Sebelum anda berkata apa-apa, mungkin terdapat sesetengah daripada kita yang akan mengatakan bahawa tempat yang paling sunyi di dunia adalah apabila seseorang itu dikebumikan di bawah tanah.

Namun, bagi yang masih hidup, kita tidak mengalami perkara ini.

Jika LeSalle Munroe berdiri tegak untuk beberapa ketika di dalam "pejabat" nya, sesuatu yang tidak menyenangkan boleh berlaku di mana dia boleh mendengar bunyi darah mengalir deras di dalam badannya dan matanya mengeluarkan bunyi ketika kepalanya dipusingkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika mana ramai orang bekerja di tempat yang penuh dengan bunyi papan kekunci, rakan-rakan sekerja berborak dan komputer yang sedang berfungsi, LeSalle pula dikelilingi oleh kawasan yang sangat sunyi sepi dan pejabatnya diisytiharkan sebagai tempat paling sunyi di atas muka Bumi.

Ruang yang dibina khas ini tersembunyi di Building 87, di ibu pejabat Microsoft di Redmond, Washington. Ini adalah lokasi di mana makmal perkakasan firma itu berpangkalan.

tempat paling senyap di dunia building 87

(Ruang tanpa gema dalam Building 87 milik Microsoft)

Produk seperti komputer Surface, Xbox dan Hololen semuanya telah dibangunkan di sini.

Bilik itu yang dikenali sebagai ruang anechoic ini dibina oleh para jurutera Microsoft bertujuan untuk membantu mereka menguji peralatan baru yang mereka sedang dibangunkan.

Perkataan "anechoic" bermaksud tiada gema, kerana semua bunyi yang terhasil akan diserap.

Dan pada tahun 2015, ia telah mencipta rekod dunia rasmi dari segi kesenyapan apabila tahap bunyi latar belakang dalam ruang ini diukur pada tahap telinga -20.6 desibel.

Untuk meletakkan hal ini di dalam konteks supaya kita dapat bayangkan, bisikan oleh manusia adalah sekitar 30 desibel manakala bunyi seseorang bernafas biasanya kira-kira 10 desibel.

Bunyi yang terhasil oleh pelanggaran molekul udara antara satu sama lain pada suhu bilik dianggarkan kira-kira -24 desibel, had yang boleh dicapai tanpa membuat menghasilkan keadaan vakum.

Had pendengaran manusia dikatakan sekitar 0 desibel, dan walaupun telinga kita tidak dapat mengesan sesuatu bunyi itu, ia tidak bermakna bahawa bunyi itu tidak hadir atau wujud.

Dengan ini, adalah tidak mustahil untuk mendapat nilai negatif dalam bacaan desibel.

tempat paling senyap di dunia building 87 5 822

"Ia adalah satu pengalaman yang sangat unik berada dalam ruang tersebut dengan pintu tertutup. Apabila anda berhenti bernafas, anda akan dapat mendengar jantung anda berdegup dan darah mengalir. Saya jarang berada dalam bilik ini dengan pintu tertutup," kata LeSalle Munroe.

Bilik paling sunyi di dunia ini mengambil masa hampir 2 tahun untuk direka bentuk dan dibina, yang mana kini digunakan oleh pasukan diketuai LeSalle untuk menyempurnakan teknologi ciptaan Microsoft.

Malah, pencarian bangunan yang sesuai memakan masa hampir 8 bulan ujian bagi mencari yang cukup senyap bagi membina bilik ini.

Ruang ini terletak di tengah-tengah enam lapisan kongkrit seperti lapisan bawang, yang membantu menghalangi bunyi dari dunia luar.

Ini menempatkan bilik di dalam bilik, dengan setiap dinding berketebalan 30 sentimeter yang mana membantu mengurangkan bunyi bising yang mencapai ruang ini sebanyak 110 desibel.

