Ketika berbelanja membeli barangan terutamanya barangan dapur, antara salah satu perkara yang dititikberatkan adalah melihat label tarikh luput barangan tersebut.
Ini sangat penting bagi memastikan kita tidak tertipu dengan membeli barangan yang telah melepasi tarikh luput, sama ada secara sengaja atau tidak.
Namun mungkin ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa terdapat satu lagi label melibatkan barangan keperluan makanan, iaitu "best before" atau "baik sebelum".
BESARKAN TEKS A- A+
Dan yang lebih penting adalah tarikh ini adalah berbeza dengan tarikh luput atau expiry date.
Satu lagi istilah yang mengelirukan adalah tarikh "guna sebelum", kerana ia hampir sama dengan "baik sebelum".
Salah faham serta tidak tahu tentang perbezaan kedua-dua tarikh ini menyumbang kepada pembaziran makanan setiap hari di mana makanan yang masih boleh dimakan dibuang begitu sahaja.
Apa maksud label "baik sebelum"?
Tarikh "baik sebelum" adalah tarikh di mana tarikh akhir bagi jaminan terhadap ciri-ciri pada produk tersebut.
Sebaik sahaja tamat atau lepas daripada tarikh ini, barangan tersebut mungkin akan kehilangan kesegaran, rasa, aroma atau nutrisinya.
Namun, ia tidak semestinya bermaksud bahawa makanan tersebut tidak lagi selamat untuk di makan.
Untuk mengetahui sama ada makana tersebut masih boleh dimakan atau tidak, anda perlu menggunakan deria rasa, bau dan penglihatan.
Sesuatu produk itu tidak boleh dimakan jika anda berasakan bahawa rasanya telah terjejas, bau dan penampilannya aneh atau menunjukkan konsistensi yang pelik.
Sebagai contoh, roti yang anda beli telah melepasi tarikh "baik sebelum", namun anda masih boleh memakannya.
Cuma, kelazatan dan kesegarannya mungkin tidak seperti sebelum tarikh tersebut.
Perlu diketahui bahawa ini hanya melibatkan produk dengan pembungkusan kedap yang belum dibuka sahaja. Sebaik sahaja produk ini terkena udara, ia terdedah kepada pencemaran.
Jadi, produk ini tidak lagi tertakluk kepada tarikh "baik sebelum".
Pendek kata, tarikh ini pada dasarnya hanyalah penunjuk kepada kualiti sahaja bagi sesuatu barangan.
Tarikh luput
Seperti yang ramai tahu iaitu bertentangan dengan tarikh guna sebelum, tarikh luput adalah istilah yang sangat jelas dan mudah difahami.
Ia secara harfiahnya menunjukkan tarikh luput produk makanan iaitu memberitahu pengguna hari terakhir sesuatu produk itu selamat dimakan.
Mana-mana produk makanan yang telah melepasi tarikh luput TIDAK boleh dimakan dan harus dibuang, walaupun rupa bentuk dan baunya masih elok.
Oleh itu, pada dasarnya, tarikh luput adalah penanda yang digunakan berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan produk makanan tertentu.
Tarikh "guna sebelum" pula hanya digunakan untuk barang-barang yang mudah rosak seperti ikan segar atau daging.
Anda mempunyai masa sehingga tarikh ini untuk menggunakan atau membekukan makanan tersebut, sebelum ia menjadi terlalu berisiko untuk dimakan.
Buang makanan atau produk ini setelah ia melepasi tarikh "guna sebelum", jika ia tidak dalam keadaan beku.
Ketahui bagaimana produk makanan dikategorikan
Dengan mengetahui bagaimana produk makanan harian anda dilabel, anda boleh menyimpannya dengan cara yang betul untuk mengekalkan kesegarannya lebih lama.
Ini sekaligus dapat mengurangkan jumlah pembaziran makanan membawa kepada penjimatan wang.
Secara amnya, sebahagian besar produk makanan yang terdapat di pasaran dikategorikan dalam 3 kumpulan yang berbeza, iaitu, mudah rosak, separa mudah rosak dan tidak mudah rosak.
1. Mudah rosak
Ayam, daging, ikan, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan mentah dikategorikan sebagai mudah rosak.
Biasanya, semua makanan yang dimasak dianggap sebagai makanan yang mudah rosak.
Penyimpanan makanan jenis ini memerlukan proses penyejukan dalam peti sejuk dan biasanya bertahan untuk beberapa hari sahaja.
2. Separa mudah rosak
Makanan yang dikategorikan sebagai separa mudah rosak jika disimpan dengan betul dan ditangani dengan berhati-hati, masih tetap segar dan tetap tidak tercemar selama sekitar 6 bulan hingga setahun.
Contohnya makanan ini adalah seperti produk bijirin, beras dan gandum, tepung, buah kering, campuran kering dan juga coklat.
3. Tidak mudah rosak
Kategori ini merujuk kepada produk makanan yang tidak mudah rosak, melainkan jika dikendalikan dengan cuai.
Produk makanan biasa yang tergolong dalam kategori ini adalah seperti gula, garam, rempah, kacang kering, kopi dan barang dalam tin.
Namun, jika disimpan dalam jangka waktu yang lama, kualitinya mungkin boleh terjejas.
Bolehkah makanan dijual setelah melepasi tarikh "baik sebelum"?
Tarikh "baik sebelum" yang tamat tempoh tidak mencetuskan larangan penjualan.
Dalam perdagangan makanan dan minuman, produk yang hampir atau sudah melepasi tarikh ‘baik sebelum’ biasanya dijual dengan harga yang lebih murah untuk meningkatkan penjualan.
Rujukan:
1. Dropee
2. Liebherr
3. Narcity