Oleh pada 03 Aug 2019 kategori

Permainan 'Aci Sembunyi'. 'Aci Nusut', 'Sorok-sorok' dan banyak lagi nama lainnya adalah permainan yang sering dimainkan kanak-kanak pada waktu dahulu. Walaupun permainan ini belum menjadi acara sukan Olimpik, namun ada usaha yang sedang dilakukan untuk ke arah itu. Permainan ini sebenarnya cukup popular sehingga memiliki kejuaraan dunia sendiri.

Bermula pada tahun 1960-an sehingga awal tahun 1970-an, Consonno adalah sebuah kawasan perkampungan desa di wilayah Lecco, utara Itali. Kawasan yang mempunyai hutan tebal itu telah ditukar kepada sebuah bandar peranginan yang diberi jolokan "Las Vegas Itali".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kawasan yang melalui pembinaan berperingkat selama bertahun-tahun itu bertukar menjadi taman tema atau taman permainan orang dewasa bagi mereka tinggal di Milan dan bandar-bandar lain yang berdekatan. 

Seorang pemaju hartanah, Count Mario Bagno, adalah orang yang bertanggungjawab membangunkan Consonno. Dia berharap dapat mencipta versi Las Vegas sendiri di Italy.

taman tema tinggal di consonno

Salah satu bangunan tinggal di Consonno

Bagi meneruskan projek yang menjanjikan kemewahan dan peluang pekerjaan itu, Bagno telah menghalau komuniti kecil petani yang telah tinggal di situ untuk beberapa abad lamanya dan memulakan kerja pembinaan.

Sepanjang tahun 1960-an, Badno telah membina koleksi bangunan mewah dan unik di Consonno termasuk hotel mewah, pagoda Cina, menara dan istana abad pertengahan.

Selepas itu dia menambah lagi pelbagai bentuk hiburan seperti landasan kereta api pelancong dan kelab malam. Dia juga berharap dapat menyiapkan zoo, landasan pesawat dan litar lumba di masa hadapan.

bangunan tinggal di consonno

Namun, keseronokan yang terdapat di Consonno hanya bertahan selama lapan tahun sahaja apabila satu kejadian tanah runtuh pada 1976 telah memusnahkan kebanyakan kampung berhampiran dan jalan raya. Kejadian itu telah menghalang akses untuk menuju ke Consonno.

Usaha untuk memulihkan semula kawasan itu tidak pernah berjaya dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja ditelan alam semula jadi. Hari ini, Consonno adalah sebuah bandar tinggal. Gerai-gerai, restoran, hotel dan dewan tarian yang dipenuhi lukisan "graffiti" di situ memberi sedikit gambaran bagaimana zaman kegemilangannya suatu masa dahulu.

peserta sedang bersembunyi

Peserta acara Nascondino World Championship

Akan tetapi, selama beberapa hari dalam bulan September, Consonno sekali lagi menjadi hidup dan dipenuhi aktiviti. Ini kerana, setiap tahun akan diadakan acara Nascondino World Championship (Kejohanan Dunia Sorok-sorok atau Aci Sembunyi) berskala besar di situ sejak 2010.

Pada awalnya, ia bermula sebagai acara tunggal yang dimulakan oleh sebuah syarikat kecil penerbitan majalah Itali, CTRL Magazine. Acara itu mendapat sambutan menggalakkan sehingga ia diadakan setiap tahun dan semakin bertambah besar.

para peserta nascondino sedang bersembunyi

Pada tahun 2017, kejohanan yang masuk tahun ke lapan itu telah berjaya menarik 80 pasukan yang mewakili hampir sedozen negara dari seluruh dunia untuk bersaing di Consonno. Setibanya mereka di sana, para peserta sekali lagi menghidupkan semula zaman muda mereka dengan memainkan permainan kanak-kanak dalam versi yang terbaru.

Pemain akan diberi masa 60 saat untuk mencari tempat persembunyian dan kemudian perlu kembali ke 'tapak rumah' (biasanya sebuah tilam angin khas yang bertanda) sebelum ditangkap oleh pencari atau sebelum kehabisan masa.

peserta menyentuh tapak rumah yang disediakan

Disebabkan kawasan lembah itu yang terbentang luas di kaki bukit Alps, persaingan adalah jauh lebih sukar berbanding permainan Aci Sembunyi dan Sorok-sorok yang anda kenali sewaktu kecil.

Acara Nascondino World Championship 2018 yang sepatutnya berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Semua yuran penyertaan yang dibayar peserta telah dipulangkan sepenuhnya.

seorang peserta di consonno

Penganjur acara, Giorgio Moratti, berkata bahawa apa yang menarik tentang kejohanan ini adalah orang dewasa dapat menjadi anak kecil semula ketika kejohanan berlangsung. Walaupun permainan ini nampak ringkas dan biasa, namun ia adalah sesuatu yang berbeza apabila ia dimainkan oleh orang dewasa.

Moratti juga mendakwa kejohanan dunia ini juga diadakan agar orang ramai dapat merasai sejarah Itali, walaupun apa yang tinggal di Consonno adalah sisa-sisa bangunan yang semakin usang.

Consonno dan sejarahnya memang terkenal di seluruh Itali tetapi Moratti mahu oran ramai untuk mengenali bahagian lain kampung-kampung di situ kerana landskapnya yang luar biasa. Dia mahu mengenengahkan "harta-harta" tersembunyi Consonno.

Pada sebelah malam pula ketika acara Nascondino World Championship berlangsung, festival muzik akan diadakan dengan pertunjukkan daripada beberapa artis dan DJ di beberapa lokasi di sekitar Consonno. Selama beberapa hari dalam setahun, Consonno kembali semula kepada zaman kegemilangannya.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)