Ini adalah kisah mengenai sebuah kampung unik yang terletak di Wilayah Tokushima, Pulau Shikoku. Pulau Shikoku adalah pulau terkecil di antara empat pulau utama di Jepun. Walaupun unik, kampung yang diberi nama Nagoro ini dianggap seram oleh kebanyakan orang.
Sejak sekian lama, ramai penduduk kampung ini telah meninggal dunia atau berhijrah ke bandar seperti Osaka dan Tokyo. Kini, Nagoro hanya mempunyai populasi seramai beberapa puluh orang sahaja.
BESARKAN TEKS A- A+
Apa yang membuatkan kampung ini unik dan seram adalah majoriti "penduduknya" yang terdiri daripada patung bersaiz manusia. Nagoro yang juga digelar "Kampung Patung" ini mempunyai jumlah patung lebih dari 10 kali ganda populasi penduduknya.
Patung-patung ini dihasilkan oleh seorang penduduk asal kampung ini iaitu Ayano Tsukimi yang berpindah semula ke kampungnya pada awal tahun 2000. Dia mewujudkan patung-patung ini untuk mengisi kekosongan dan kesepian di kampungnya.
Nagoro pada asalnya mempunyai sekitar 300 orang penduduk tetapi jumlahnya semakin menurun dari tahun ke tahun. Menurut Ayano, 69, hanya terdapat 27 orang sahaja yang masih tinggal di Kampung Nagoro.
Ayano bersama patung-patungnya
Pada mulanya, Ayano hanya bertujuan untuk menghasilkan patung atau "orang-orang" bagi mencegah burung daripada memakan tanaman di ladangnya. Dia menggunakan pakaian lama bapanya untuk dipakaikan pada patung-patung itu.
Ayano berkata, ada seorang petani lain pernah menegur patungnya itu kerana dia menyangka ia adalah ayah Ayano yang sedang bekerja di ladang. Sejak itu, Ayano tidak pernah berhenti mencipta patung bersaiz manusia.
Setiap patung dihasilkan dengan menggunakan kayu. Kemudian dia akan mengenakan pakaian pada patung itu dan diisi pakaian itu dengan surat khabar lama. Dia menjahit tangan dengan wajah patung menggunakan kain renda manakala bulu digunakan untuk menghasilkan rambut patung.
Untuk menjadikan patungnya lebih cantik, dia mewarnakan bibir dan menyolek pipi patung. Menurut Ayano, dia hanya mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan sebuah patung bersaiz manusia yang kini bertaburan di sekitar kampung.
Di sekolah kampung itu, Ayano meletakkan 12 patung bersaiz kanak-kanak di meja masing-masing dalam kelas seolah-olah mereka sedang belajar. Sekolah itu sebenarnya telah ditutup beberapa tahun yang lalu kerana tiada murid.
Ayano menyatakan perasaan sedihnya kerana di Kampung Nagoro tiada lagi kanak-kanak. Orang termuda yang berada di kampung itu berusia 55 tahun. Dia menempatkan banyak lagi patung di serata kampung seperti di hentian bas, kedai runcit terbengkalai dan beberapa tempat lain.
Walaupun tidak pernah bercakap, patung-patung ini mengingatkan Ayano kepada Nagoro yang pernah dikenalinya. Dahulu, sekitar 300 orang yang tinggal di kampung ini bekerja dalam industri perhutanan dan kerja pembinaan empangan.
Nasib yang menimpa Nagoro ini sebenarnya berlaku di seluruh Jepun. Sebagai negara ekonomi ketiga terbesar dunia, Jepun bergelut dengan masalah penurunan populasi, kadar kelahiran yang rendah dan kebergantungan hidup yang tinggi.
Jepun juga semakin menjurus ke arah negara "warga emas" dunia apabila 28 peratus daripada populasinya adalah individu berusia 65 tahun ke atas. Laporan terkini kerajaan menunjukkan 27.7% peratus daripada 127 juta orang berusia 65 tahun (satu daripada empat orang). Jumlah ini dijangka akan meningkat sehingga 37.7% pada tahun 2050.
Menurut ahli ekonomi di Institut Penyelidikan Jepun, Takumi Fujinami, ramai orang tinggal di kampung-kampung selepas Perang Dunia Kedua apabila perhutanan dan pertanian menjadi pemaju ekonomi utama negara itu. Bermula awal tahun 1960-an, orang-orang muda mula berhijrah ke bandar besar seperti Tokyo.
Ini kerana ekonomi berkembang dengan pesat di Tokyo dan kawasan perindustrian lain ketika itu. Memandangkan peluang pekerjaan dan pendapatan yang besar, ramai anak muda berhijrah keluar dari kampung mereka.
Walaupun Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berjanji untuk menghidupkan semula kawasan-kawasan luar bandar dengan menyalurkan dana berpuluh-puluh billion yen, ia tetap tidak cukup untuk menghentikan orang muda daripada berhijrah ke bandar besar.
Tambah Abe lagi, lebih ramai orang diperlukan untuk berpindah ke kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan populasi tetapi langkah pemulihan ini agak sukar dilakukan.
Pelbagai masalah dan rintangan yang menyukarkan orang muda untuk kembali bekerja di kawasan luar bandar seperti kadar pendapatan yang rendah dan keadaan kerja yang tidak menyeronokkan. Menurut Abe, kebanyakan syarikat-syarikat luar bandar memberikan cuti yang lebih sedikit berbanding di Tokyo.
Walaupun pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan itu tidak membantu penduduk Nagoro bertambah tetapi patung-patung Ayano telah berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Ayano berkata, sebelum dia mula membuat patung-patung itu tiada siapa yang ingin datang ke Nagoro. Kini, ia sering dikunjungi pengunjung dan Ayano berharap kampungnya akan menjadi lebih meriah lagi pada masa hadapan.
Dia tidak tahu berapa lamakah dia masih boleh hidup tetapi selagi mampu, dia tidak akan berhenti menghasilkan patung-patungnya itu.
Rujukan: