Kredit foto: Instagram @bawaabata.merebucks

Aktor Iqram Dinzly berpendapat menari di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bukanlah sesuatu yang janggal kerana penonton yang hadir hanya sekadar ingin bergembira.

Malah beliau menganggap kehadirannya di pentas sewaktu penyanyi Hael Husaini diumumkan juara sama seperti rakan artis yang menari ketika segmen irama 1960-an. 

“Apa yang janggal? Apa bezanya? Habis semua yang bergembira di sana, ada bezanya? Pergi AJL buat apa? Bukan maksiat? Bukan haram?

“Ada yang melompat dan terkinja-kinja boleh pula?” kata Iqram kepada ProjekMMO usai AJL 32 berlangsung.

Beliau mencuri perhatian apabila tampil menari di pentas ketika Hael menyanyikan lagu kemenangan di segmen akhir acara itu, hujung minggu lalu.

Malah, pihak penerbit AJL 32 mendakwa dia beberapa kali cuba menceroboh pentas ketika Altimet membuat persembahan, namun berjaya digagalkan oleh petugas acara.

Dalam pada itu, Iqram berkata, beliau memerlukan wang sejumlah RM369,000 kerana ingin meneruskan perniagaan yang dijalankan.

“Sekarang ini saya perlukan duit dan penderma. Paling sedikit RM369,000 untuk bisnes.

"Syukur kalau ada yang hendak beri. Saya perlukan duit yang berkat," katanya tanpa menjelaskan perniagaan yang dimaksudkan. 

Malah, beliau bersedia kembali ke bidang lakonan dengan menggunakan nama baharu. 

“Ada saya cakap saya tidak mahu berlakon? Saya cakap saya matikan Iqram Dinzly, itu saja,” katanya.

Tentang aksi pelik di Instagram, Iqram memberitahu beberapa akaun media sosialnya telahpun disekat.

Namun beliau nekad merakamkan video-video baharu menggunakan akaun terkini.

“Tiga akaun saya sebelum ini sudah disekat tetapi baru-baru ini saya dihalang daripada mengirim video.

“Mereka pendekar hasad dengki. Saya sudah biasa semua itu sejak kecil lagi orang tidak puas hati. Saya terima saja dengan reda,” katanya.

Sumber berita: The Malay Mail Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)