Untuk beribu-ribu tahun lamanya, orang Bajau, orang asli dari Malaysia, Indonesia, dan Filipina sangat terkenal dengan kebolehan mereka untuk menyelam tanpa peralatan tambahan dalam tempoh yang sangat lama.

Dan dengan menggunakan sedikit peralatan asas menyelam seperti topeng menyelam, pemberat dan lembing untuk menangkap ikan, orang Bajau juga diberi nama julukan "Nomad Laut".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Orang Bajau dapat menyelam hingga kedalaman 200 kaki (61 meter) dan mampu bertahan untuk tempoh yang lama sehingga 2 minit pada satu masa. 

Pada tahun 2018, seorang pelajar kedoktoran dari Universiti Cambridge, bersama-sama dengan penyelidik lain telah menerbitkan penyelidikan yang menunjukkan bahawa kebolehan ini bukan sekadar hasil daripada latihan yang berterusan, tetapi juga disebabkan genetik dalam tubuh badan orang Bajau.

orang bajau menunjukkan alatan menyelam tradisional

Melissa Ilardo menghabiskan beberapa bulan di Jaya Bakti, Indonesia di mana dia menemui seorang penyelam yang memberitahu bahawa dia pernah menyelam selama 13 minit berturut-turut.

Jadi apakah yang menyumbang kepada kehebatan dan keupayaan orang Bajau yang luar biasa ini?

Melissa mempunyai firasat bahawa jawapan kepada persoalan ini terletak pada limpa orang Bajau.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam Cell, menunjukkan bahawa saiz limpa mempunyai hubungan langsung dengan keupayaan untuk menyelam untuk tempoh yang sangat lama.

Walaupun teori itu telah dihipotesiskan untuk tempoh yang agak lama, namun kajian itu adalah yang pertama untuk mengkaji hubungan antara saiz limpa dan kebolehan menyelam oleh manusia.

"Tidak ada banyak maklumat ketika ini tentang limpa manusia dari segi fisiologi dan genetik. Namun, kita tahu bahawa anjing laut yang mampu menyelam pada kedalaman yang sangat dalam seperti anjing laut Weddell, mempunyai saiz limpa yang sangat besar dan tidak seimbang," kata Mellisa Ilardo.

kaum bajau laut

Menurutnya, jika hal ini boleh berlaku kepada anjing laut untuk memiliki limpa yang lebih besar, ia juga boleh berlaku kepada manusia.

Menggunakan imbasan ultrabunyi dan mengambil maklumat genetik orang Bajau, Melissa menemui bukti yang menyokong teorinya.

Membandingkan data dengan orang Saluan, penduduk yang paling dekat dengan orang Bajau, Melissa mendapati bahawa secara purata orang Bajau mempunya limpa 50% lebih besar.

Walaupun fungsi utama limpa adalah untuk menapis darah dan mengitar semula sel-sel darah merah, ia juga sangat berguna ketika menyelam. 

Apabila manusia mengalami situasi di mana kekurangan oksigen yang teruk yang mana berlaku ketika menahan nafas, limpa akan mengecut.

orang bajau miliki genetik yang bolehkan mereka menyelam lama

Oleh kerana ia mengecut, limpa mengeluarkan sel darah merah beroksigen lantas memberikan bekalan oksigen tambahan kepada aliran darah kita.

Semakin besar limpa seseorang, lebih banyak oksigen yang memasuki aliran darah dalam situasi kekurangan oksigen ini.

Kajian itu juga menyatakan bahawa limpa yang lebih besar bukan hanya dimiliki oleh orang Bajau yang menyelam. Saiz limpa pada Bajau yang bukan tergolong dari golongan penyelam juga didapati lebih besar bila dibandingkan dengan populasi jiran.

Apabila para penyelidik meneruskan analisis genetik ini, mereka menemui satu mutasi yang bertanggungjawab terhadap saiz limpa yang tidak normal ini.

orang bajau boleh menyelam sehingga ke kedalaman 200 kaki tanpa bantuan oksigen tambahan

Orang Bajau mempunyai gen yang dipanggil PDE10A, yang mana tidak dimiliki oleh orang Saluan. Dan dipercayai bahawa gen ini meningkatkan tahap hormon tiroid yang dipanggil T4.

Para penyelidik percaya bahawa orang Bajau mempunyai penyesuaian yang meningkatkan tahap hormon tiroid dan oleh itu meningkatkan saiz limpa mereka.

Ia telah terbukti bahawa hormon tiroid dan saiz limpa mempunyai hubungan langsung melalui eksperimen terhadap tikus.

Sekiranya tikus diubah secara genetik untuk tidak mempunyai hormon tiroid T4, saiz limpa haiwan ini akan mengecut dengan drastik, tetapi kesan ini sebenarnya boleh diterbalikkan dengan suntikan T4. 

enal penyelam muda bajau berenang bersama ikan jerung peliharaannya

Penemuan menarik ini membuka jalan kepada dunia terhadap kemungkinan untuk mengkaji populasi lain yang hidup dalam keadaan yang melampau, seperti penyelam wanita Haenyeo di Jeju di Korea Selatan dan penduduk Moken di Thailand.

Menurut seorang profesor, Eske Willerslev, kajian ini adalah contoh yang menakjubkan tentang nilai dalam mengkaji populasi kecil yang hidup di bawah keadaan yang melampau.

"Ramai di antara mereka yang terancam dan ini bukan sahaja satu kehilangan budaya dan linguistik, tetapi juga dari segi genetik, perubatan dan sains secara amnya. Masih terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi dan dikumpulkan daripada populasi yang kurang diberi perhatian dalam kajian ini," kata Profesor Eske Willerslev.

Rujukan:

1. Phys

2. My Modern Met

3. Nat Geo




Hakcipta iluminasi.com (2017)