Kredit foto: Youtube DivaGojes 17
Perkara buruk yang tidak diduga dalam rancangan secara langsung pastinya akan mencacatkan siaran sesebuah program, termasuk memberi impak negatif kepada beberapa pihak.
Itulah yang hampir terjadi dalam penganjuran Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) Ahad lalu apabila petugas acara beberapa kali menggagalkan percubaan pelakon sensasi, Iqram Dinzly untuk menceroboh pentas.
Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan Iqram yang beberapa kali cuba menaiki pentas sewaktu persembahan penyanyi Altimet (Amboi).
"Kehadiran Iqram bukan dalam perancangan kami atau sengaja kami buat gimik. Saya sendiri terkejut selepas diberitahu oleh pihak pengurus pentas bahawa dia cuba naik ketika persembahan Altimet tapi berjaya dihalang kerana perkara itu dikhuatiri menjejaskan pertandingan.
"Satu kerja pula dia (pengurus pentas) kena jaga Iqram sepanjang persembahan Altimet itu untuk memastikan hasratnya naik pentas dapat dielakkan," katanya kepada Mstar Online.
Nurhul mengulas isu Altimet yang berang dengan tindakan Iqram cuba menceroboh persembahannya di AJL32.
Menurut Nurhul, pihaknya mendapat tahu kehadiran Iqram apabila dimaklumkan beliau menjadi tetamu program Tonton Extra yang berlangsung di karpet merah sebelum acara bermula.
Dalam pada itu, Nurhul berkata, pihak produksi juga hilang kawalan di saat akhir hingga Iqram berjaya memijak pentas selepas lagu Jampi diumumkan juara.
"Iqram berjaya naik pada waktu penutup, masa itu kami (pihak produksi) semua sudah sibuk dan tidak perasan dia berada di pentas. Nasib baik juga dia naik pada penutup tidak menganggu fokus penyanyi ketika membuat persembahan.
"Ia juga satu pengajaran kepada pihak kami agar lebih berhati-hati selepas ini," ujarnya.
Dalam acara hiburan itu, Altimet diiktiraf Persembahan Terbaik sekaligus menerima ganjaran trofi dan wang tunai RM12,000.
Juara dianugerahkan kepada Hael Husaini menerusi lagu ciptaannya bersama Ezra Kong, Jampi.
Menurut laporan pihak TV3, AJL32 disaksikan 6.1 juta penonton iaitu tambahan sebanyak 350,000 berbanding jumlah tontonan tahun lalu.
Sumber berita: Mstar