Jika sebuah jet berlepas betul-betul di luar bangunan ini, anda hanya akan mendengar bunyi seperti bisikan jika berada dalam bilik ini.

hundraj gopal jurutera yang membina ruang anechoic building 87 microsoft

(Hundraj Gopal, jurutera yang bertanggungjawab merekacipta dan membina bilik paling senyap di dunia)

Ruang ini juga terapung di atas 68 spring getaran yang dipasang pada papan kongkrit yang berasingan. Ini bermakna bilik ini tidak bersentuhan langsung dengan bangunan di sekelilingnya. 

Menurut Hundraj Gopal, jurutera Microsoft yang mengetuai pasukan yang membina ruang anechoic ini, penebatan yang dihasilkan memainkan peranan yang sangat penting.

Hal ini yang membuatkan para jurutera mengambil masa lebih daripada 18 bulan untuk membinanya.

Ruang anechoic ini berbentuk kiub dengan ukuran 6.36 meter di setiap arah.

Setiap daripada 6 permukaannya dipasangkan dengan tilam penyerap bunyi bersaiz 1.2 meter panjang untuk membantu menghalang sebarang gema gema memantul ke dinding dari sebarang bunyi yang dihasilkan di dalamnya.

Lantainya diperbuat daripada kabel keluli (sama seperti yang digunakan untuk memberhentikan jet pejuang ketika ia mendarat di atas kapal pengangkut pesawat) dikait bersama-sama seperti jaring trampolin di atas tilam serap bunyi di bahagian bawah bilik ini.

Malah, Hundraj dan pasukannya juga memasang sistem penyaman udara yang direka khas dan sistem pemercik pada jarak 1.2 meter antara ruang dan dinding konkrit bilik yang terletak di dalamnya.

Hasilnya, ini adalah tempat yang tersangat senyap.

Sebelum pegawai-pegawai dari Guinness Book of Records tiba untuk mengambil ukuran di ruang anechoic ini, rekod dunia bagi tempat paling senyap di Bumi dipegang oleh Orfield Laboratories di Minneapolis.

Orfield Laboratories mempunyai ruang anechoic yang mempunyai tahap bunyi -9.4 decibels, namun berjaya dipecahkan oleh Microsoft.

Tujuan pembinaan ruang di Building 87 ini bukanlah untuk menghasilkan tempat paling senyap di dunia, tetapi untuk menghasilkan sesuatu yang sekurang-kurangnya pada tahap di bawah 0 desibel iaitu yang paling rendah boleh didengari oleh telinga manusia.

ruang anechoic di orfield laboratories

Dan anda mungkin berasakan bahawa bilik yang senyap ini boleh memberikan ketenangan. Namun bagi mereka yang pernah menghabiskan masa di sini, hakikatnya sangatlah berbeza.

Bagi pelawat ke Microsoft, mereka diberikan peluang untuk melawat makmal audio yang bermakna termasuk dengan lawatan ke ruang anechoic. Dan bagi kebanyakan daripada mereka, pengalaman tersebut adalah sangat mengganggu.

Sesetengah daripada mereka keluar hanya selepas beberapa saat kerana tidak tahan berada di dalamnya. Ia membuatkan hampir semua orang berasa tidak selesa.

Mereka dapat mendengar orang lain bernafas di dalam bilik tersebut dan mendengar perut berbunyi, membuatkan sebilangan pelawat berasa pening.

Menurut Peter Suedfeld, ahli psikologi di University of British Columbia yang telah mempelajari tentang kekurangan deria, beliau membandingkan bilik sunyi ini seperti sebuah bilik gelap.

tempat paling senyap di dunia building 87 3 178

"Kita terlalu biasa dengan setiap bunyi yang menghasilkan gema kecil dari sekeliling. Namun dalam ruang ini, hanya terdapat "bunyi mati". Ia seperti masuk ke dalam bilik gelap, di mana pada mulanya mata anda tak dapat melihat apa-apa namun dapat menyesuaikan diri dari masa ke masa," kata Peter Suedfeld.

