Gambar di atas adalah sebuah enjin pesawat, yang terdampar di kawasan lapang di Bishotfu, Ethiopia. Ia merupakan sebahagian daripada bangkai pesawat 302 Ethiopian Airlines yang jatuh pada 10 Mac 2019.

Nahas ini telah meragut 157 nyawa.

Dan beberapa sebelum itu, sebuah pesawat 610 Lion Air juga mengalami nasib yang sama apabila ia terhempas di Indonesia membunuh 189 orang penumpang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedua-dua penerbangan ini melibatkan pesawat yang sama iaitu Boeing 737 MAX 8, dan enjin pesawat ini adalah kunci untuk memahami mengapa pesawat ini berhadapan banyak masalah. sehingga meragut begitu banyak nyawa.

kejadian boeing 737 max 8 terhempas di ethiopia

Akan tetapi, masalah yang sebenar bukanlah terletak kepada enjin ini. Malah, pengeluar kapal terbang berlumba-lumba untuk memasang enjin ini kepada pesawat mereka. Ini lah yang menjadi punca kepada semua masalah.

Dalam dunia penerbangan, 2 pengeluar pesawat terbesar di dunia adalah Airbus dan Boeing, yang mana kedua-duanya mempunyai persaingan yang sangat sengit.

Untuk memudahkan gambaran, jika salah satu daripada syarikat ini mampu menawarkan pesawat yang lebih baik, syarikat satu lagi boleh mengalami kerugian yang dahsyat.

Dan inilah yang berlaku pada tahun 2010. Ketika itu, Airbus mengumumkan bahawa mereka akan mengemaskini model mereka yang paling popular iaitu pesawat A320, sebuah pesawat yang menawarkan banyak penerbangan domestik.

Untuk pesawat baru ini, Airbus mempunyai kemas kini yang agak ketara di mana ia akan dipasangkan dengan enjin baru.

airbus a320

Enjin tersebut adalah jauh lebih besar daripada enjin sebelumnya, namun ia akan membuatkan pesawat tersebut lebih cekap dari segi penggunaan bahan api sebanyak 15%. 

Dan apa yang lebih penting adalah, pengemaskinian ini tidak banyak mengubah pesawat tersebut. Ini bermakna seorang juruterbang boleh memandu pesawat ini dengan hanya sedikit latihan tambahan.

Pesawat baru ini dikenali sebagai A320 NEO, dan bakal menjimatkan wang yang sangat banyak untuk Airbus.

Namun, ia merupakan masalah besar bagi pesaingnya, Boeing. Untuk bersaing dengan Airbus, langkah yang harus diambil oleh Boeing adalah menaiktaraf pesawat satu lorong mereka, Boeing 737.

perbezaan ketinggian antara boeing 737 max 8 dan airbus a320 254

Akan tetapi, ada satu masalah. Jika anda lihat lakaran Boeing 737 di atas bersebelahan dengan Airbus A320, anda akan dapat melihat bahawa pesawat 737 lebih rendah berbanding A320.

Ini bermakna Airbus boleh memasangkan enjin baru di bawah sayap pesawat mereka namun tidak bagi Boeing 737 yang mempunyai ruang yang kurang di bawah sayapnya.

Namun beberapa bulan kemudian, ketua pembangunan produk Boeing mengumumkan sesuatu yang agak drastik bahawa mereka telah menemui cara untuk memasang enjin baru di bawah sayap pesawat.

Penyelesaiannya adalah untuk menaikkan sedikit kedudukan enjin pada sayap, supaya ia lebih tinggi dan bersesuaian dengan Boeing 737.

enjin boeing 737 max 8 lebih tinggi daripada sayapnya

Berdasarkan gambar dalam video promosi pesawat 737 yang diperbaharui, anda boleh melihat bahawa bahagian atas enjin ini lebih tinggi daripada sayapnya.

