Bagi Kenji Ishida, impiannya untuk membina sendiri sebuah robot yang mampu melakukan transformasi bermula ketika dia berada dalam tahun kedua, sekolah menengah rendah.

Dipengaruhi dengan siri-siri animasi yang memaparkan robot yang mampu berubah bentuk menjadi kenderaan, Kenji percaya robot yang mampu bertukar bakal menjadi satu realiti satu hari nanti. Dari situlah Kenji menyimpan cita-cita untuk menubuhkan perniagaan yang bercirikan transformasi robot.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada usia 14 tahun, Kenji mula belajar sendiri-sendiri bagaimana teknologi robotik dibangunkan. Buku-buku habis dibaca untuk menimba ilmu. Masuk ke pengajian tinggi, bidang robotik tetap menjadi pilihan dan Kenji ke kolej yang menawarkan pengajian ilmu robotik, bagi memenuhi mimpinya.

Fokus pada impian sejak mula

j deite robot pertama transformasi

Dengan ilmu yang ada, Kenji mula membina robot-robot kecil untuk dijual sebagai pendapatan sampingan, sambil mempelajari secara terus apa yang betul dan salah dalam pembinaan sebuah robot yang mampu bertransformasi.

Pada usia 21 tahun, buat pertama kalinya Kenji berjaya membina sebuah robot yang mampu berjalan menggunakan dua kaki dalam skala kecil. Tahun berikutnya, Kenji berjaya mencipta sebuah robot yang bukan sekadar mampu berjalan, tetapi juga mampu bertransformasi daripada robot berbentuk humanoid kepada sebuah kenderaan.

Namun dia menyedari kekurangan pengetahuan dalam bidang automotif menyebabkan dia gagal menambahbaik fungsi kenderaan pada robot tersebut. Robot itu boleh berjalan tetapi sebagai sebuah kenderaan, robotnya gagal. Jadi Kenji mula memfokuskan pembelajaran dalam bidang automotif kenderaan sambil meneruskan pekerjaannya.

Pada generasi ke tujuh robot beliau, setelah segala eksperimen dan kegagalan ditemui, barulah Kenji Ishida berani memuat naik sebuah klip video ke Youtube, memaparkan robot ciptaan beliau bertukar. Ini menjadikan namanya mula popular.

Penubuhan Brave Robotics Inc.

kenji ishida bersama j deite quarter

Tahun berikutnya, Kenji berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang yang dia minati. Berkat pengalamannya yang dikumpul selama ini, Kenji menubuhkan Brave Robotics Inc untuk mula bereksperimen merealisasikan transformasi robot menjadi sebuah kenderaan yang boleh digunakan dan sebaliknya.

Prototaip pertama yang diberi nama J-Deite adalah sebuah robot bertransformasi yang bersaiz kecil, namun saiznya belum mencukupi untuk memuatkan manusia.

J-Deite RIDE yang pertama di dunia

Pada 26 April 2018, Brave Robotics mengumumkan kejayaan mereka membangunkan sebuah robot yang mampu memuatkan dua orang manusia dalam kerangkanya, serta mampu bertransformasi dengan individu itu ada di dalamnya.

Robot yang dinamakan J-Deite RIDE setakat ini hanya mampu mencapai kelajuan 60km/j serta dijana kuasanya menggunakan bateri. RIDE memerlukan lebih seminit untuk bertukar model dengan kelajuan berjalan kakinya hanya pada sekitar 100 meter sejam. Walaupun masih banyak kelemahan, teknologi yang dipaparkan diiktiraf sebagai yang pertama di dunia.

Sasaran Kenji dalam projeknya adalah untuk menyiapkan sebuah robot bersaiz 5 meter yang mampu bertukar, berjalan dan berlari. Namun ciri yang lebih penting pastilah dalam memastikan robot tersebut dalam dipandu seperti dalam siri animasi, yang memberikannya inspirasi dalam menjadikan mimpinya realiti - untuk kegunaan seluruh dunia.

real life transformer j deite ride




Hakcipta iluminasi.com (2017)