Setiap daripada kita mesti mempunyai pengalaman seluar atau baju kita koyak akibat terjatuh atau terkena benda tajam. Bergantung pada saiz koyakan tersebut, biasanya kita akan menjahit sahaja bahagian yang terkoyak tersebut sekiranya koyakan tersebut hanyalah kecil. 

Sekiranya koyakan tersebut terlalu besar, kita mungkin akan membuang pakaian tersebut atau menutupnya dengan menmpal dan menjahit potongan kain lain padanya. Tidak kira teknik tampalan atau jahitan biasa yang anda gunakan, kesan jahitan tersebut pasti akan kelihatan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini menjadikan pakaian tersebut kurang menarik kerana kesan jahitan atau tampalan tersebut boleh dilihat dengan jelas. Bagi sesetengah orang, ini mungkin akan menjadikan pakaian tersebut kurang menarik dan sesuai dipakai untuk kegunaan formal.

Teknik jahitan luar biasa

teknik jahitan kaketsugi 63

Namun tahukah anda di Jepun, terdapat satu teknik jahitan luar biasa yang mampu menjadikan pakaian sama ada seluar atau baju yang koyak boleh dijahit semula tanpa meninggalkan kesan jahitan - menjadikan pakaian anda seolah-olah pakaian yang baru.

Dikenali sebagai "Kaketsugi", ianya merupakan satu teknik yang memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Teknik Kaketsugi ini menjadi perhatian ramai apabila beberapa tahun lalu sebuah rancangan televisyen di Korea Selatan memaparkan teknik jahitan luar biasa dari seorang tukang jahit hebat dari Jepun. 

Tukang jahit Jepun yang diperkenalkan dalam program rangkaian SBS Korea tersebut ialah Takao Matsumoto yang berumur 73 tahun yang mempunyai pengalaman selama 55 tahun dalam kraf membaiki membaiki pakaian koyak tanpa sebarang kecacatan, teknik yang dikenali sebagai kaketsugi dalam bahasa Jepun.

Takao Matsumoto bukan satu-satunya tukang jahit yang pakar dengan teknik ini kerana stesyen NHK dari Jepun juga pernah memaparkan skill yang dimiliki oleh pasukan anak dan ayah, Kataoka Tesshu  danGoto Yoshiko yang turut mahir melakukan jahitan Kaketsugi ini.

Bagaimana Kaketsugi dilakukan?

Proses pembaikan pakaian ini melibatkan pembaikan bahagian kain yang rosak dengan mengambil benang dari bahagian lain dari kain yang sama yang tidak kelihatan dari luar dan menggunakan benang tersebut untuk menganyam pada kawasan yang rosak.

Ia kedengaran mudah tetapi prosesns cukup rumit. Ia memerlukan kemahiran pakar, tetapi apabila dilakukan dengan betul, anda boleh mendapatkan hasil yang hampir sempurna sehinggakan anda tidak dapat mengesan koyakan yang pernah terjadi pada pakaian tersebut.

Kami sarankan anda tonton video dokumentari di atas, betapa renyah dan rumitnya proses Kaketsugi ini.

Kaketsugi bermula dengan mengeluarkan sebahagian kecil kain dari dalam pakaian, di mana ketiadaannya tidak akan disedari. Kain ini kemudian disapu dengan larutan berasaskan aseton yang menjadikan penyingkiran setiap individu benang menjadi lebih mudah.

kaketsugi

Menanggalkan sehelai kain hingga ke setiap helaian benang mungkin merupakan bahagian yang paling teliti dalam kaketsugi, tetapi pakar kraf ini mendakwa bahawa menggunakan kain atau fabrik yang sama seperti yang diperbuat daripada pakaian adalah penting untuk memastikan proses pembaikan ini benar-benar sempurna. 

Benang yang baru diperoleh kemudian dijahit dengan teliti di atas lubang atau kawasan pakaian yang rosak dari pelbagai arah dan dari kedua-dua belah kain. Setelah proses jahitan selesai, ikatan pelekat digunakan di atas kawasan yang dibaiki, dan sisa benang digunakan untuk menutup kerosakan dengan lebih banyak lagi.

Akhirnya, kawasan yang dibaiki dengan kaketsugi diseterika.Proses ini membantu menjadikan segala-galanya kelihatan sempurna dan pada ketika ini, hampir mustahil untuk melihat di mana kerosakan atau lubang yang ditutup itu berada. Pakaian yan dibaiki kelihatan tidak pernah koyak atau rosak langsung!

Tidak murah tapi mungkin berbaloi

jahitan kaketsugi

Menariknya, Kaketsugi bukan sahaja boleh dilakukan terhadap koyakan kecil beberapa milimeter tetapi juga boleh dilakukan sehingga koyakan 3 sentimeter diameter. Namun, koyakan yang lebih besar memerlukan tempoh membaiki yang lebih lama dan oleh itu caj yang dikenakan tentulah lebih mahal.

Proses yang memerlukan skil tahap tinggi dan ketelitian sebegini sememangnya tidak murah. Menurut laman web Kimono Totonoe, sebuah syarikat yang mendakwa menggunakan pakar kaketsugi, harga untuk pembaikan pakaian bermula pada $136 (+ caj penghantaran) untuk lubang sehingga diameter 0.5 sm dan naik sehingga $362 (+ caj penghantaran) untuk lubang sehingga 3 sm.

Apa-apa sahaja yang melebihi dari saiz tersebut perlu diberi harga secara berasingan, bergantung pada fabrik dan kerumitan kerja.

Harga ini mungkin berbaloi sekiranya pakaian yang dibaiki itu sangat bernilai tinggi atau mempunyai nilai sentimental pada anda. Jika tidak, lupakan sahaja untuk baiki pakaian anda dengan menggunakan servis jahitan Kaketsugi ini kerana harga cukup tinggi. 

Kredit:

  1. Sora News
  2. NHK Japan
  3. Live Door Japan
  4. Kimono Totonoe



Hakcipta iluminasi.com (2017)