Oleh pada 27 Jan 2019 kategori

Demam denggi adalah sejenis penyakit yang merebak akibat daripada gigitan oleh nyamuk aedes. Terdapat beberapa simptom penyakit ini antaranya demam panas antara 4 hingga 7 hari, pada hari ke 3 hingga ke 14 selepas digigit nyamuk aedes.

Demam ini juga biasanya diikuti dengan beberapa simptom lain seperti sakit kepala, sakit otot dan sendi badan, ruam merah dan lain-lain. Disebabkan itulah sekiranya anda demam lebih daripada 3 hari, sebaiknya jumpa doktor kerana dikhuatiri mungkin disebabkan demam denggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penyakit ini juga tidak boleh dipandang rendah. Sekiranya tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan saluran darah pecah dan kematian. Paling membimbangkan, kes-kes demam denggi secara puratanya tidak menunjukkan penurunan setiap tahun malah disesetengah kawasan ianya semakin meningkat.

Menyedari akan perkara ini, pelbagai cara dan inisiatif yang dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membendung pembiakan nyamuk aedes. Selain aktiviti fogging secara berkala, kaedah biologi melalui pengenalan spesis nyamuk gajah turut dilakukan.

Nyamuk gajah pemangsa nyamuk aedes

nyamuk gajah

Antara langkah yang diambil oleh kerajaan adalah pengenalan spesis nyamuk Gajah sebagai langkah kawalan biologi bagi bagi membanteras nyamuk denggi. Nyamuk Gajah atau nama saintifiknya Toxorhynchites adalah antara spesis nyamuk terbesar.

Nyamuk ini mampu membesar sehingga mencapai 18mm panjang 24mm lebar. Menariknya, ia adalah salah satu nyamuk yang tidak memerlukan darah untuk meneruskan hidup, berbeza dengan nyamuk aedes dan kebanyakan nyamuk lain.

Nyamuk Gajah bergantung pada makanan tinggi karbohidrat seperti tembikai susu, manisan daripada tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan nektar. Keadaan ini menyebabkan nyamuk ini dianggap tidak merbahaya kepada manusia.

Secara semulajadinya, nyamuk ini biasanya didapati di kawasan hutan, kampung dan luar bandar. Nyamuk ini juga secara umumnya mudah dibezakan dengan spesis nyamuk lain berdasarkan bahagian depannya yang panjang seperti belalai gajah. Mungkin daripada situlah nyamuk ini mendapat namanya.

Kawalan biologi nyamuk aedes

larva nyamuk gajah

Sejak sekian lamanya, nyamuk gajah telah digunakan sebagai satu cara atau kaedah biologi bagi membunuh nyamuk aedes. Nyamuk ini dikatakan berkesan untuk tujuan ini memandangkan ianya juga bersifat kanibal, iaitu memakan nyamuk lain ketika dalam fasa jentik-jentik lagi.

Ketidakbergantungan nyamuk gajah kepada darah juga menjadikan nyamuk ini selamat dan tidak berisiko untuk menyebarkan sebarang penyakit kepada manusia. Sewaktu dalam fasa jentik-jentik, jentik-jentik spesis nyamuk gajah ini akan membunuh dan memakan jentik-jentik nyamuk daripada spesis lain.

Jentik-jentik ini bergantung kepada jentik-jentik lain untuk keperluan protein dan lemaknya. Dalam erti kata lain, jentik-jentik spesis nyamuk gajah akan membunuh jentik-jentik spesis nyamuk lain.

Hal ini berbeza sekali dengan jentik-jentik spesis nyamuk lain yang bergantung kepada mikroorganisma lain dalam air untuk terus hidup. Dengan membunuh jentik-jentik nyamuk aedes ini, sekaligus ianya akan dapat menghalang nyamuk aedes daripada membesar dan kemudiannya menyebarkan penyakit denggi.

Nyamuk gajah mungkin kurang berkesan

nyamuk gajah pembunuh aedes

Keberkesanan penggunaan nyamuk gajah dalam membendung nyamuk aedes dan penyebaran wabak denggi sudah lama menjadi perdebatan. Ada sesetengah pihak beranggapan ianya mungkin kurang sesuati memandangkan perbezaan habitat semulajadi nyamuk gajah ini.

Pendapat ini turut disokong oleh Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nur Aida Hashim yang mengatakan bahawa kaedah penggunaan nyamuk gajah ini bukanlah kaedah yang terbaik menghalang pembiakan nyamuk aedes.

Menurut beliau lagi, sumber makanan utama nyamuk gajah ini adalah manisan daripada tumbuh-tumbuhan hutang yang pastinya sukar diperolehi sekiranya nyamuk ini dibiakkan di kawasan bandar. Kekurangan sumber makanan ini seterusnya akan merencatkan pembiakannya, seterusnya menjadi kurang efektif sebagai pemangsa bagi mengurangkan populasi nyamuk aedes.

fogging

Menurut beliau lagi, sebenarnya kaedah atau cara terbaik untuk menghalang pembiakan nyamuk aedes dan penularan demam denggi adalah sikap manusia itu sendiri. Setiap penduduk di kawasan perumahan seharusnya lebih peka dengan kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi pusat pembiakan nyamuk.

Antaranya kawasan yang menjadi pilihan nyamuk aedes ini adalah kawasan takungan air seperti pasu bunga, timbunan sampah sarap, longkang yang tersumbat dan seumpamanya. Jadikanlah tabiat untuk meluangkan sedikit masa setiap hujung minggu untuk memeriksa persekitaran kawasan rumah bagi memastikan kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pembiakan nyamuk aedes ini dapat dibersihkan.

Kredit:

  1. Berita Harian
  2. USM
  3. Wikipedia
  4. MyHealth



Hakcipta iluminasi.com (2017)