Kredit foto: Instagram Fattah Amin
Aktor Fattah Amin bimbang kenyataannya berkaitan hubungan dengan aktres Fazura akan menimbulkan salah faham peminat.
Menjawab soalan tentang sejauh mana hubungan rapat itu, Fattah enggan mengulas lanjut kerana takut mengundang isu dan kemarahan netizen.
"Janganlah... nanti jadi isu baru pula! Saya dengan Fazura bersahabat sahaja, tak lebih daripada itu.
"Sejujurnya, saya selesa dengan dia kerana kami pernah berlakon bersama dan dia juga seorang sahabat yang baik," katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada portal Mstar Online.
Sebelum ini, Fattah menghadiahkan Fazura dengan 500 kuntuman bunga mawar sempena ulang tahun kelahiran aktres itu yang ke-34.
Namun, aktor itu akui angka 500 tidak membawa maksud tertentu kepada perhubungan mereka.
Malah pemberian itu ikhlas sebagai tanda persahabatan yang terjalin.
Niat asalnya hanyalah ingin membalas semula kiriman bunga Fazura pada ulang tahun kelahirannya yang terdahulu.
"Kalau nak tahu, angka 500 kuntum bunga mawar itu tidak membawa apa-apa maksud, itu hanya hadiah tanda persahabatan kami.
"Kalau saya nak bagi dua kuntum sahaja pun tak ada masalah, tak tahulah macam mana boleh timbul idea nak bagi 500 kuntum tu.
"Sebelum ini dia pernah buat kejutan semasa hari jadi saya, jadi saya rasa perlu balas semula," katanya lagi.
Kredit foto: Instagram Fattah Amin
Terdahulu, Fattah menerima kiriman bunga mawar sebanyak 50 kuntum daripada Fazura sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada 14 September lalu.
Hubungan pasangan ini mula hangat diperkatakan sejak membintangi drama bersiri arahan Michael Ang, Hero Seorang Cinderella.
Meskipun terdapat pelbagai petanda hubungan cinta mereka berputik, namun tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak mengesahkan gosip itu.
Sumber berita: Mstar