Kredit foto: Instagram Iqram Dinzly

Sebagai tindakan susulan, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) akan bertemu dengan Iqram Dinzly untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu gelaran ‘Che Mat’ terhadap Nabi Muhammad SAW.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, arahan telah dikeluarkan terhadap pegawai terlibat untuk membuat siasatan lanjut menerusi pertemuan dengan aktor berkenaan.

“Kita maklum akan isu ini selepas pelbagai pihak membangkitkannya di media sosial, namun kedudukan sebenar yang berlaku masih belum dapat dikenalpasti.

“Ada kemungkinan beliau tidak sengaja atau diungkapkan dalam keadaan tidak sedar. Apa-apapun kita akan atur pertemuan bersamanya untuk dapatkan penjelasan lanjut,” katanya kepada portal Sinar Harian.

Terdahulu, pendakwah bebas, Abu Syafiq Al-Asy'ary tampil menegur Iqram yang menggelarkan Nabi Muhammad SAW sebagai Che Mat.

Malah Abu Syafiq mahu Jaipk mengambil tindakan tegas memandangkan aktor itu juga pernah menconteng kalimah ALLAH SWT di dahi.

Pun begitu, Iqram telah membuat permohonan maaf dalam siaran live di FB Sinar Harian 8 Januari lalu dan menyifatkan kebiadabannya sebelum ini hanyalah keterlanjuran kata sekaligus tidak berniat mempersendakan Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berkata, dia menilai isu itu daripada pelbagai aspek untuk memastikan ia tidak lagi berulang.

“Di sini, dia dikenali sebagai seorang yang baik, malah sering dilihat solat jemaah di masjid,” katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)