Di era ketika kuasa Eropah mulai berkembang ke setiap pelusuk dunia, hanya beberapa negara yang terselamat.
Hampir setiap negara di dunia ini terdiri dari benua Eropah sendiri, jajahan Eropah, atau wilayah yang diduduki oleh kuasa Eropah.
Dan Asia Tenggara tidak terlepas dari perkara ini, dengan Inggeris menjajah Myanmar dan Malaysia, Perancis mengambil tanah apa yang dikenali sebagai Indochina dan Belanda bertapak di Indonesia.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, kuasa manakah yang menjajah Thailand? Jawapannya adalah tiada.
Walaupun Thailand merupakan kerajaan yang kaya disebabkan oleh Sungai Chao Phraya yang mana lebih menjadi sasaran berharga bagi kuasa-kuasa Eropah, namun mereka berjaya mengelakkan diri daripada dijajah seperti mana yang berlaku kepada negara-negara jirannya.
Bagaimana ini boleh berlaku?
Kerajaan Siam terdahulu
Umum tahu, Siam adalah kerajaan yang mana kita kenali sebagai Thailand pada hari ini.
Ibu kota Siam pada masa itu iaitu Ayutthaya adalah pusat perdagangan berkubu, terletak berhampiran dengan Sungai Chao Phraya yang menjadi pusat perdagangan di seluruh dunia selama berabad-abad.
Ia sangat terkenal sehinggakan ahli arkeologi menemui duit syiling Rom di Ayutthaya.
Ayutthaya adalah kota pelabuhan perdagangan utama yang dikelilingi oleh terusan kecil dan dengan ini dikenali sebagai "Venice of the East".
Dan tidak mengejutkanlah jika menjelang abad ke-17 dan ke-18, beberapa kuasa besar Eropah seperti Perancis, Inggeris dan Belanda sudah sampai ke pantai-pantai Thailand untuk menjalin hubungan perniagaan.
Malah, banyak kuasa Eropah membina kilang dan penempatan mereka sendiri di luar tembok Ayutthaya.
Namun di penghujung Perang Burma-Siam, tentera Burma mengepung Ayutthaya, yang mana mengakhiri Kerajaan Ayutthaya sepenuhnya.
Beberapa tahun kemudian, Kerajaan Thonburi bangkit dan memindahkan ibu kota Siam ke Thon Buri Si Mahasamut, yang mana sekali lagi tersungkur 15 tahun kemudian.
Tetapi kali ini Kerajaan Rattanakosin pula muncul pada tahun 1782 dan memindahkan ibu kota sekali lagi. Kali ini, mereka memindahkan ibu kota Siam hanya ke seberang Sungai Chao Phraya ke sebuah kampung (bang) yang terletak di tengah-tengah sejumlah pokok plum (makok).
Dan dengan ini, ia dinamakan sebagai Krungthepmahanakhon Amonrattanakosin Mahintharayutthaya Mahadilokphop Noppharatratchathaniburirom Udomratchaniwetmahasathan Amonphimanawatansathit Sakkathattiyawitsanukamprasit, atau lebih dikenali sebagai Bangkok.
Sebab mengapa Bangkok didirikan di sebelah timur Sungai Chao Phraya adalah ia sekurang-kurangnya dapat membantu melindunginya daripada diceroboh oleh Burma sekali lagi.
Walaupun begitu, Kerajaan Siam Rattanakosin yang baharu sangat memahami apa tekanan yang bakal dihadapi dengan Perancis dan Inggeris yang sudah sampai di sekitar mereka.
Di bawah pemerintahan Raja Mongkut (Rama IV) dan Chulalongkorn (Rama V), negara Gajah Putih ini mula "membaratkan" diri mereka sendiri.
Raja-raja ini membuat perjanjian dengan beberapa kuasa Eropah, seperti Perjanjian Bowring, di mana Raja Mongkut dan Gabenor Hong Kong John Bowring bersetuju untuk melakukan syarat perdagangan antara Thailand dan Britain.
Malah, mereka kemudiannya menandatangani perjanjian serupa dengan Prusia dan Austria- Hungary, membawa Siam ke pasaran dunia.
Raja Chulalongkorn juga mendapat pendidikan barat sepenuhnya dan berjanji untuk menghapuskan perhambaan secara perlahan-lahan.
