Antara sebab sesuatu program kitar semula gagal atau kurang berjaya adalah kerana kesukaran atau lebih tepat lagi kemalasan kita untuk mengasingkan sampah. Memandangkan tidak semua sampah boleh dikitar semula, maka adalah wajib ianya terlebih dahulu diasingkan kepada beberapa jenis seperti plastik, besi, sampah tidak boleh dikitar semula dan lain-lain lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagi memudahkan pengasingan sampah ini, di sesetengah tempat telah disediakan tong sampah yang berlainan warna bagi memudahkan orang ramai mengasingkan sampah. Walau bagaimanapun, di rumah, pengasingan sampah ini biasanya tidak dilakukan.
Menariknya, di sebuah bandar kecil di Jepun iaitu Kamikatsu, mengasingkan sampah merupakan perkara wajib yang mesti dilakukan bagi setiap isi rumah. Bandar ini mengamalkan konsep sifar sampah bagi setiap rumah.
Bukan itu sahaja, lebih memeningkan terdapat 45 kategori sampah yang perlu diasingkan! Di pusat pengumpulan sampah, terdapat banyak tong sampah untuk pelbagai kategori antaranya surat khabar, majalah, karton, botol plastik, tin aluminium, tin besi, lampu pendarfluor dan banyak lagi.
Bagi orang luar, perkara ini mungkin nampak menyukarkan. Namun, bagi penduduk tempatan, mereka tekad untuk mencapai sasaran untuk menghasilkan sifar sampah daripada setiap rumah. Pada masa kini, mereka sudah mencapai tahap 80%.
Permulaan konsep "Sifar Sampah"
Pada asalnya, penduduk di sini sama juga dengan penduduk di kebanyakan tempat lain yang sewenang-wenangnya meletakkan segala jenis sampah dalam satu plastik sebelum dibuang. Tidak kurang juga yang membakar sampah-sampah secara terbuka, sesuatu yang biasa kita lihat di sesetengah kawasan kampung di Malaysia.
Walau bagaimanapun, akhirnya mereka sedar pembakaran sampah secara terbuka ini akan menghasilkan banyak gas rumah hijau. Sementara itu, kewujudan pusat pelupusan sampah juga dikatakan akan mencemarkan alam sekeliling.
Menyedari kesan-kesan negatif ini, penduduk di Kamikatsu mengambil keputusan untuk melakukan perubahan plastik. Pada tahun 2003, mereka mula memperkenalkan konsep "Sifar Sampah" di kawasan tersebut. Pada awalnya, ramai penduduk yang mengeluh. Membersihkan dan mengasingkan sampah dianggap leceh dan memerlukan banyak masa.
Botol kaca dan plastik juga mesti dibuka penutupnya dan diasingkan mengikut jenis plastik dan kaca itu sendiri. Sebagai contoh, botol plastik daripada kicap dan minyak masak mesti diasingkan daripada botol plastik minuman. Setiap label pada botol juga mesti dibuang terlebih dahulu.
Tiada lori sampah
Di Kamikamitsu, tiada lori sampah yang akan datang ke rumah anda untuk mengutip sampah seperti di Malaysia. Oleh itu, penduduk perlu membawa sendiri sampah mereka ke pusat pengumpulan sampah. Di situ, pekerja akan memastikan bahawa sampah yang dibuang telah diasingkan dengan betul dan dimasukkan dalam tong sampah khas yang sudah dilabelkan.
Bagi barang-barang lama yang tidak digunakan lagi seperti baju terpakai, barangan kemas dan sebagainya, penduduk boleh meninggalkannya di pusat pengumpulan sampah dan menukarnya dengan barangan terpakai lain yang ditinggalkan disitu secara percuma.
Tidak semua sampah yang dihantar boleh dikitar semula. Walau bagaimanapun, sesetengah daripadanya boleh diguna semula untuk menghasilkan barangan baru. Maka, wujudlah kilang-kilang yang menghasilkan barangan baru daripada sampah atau barangan yang tidak boleh dikitar semula ini seperti pembuatan patung beruang daripada baju kimono lama.
Sudah menjadi gaya hidup
Memang tidak dinafikan, ramai penduduk yang mengeluh pada awalnya apabila konsep Sifar Sampah ini diperkenalkan di sini. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ianya sudah menjadi kebiasaan disini. Malah, setiap orang disini kini melihat sampah itu dari sudut yang berbeza.
Sebagai contoh, penduduk menjadi lebih teliti mengenai barangan yang mereka beli dan bagaimana ianya boleh dibuang kelak. Salah seorang pemilik kedai di bandar ini berkata, dia kini hanya membeli barangan yang dipek dalam kotak kadbod memandangkan kotak tersebut boleh digunakan semula untuk menyimpan barangan lain.
Pada masa kini, bandar yang hanya mempunyai sekitar 1700 orang penduduk ini berada di landasan yang betul dan pencapaian mereka boleh dibanggakan. Daripada keseluruhan sampah, hanya sekitar 20 peratus sahaja yang akhirnya terpaksa dihantar ke pusat pelupusan sampah.
Walau bagaimanapun, usaha ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Penduduk disini sentiasa berusaha mengurangkan lagi sampah yang terpaksa dilupuskan.
Kredit: