Perlumbaan pihak penyelidikan perubatan dan farmasi dalam membangunkan vaksin yang mampu mencegah seseorang daripada dihinggapi wabak Covid-19 sedang berjalan rancak.

Di seluruh dunia, banyak syarikat swasta yang didanai modal pembangunan dan penyelidikan oleh kerajaan-kerajaan negara dunia sedang mencari jalan menjadi pengeluar pertama vaksin tersebut, dengan ujian pertama menggunakan subjek manusia telah selamat dilakukan pada 17 Mac 2020 oleh syarikat Moderna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Vaksin yang dilabelkan sebagai mRNA-1273 selamat disuntik ke dalam tubuh seorang wanita bernama Jennifer Haller di Seattle dan pemerhatian sedang dilakukan kepada beliau. Apa yang menarik untuk dibincangkan - kenapa ada manusia sanggup menjadikan dirinya ujikaji vaksin, membiarkan dirinya didedahkan kepada risiko jangkitan virus? Jawapannya mudah - wang.

Jana pendapatan dengan jadi bahan ujikaji

pesrrta ujian klinikal

Jangan terkejut pula sekiranya kami nyatakan - menjadi bahan ujikaji makmal merupakan pilihan karier sesetengah individu. Tidak ramai yang menjadikannya 'pekerjaan' sepenuh masa, tetapi ada yang memilih untuk menggunakan peluang yang ada sebagai peluang menambah pendapatan yang baik.

Di negara yang mana penyelidikan berkenaan perubatan berada pada tahap dan skala yang besar, keperluan untuk makmal kajian mendapatkan individu-individu yang sanggup dijadikan ujian berada pada tahap tinggi.

Di Malaysia, kita juga mempunyai badan kajian CRM atau Clinical Research Malaysia, di mana mereka setiap masa membuka pintu kepada sukarelawan yang mahu menawarkan tubuh mereka sebagai ujian.

Dalam peringkat antarabangsa, wujud beberapa agensi yang berfungsi untuk mencari sukarelawan perubatan seperti BioTrax yang diwujudkan, hanya untuk tujuan itu. Dengan menggunakan sistem pendaftaran dalam talian, BioTrax akan menawarkan 'kekosongan' yang perlu diisi oleh sukarelawan, bergantung kepada jenis ujian, separuh atau sepenuh masa serta lokasi.

Bertindak sebagai orang tengah, carian di laman web BioTrax menunjukkan agensi tersebut menawarkan kekosongan sukarelawan di banyak negara dengan anggaran bayaran dinyatakan secara terbuka. Bayarannya pula bergantung kepada durasi program. Sebagai contoh, sebuah program 11 hari melibatkan peserta lelaki yang perlu bermalam selama 10 hari di sebuah makmal membayar RM7,800 untuk kerja sukarelawan itu.

Sekiranya menjadi sukarelawan program dirasakan terlalu lama, ada juga pihak membuka penawaran kepada sukarelawan harian. Banyak pihak memerlukan individu untuk ujian imbasan MRI dengan bayaran RM550 keseluruhannya. Sekiranya amaun itu tidak cukup, anda boleh cuba menjadi sukarelawan imbasan PET atau 'positron emission tomography' yang mampu memberikan anda pulangan sehingga RM2,500 untuk satu sesi ujian.

Jika anda tak mahu diuji tetapi masih mahu menjana pendapatan, ada pihak menawarkan bayaran untuk anda menjawab borang kaji selidik perubatan. Bayarannya pula berbeza-beza mengikut jenis kaji selidik serta tempoh penyertaan anda.

Yang penting, untuk dibayar dalam mana-mana ujian tak kiralah bersifat klinikal ataupun hanya sekadar isian borang, komitmen penuh daripada sukarelawan diperlukan. Gagal akan menyebabkan anda tidak layak dibayar.

Sukarelawan ujian sepenuh masa

human guinea pig

Berbeza dengan individu lain yang mengambil jalan karier normal, ada segelintir individu yang sengaja memilih untuk meletakkan tubuh mereka sebagai medan ujian penyelidik perubatan sepenuh masa.

Ini kerana mereka nampak keperluan untuk makmal penyelidikan mendapatkan sampel ujian melibatkan manusia perlu diisi, jadi peluang itu direbut oleh mereka. Sekiranya seseorang individu benar-benar serius menggunakan sepenuhnya segala peluang yang ada, tidak menghairankan jumlah pendapatan tahunan mereka mampu mencecah RM120,000 setahun.

Kerjanya tidak sukar malahan agak membosankan. Rutin mereka semasa 'bekerja' dipenuhi dengan aktiviti baring, berjalan-jalan atau berbual sekiranya ada sukarelawan lain bersama-sama.

Dalam kisah yang dikongsikan melibatkan sukarelawan sepenuh masa, seorang sukarelawan bernama Sam Spadino yang aktif di Minneapolis, Amerika Syarikat menyatakan bayaran yang beliau terima sehari kadangkala boleh mencecah RM1,100 hanya dengan hadir dan meluangkan 24 jam di sana.

Kisah bagaimana pengarah terkenal Robert Rodriguez (SIn City, Alita : Battle Angel) menyertai program klinikal menguji ubat-ubatan bagi mendapatkan dana membuat filem pertamanya terus diceritakan sehingga ke hari ini. Rodriguez menjadikan dirinya ujian selama sebulan, dibayar RM31,000 dan kesemua duit itu digunakan untuk menghasilkan filem 'El Mariachi'; melonjakkan namanya dalam industri Hollywood.

Siapa kata jadi bahan ujian tak mendatangkan hasil memberangsangkan?

Bayaran untuk jadi sukarelawan vaksin Covid-19

sukarelawan disuntik virus

Jadi berapakah bayaran yang bakal diterima sukarelawan yang mahu menawarkan tubuh mereka untuk ujian pembangunan vaksin Covid-19? Agak lumayan juga.

Sebuah badan penyelidikan di London bernama hVIVO sedang mencari 24 orang sukarelawan yang mahu menjangkitkan badan mereka dengan virus SARS-CoV-2 berbentuk ringan, bagi mengkaji keberkesanan penawar yang sedang mereka bangunkan. Bayarannya? RM19,750 untuk keseluruhan program.

Program dua minggu yang akan dilakukan sepenuh di London, akan menjangkitkan 24 sukarelawan dengan dua strain coronavirus dari jalinan 0C43 dan 229E, yang dipercayai serupa dengan virus penyebab Covid-19. Selepas dijangkitkan, sampel daripada hidung dan darah akan diambil setiap hari bagi mendapatkan bacaan jumlah virus yang ada.

Malangnya, program ini dijalankan secara tertutup - tidak membenarkan pelawat hadir sepanjang program. Apa yang lebih menggerunkan, hubungan dengan sukarelawan lain dalam bentuk sentuhan tidak dibenarkan sama sekali jadi peserta akan menjalani isolasi 24 jam sehari selama 2 minggu.

Setiap orang akan dikurung dalam bilik masing-masing, dibekalkan dengan televisyen, sambungan wifi serta sebuah Playstation 3. Walaupun sudah masuk tahun 2020, mereka masih lagi membekalkan Playstation 3 untuk pesakit. Mungkin bajet mereka tak mencukupi.

Kami tinggalkan anda dengan satu soalan mudah - anda sanggup atau tidak dibayar untuk dijadikan bahan eksperimen, demi kesejahteraan masyarakat di masa depan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)