Kredit foto: Instagram Khai Bahar
"Biarlah rahsia."
Demikian kata Khai Bahar menjawab pertanyaan sama ada dia ada melawat penyanyi Wany Hasrita yang dimasukkan di sebuah hospital di ibu negara baru-baru ini kerana dijangkiti virus Influenza B.
Penyanyi yang meledak dengan lagu Luluh dan Bayang itu enggan mengiyakan atau menafikan kerana takut jawapannya nanti akan menimbulkan fitnah.
“Saya tidak mahu mengulas perkara ini. Biarlah menjadi rahsia antara kami kerana tidak mahu umum salah faham sekali gus menimbulkan fitnah," katanya kepada Harian Metro.
Apatah lagi, Khai menegaskan tiada status istimewa dalam perhubungan yang terjalin antara mereka.
“Lagipun saya dan Wany hanya berkawan dan tidak lebih dari itu," beritahunya.
Begitupun, pemenang trofi Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular pada acara Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu akui seringkali menjayakan aktiviti seni bersama Wany.
"Kami tiada sebarang ikatan percintaan cuma kami kerap bersama apabila diundang ke majlis hiburan,” katanya.
Dalam pada itu, Khai menambah, dia tidak mempunyai masalah sekiranya peminat 'menjodohkan' namanya dengan mana-mana artis wanita lain.
“Saya tak kisah digosipkan dengan sesiapa asalkan peminat suka dan gembira," katanya.
Khai bagaimanapun akui terkejut dengan kewujudan akaun Instagram peminat yang menggandingkan namanya dengan Wany.
“Namun saya terkejut apabila ada pihak mewujudkan akaun Instagram khas buat kami berdua termasuk gosip saya dikatakan bersama penyanyi Ara,” katanya.