Boeing memberi nama kepada model ini sebagai 737 MAX dan sama seperti Airbus A320, Boeing berkata bahawa pesawat baru mereka sangat mirip dengan model sebelum di mana juruterbang hanya memerlukan latihan tambahan yang minimum.

Dengan ini, Boeing 737 MAX menjadi pesawat paling panas di pasaran, sekaligus membantu Boeing bersaing dengan Airbus.

boeing 737 max 8 525

Akan tetapi, mengubah kedudukan enjin pada 737 MAX mempunyai kesan sampingan. Ketika 737 MAX sedang berlepas dengan tujahan penuh, bahagian hadapan (hidung) pesawat cenderung untuk terlalu condong ke atas.

Ini menimbulkan masalah kerana pesawat ini sepatutnya beroperasi sama seperti model sebelumnya. Oleh itu, Boeing cuba menyelesaikan masalah ini.

boeing 737 max 8

Daripada merekabentuk semula pesawat mereka, Boeing memasang perisian yang secara automatik menolak hidung pesawat ke bawah jika juruterbang menerbangkan pesawat dengan sudut terlalu tinggi.

Boeing memanggil perisian ini sebagai Sistem Peningkatan Ciri-ciri Manuver atau MCAS. Tetapi disebabkan oleh Boeing menjual 737 MAX sebagai pesawat yang sama dengan 737, jadi mereka tidak menyerlahkan sistem MCAS yang baru dipasang.

Ramai juruterbang hanya menjalani kursus selama 2 jam menggunakan iPad sebelum memasuki kokpit untuk pertama kali. Dan bahan latihan tersebut tidak menyebut tentang perisian MCAS.

Pada tahun 2018, beberapa juruterbang Amerika Syarikat mengadu kepada kerajaan persekutuan bahawa 737 MAX "tiba-tiba menjunam."

Pada 29 Oktober 2018, Lion Air Flight 610 berlepas dari Jakarta.

Dalam laporan penerbangan tersebut, yang menunjukkan ketinggian kapal terbang dari masa ke masa, anda dapat melihat bahawa pesawat berada dalam tujahan penuh semasa berlepas.

Tetapi pada satu ketika, hidung pesawat itu terus menjunam ke bawah dan juruterbang bertugas tidak mengetahui mengapa ini berlaku.

Kapten pesawat meminta pegawai pertama untuk menyemak buku panduan rujukan, namun mereka tidak menjumpai penyelesaian. Para juruterbang terus "melawan" sistem MCAS namun pesawat tersebut masih bergelut untuk mencapai ketinggian.

laporan nahas lion air

Laporan menunjukkan kemungkinan perkara ini berlaku adalah kerana komputer telah menerima maklumat sensor yang salah, menolak pesawat terbang ke arah Bumi.

12 minit selepas berlepas, pesawat itu menjunam dan terhempas ke Laut Jawa.

Dalam kemalangan di Ethiopia, laporan menunjukkan bahawa juruterbang sebenarnya dapat melumpuhkan sistem MCAS namun sudah terlambat untuk mengatasi sensor MCAS yang tidak berfungsi.

Buat masa ini, hampir setiap pesawat 737 MAX 8 dalam perkhidmatan telah dilarang daripada membuat penerbangan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang berada dalam pemerhatian dan penelitian berkenaan dengan bagaimana mereka melancarkan kapal terbang ini melalui pensijilan.

airbus a320 vs boeing 737 max

Boeing memberikan tindak balas untuk melakukan kemas kini perisian dan menjadikan MCAS "kurang agresif," sambil mengatakan mereka akan meningkatkan latihan juruterbang tentang cara mematikan sistem ini.

Pendek kata, masalah serius ini berpunca daripada perlumbaan 2 syarikat besar untuk bersaing di antara satu sama lain.

Ia mendorong mereka untuk berpura-pura seperti pesawat baru mereka beroperasi sama seperti pesawat sebelumnya, walaupun sebenarnya ia tidak benar..

Rujukan:

1. Vox

2. Flieger Faust




Hakcipta iluminasi.com (2017)