(Raja Chulalongkorn - Rama V)
Ketika era ini, infrastruktur Siam juga dibangunkan dengan banyak bantuan dari kuasa barat yang berbeza, terutamanya landasan keretapi api oleh Jerman, stesen kereta api reka bentuk Belanda dan juga menjual surat khabar yang diterbitkan dengan bantuan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1896, Inggeris dan Perancis juga bersetuju untuk membiarkan Siam sebagai zon penampan (buffer zone). Walaupun begitu, Siam kehilangan banyak wilayahnya dalam beberapa pertikaian dengan Perancis dan Britain dalam tempoh berkenaan.
Siam kehilangan sebahagian daripada Kemboja moden pada tahun 1867 kepada Perancis, kemudiannya kehilangan sebahagian kecil Laos moden pada athun 1888, diikuti dengan sebahagian besar Laos dalam Perang Franco-Siam pada tahun 1893.
Pada tahun yang sama, negeri Shan (Kemboja) jatuh ke tangan Inggeris Burma, kemudian seluruh Laos diserahkan pada tahun 1904, diikuti oleh seluruh Kemboja pada tahun 1907, dan akhirnya beberapa bahagian kawasan yang bakal menjadi Malaysia pada tahun 1909.
Setelah semua ini berakhir, Siam mulai kelihatan seperti Thailand hari ini, dengan sempadannya dimuktamadkan sekitar tahun 1910.
(Thailand hari ini)
Semasa Perang Dunia Pertama, Siam mengisytiharkan perang melawan Kuasa Tengah, dengan tujuan untuk mendapat sokongan daripada Inggeris dan Perancis.
Setelah perang tamat, Raja Rama VI menjadi sangat terkenal namun gaya hidupnya yang mewah membuatkan rakyat marah dan ditambah dengan ketegangan lain, membawa kepada revolusi yang menamatkan pemerintahan monarki pada tahun 1932.
Thailand masih di bawah pemerintahan monarki, diperintah oleh dinasti yang sama tetapi hanya sebagai raja berperlembagaan.
Namun, dalam Perang Dunia II, Thailand yang pada awalnya menyatakan pendirian neutral untuk beberapa tahun pertama, mengubah sokongan mereka setelah Jepun menyerang negara ini hanya beberapa jam selepas menyerang Pearl Harbor.
Apabila membincangkan tentang kisah Thailand tidak pernah dijajah, ada yang cuba mengaitkannya dengan pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dengan berkata bahawa Jepun pernah menjajah Thailand.
Namun ketika Jepun menyerang negara ini, Thailand sebenarnya berpihak kepada Jepun dan menentang Kuasa Sekutu.
Jadi secara teknikalnya, Thailand tidak dijajah Jepun.
Apa yang Jepun mahukan dari Thailand adalah laluan masuk dari Indochina Perancis ke Burma dan Tanah Melayu yang dikuasai Inggeris, dan ia dipersetujui oleh Panglima Perang Plaek Phibunsongkhram.
Malah, Thailand memperoleh semula berapa wilayahnya yang dirampas.
Dan ketika Jepun menyerah kalah dalam WW2 sekaligus membuatkan Kuasa Sekutu memenangi perang dahsyat itu, Bupati Thailand iaitu Pridi Banomyong mengisytiharkan bahawa pengisytiharan perang yang dibuat oleh Plaek Phibunsongkhram terhadap Kuasa Sekutu sebagai batal dan tidak sah.
Ini pada dasarnya bermaksud bahawa Thailand tiba-tiba tidak pernah menentang Kuasa Sekutu, walhal mereka menyebelahi pihak Jepun sebelum itu.
Walaupun begitu, setelah perdamaian diisytiharkan, semua Kuasa Sekutu mendapat bahagian mereka.
Perancis menuntut wilayah-wilayah di Indochina yang telah dirampas oleh Thailand, Inggeris menuntut pampasan dalam bentuk penghantaran beras ke Tanah Melayu dan Kesatuan Soviet memansuhkan perundangan anti-Komunis yang diluluskan sebelumnya.
Jadi, Thailand pada dasarnya berjaya mengelak dari dijajah dengan tindakan bijak melalui pembaharuan, perjanjian perdagangan, dan perjanjian gencatan senjata.
Memang benar Thailand pernah diduduki beberapa kali dan menjadi negara boneka oleh kuasa Eropah, namun ia tidak pernah dijajah dengan sebenar-benarnya.
Ini memasukkan Thailand ke dalam kumpulan negara yang tidak pernah dijajah oleh kuasa Eropah bersama-sama Korea Selatan dan Utara, Jepun, Liberia dan juga Ethiopia.
Rujukan:
2. WSJ
3. Khanubis