Dan apa yang sangat mengejutkan adalah disebabkan terlalu senyap, dilaporkan bahawa anda boleh mendengar bunyi sendi-sendi anda bergesel ketika sedang bergerak.

Walaupun begitu, ada sesetengah yang menyukai pengalaman berada dalam ruang paling sunyi di dunia ini kerana beranggapan bahawa ia menenangkan.

Namun, Hundraj memberitahu bahawa tempoh paling lama seseorang pernah berada di dalam bilik ini adalah selama sejam dan ia dilakukan bagi untuk mengumpul wang untuk kebajikan.

"Saya rasa jika anda berada dalam bilik ini lebih lama, anda boleh jadi gila. Setiap kali anda telan air liur, bunyi yang terhasil adalah sangat kuat," kata Hundraj Gopal.

Bagi LeSalle Munroe, kesunyian ini mempunyai penggunaan yang jauh lebih konstruktif daripada hanya mendengar bunyi yang dihasilkan oleh tubuh manusia.

tempat paling senyap di dunia building 87 2

Sebaliknya, mereka mendengar peralatan elektronik semasa ia sedang digunakan bagi mencari getaran kecil yang dihasilkan oleh kapasitor pada papan litar elektronik ketika arus melaluinya.

Ini boleh membuatkan komponen-komponen pada litar tersebut menghasilkan bunyi yang tidak menyenangkan bagi pengguna.

Mereka juga melihat pada komponen lain dalam komputer yang boleh menghasilkan bunyi bising, dari bekalan kuasa kepada kipas penyejuk dan bunyi dari paparan anda apabila anda meningkatkan lampu belakang.

Namun, bukan semua kerja adalah untuk mencari bunyi yang tidak menyenangkan. Mereka juga membantu menyesuaikan bunyi yang sepatutnya dihasilkan oleh komponen-komponen.

Sebagai contoh, mereka menumpukan perhatian terhadap bunyi papan kekunci kerana mendapatkan bunyi tertentu daripada penggunaan papan kekunci adalah satu perkara yang sangat penting.

"Kami menjalankan eksperimen terhadap pelbagai bahan untuk menghasilkan kekunci dan mekanisma spring yang berbeza, semata-mata untuk mendapatkan rasa dan bunyi yang tepat daripada sebuah papan kekunci," kata LeSalle Munroe.

Pembesar suara juga melalui proses yang sama di makmal ini kerana ia membolehkan pasukan menggunakan peralatan yang sensitif untuk mencari sebarang gangguan atau kekerapan frekuensi.

Prestasi mikrofon dalam produk juga boleh diuji dengan cara yang sama.

hololens ciptaan microsoft

Baru-baru ini para jurutera juga menggunakan ruang ini untuk menguji prestasi teknologi baru seperti pembantu kecerdasan buatan Microsoft iaitu Cortana dan membangunkan teknik untuk meniru bunyi tiga dimensi untuk paparan realiti maya, HoloLens.

Pasukan ini juga menerima permohonan daripada penyelidik yang ingin menggunakan ruang ini untuk menjalankan penyelidikan bioperubatan.

Terdapat beberapa penyelidikan, termasuklah yang mencadangkan bahawa kekurangan deria jangka pendek boleh menyebabkan episod dan halusinasi psikotik sementara, yang dapat membantu dalam mengkaji skizofrenia.

"Apabila anda membuka pintunya, ia seperti bunyi air terjun menghentam telinga anda. Ia seperti masuk ke dalam dunia yang sangat berbeza. Anda akan dengar bunyi yang biasanya anda tidak sedar, dan memberikan satu perspektif yang baru," kata LeSalle Munroe.

Rujukan:

1. BBC

2. Reader's Digest

3. Telegraph




Hakcipta iluminasi.com (2017)