Kredit foto: Instagram MeleTOP
Para peminat sudah sedia maklum dengan pengiktirafan aktres Neelofa dan penyanyi Khai Bahar sebagai Artis Top Top MeleTOP di Anugerah MeleTOP ERA 2018 (AME2018) yang berlangsung Ahad lalu.
Namun tahukah anda siapakah yang menduduki tangga kedua bagi Artis Top Top MeleTOP (Lelaki) selepas Khai Bahar?
Kami mendapat tahu Arif Jiwa Asyraf iaitu anak kepada pasangan Asyraf Khalid dan Tya Arifin adalah pemenang tempat kedua yang nyaris merampas trofi tersebut daripada Khai!
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Asyraf menerusi laman Instagramnya.
Kredit foto: Instagram Asyraf Khalid
“Saya dapat tahu dari pihak MeleTop yang Arif mendapat undian kedua tertinggi selepas Khai Bahar," katanya.
Asyraf meluahkan rasa bangga kerana cucu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu menjadi calon paling muda hampir merangkul takhta tertinggi acara hiburan berkenaan.
Kredit foto: Instagram Arif Jiwa Asyraf
“Jadi, Arif hampir mendapat Anugerah Top Top MeleTop dan jadi paling muda mendapat anugerah tersebut,” tulisnya.
Asyraf berkata, meskipun Arif gagal, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan buat pencalonan si cilik itu.
“Kami sekeluarga gembira dapat menyertai MeleTop dan telah buat yang terbaik untuk menang," katanya.
Menurut Asyraf, dia ingin anaknya itu meneladani sikap kesungguhan untuk mencapai apa yang diinginkannya kelak.
“Apa yang saya harap Arif pelajari nanti, apa sahaja yang kita lakukan, perlu buat secara bersungguh-sungguh,” katanya.