sahaja yang dilakukan di dalam kereta boleh menyebabkan perubahan caj pada badan anda akibat pemindahan elektron.
"Sebelum anda mengangkat pam minyak untuk mengisi minyak, terdapat banyak peluang untuk anda lakukan untuk menyahkan caj yang ada pada badan anda. Seperti contoh, sejurus keluar daripada kereta, anda boleh menyentuh badan kereta anda. Lagi, anda mungkin membayar menggunakan kad kredit, jadi anda akan menyentuh kad kredit anda. Bukan itu saja, anda perlu membuka penutup tangki minyak terlebih dahulu, itu juga salah satu peluang anda menstabilkan caj-caj tersebut. Jadi, terdapat banyak peluang untuk anda hilangkan caj pada badan anda, dan anda hanya perlu lakukannya sekali sahaja, untuk memastikan proses mengisi minyak berjalan dengan selamat,"
- Bob Rankes
Ketika anda sedang memegang nozzle dan mengisi minyak, wap-wap yang wujud di dalam paip pam tersebut akan keluar bebas. Dan jika ketika itu masih terdapat ketidakseimbangan caj pada badan anda, elektron akan menyahkan cajnya dengan berpindah kepada apa yang anda sedang sentuh ketika itu, iaitu nozzle minyak tersebut. Caj-caj ini akan menjadi sumber pencucuh kepada wap-wap tadi, yang mana akan mengakibatkan kebakaran.
Namun insiden seperti kebakaran tersebut kini jarang berlaku, kerana menurut Bob, teknologi yang ada kini telah membuatkan kereta lebih canggih dan mengatasi masalah ini. "Kereta-kereta zaman moden ini dilengkapi dengan apa yang dipanggil sistem pemulihan wap. Sistem ini akan menolak wap-wap ke dalam komponen enjin lalu disimpan di dalam tabung karbon dan kemudian dibakar ketika kereta dihidupkan," jelas Bob.
Oleh sebab cuaca mempengaruhi kewujudan ketidakseimbangan caj, kita kurang terdedah kepada bahaya ini kerana cuaca di Malaysia yang panas lembap menyukarkan pembentukan elektron. Namun ianya masih tidak mustahil untuk berlaku.