Dalam artikel yang lalu, iluminasi.com kongsikan artikel tentang laluan memandu paling panjang dan jauh di dunia, yang mana berjarak 13,998 kilometer.
Jarak ini adalah dari Sagres, Portugal ke Khasan, Rusia dan mengambil masa 6 hari 23 jam.
Kali ini, kami ingin berkongsikan tentang jarak berjalan paling panjang dan jauh di atas muka Bumi.
Untuk ini, kita perlu mencari jarak berjalan paling jauh antara dua titik di atas permukaan Bumi dan perlu dipastikan bahawa jarak ini melibatkan berjalan kaki sahaja tanpa mengambil jalan pintas seperti menaiki feri atau bot untuk menyeberangi lautan.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan akhir sekali, jarak ini perlulah digambarkan dalam Peta Google serta dapat memberi kita petunjuk arah sepanjang perjalanan. Jika jarak ini tidak boleh dikira oleh Google, maka ia terbatal.
Jadi, berdasarkan kriteria-kriteria ini, laluan jalan kaki terpanjang yang dapat dikira dalam Peta Google adalah dari Cape Town, Afrika Selatan ke Magadan, Rusia.
Lebih tepat, dari bandar L'Agulhas berhampiran Cape Town, yang merupakan titik paling selatan di benua Afrika.
Apa yang menariknya adalah, tiada manusia yang pernah berjaya melakukan rekod jalan kaki paling jauh di dunia ini.
Manusia telah mencipta pelbagai rekod menakjubkan termasuklah mendaki gunung tertinggi dunia, menyelam ke titik terdalam lautan malah menjejakkan kaki ke bulan, namun untuk berjalan kaki paling jauh, masih belum ada.
Jadi, mungkin anda boleh mencuba untuk mencipta rekod dunia, namun anda perlu mengambil kira beberapa perkara penting terlebih dahulu.
Yang pertama, anda perlu mengetahui bahawa jarak jalan kaki terpanjang di dunia ini adalah sejauh 23,068 kilometer, merangkumi perubahan ketinggian 123,000 meter dan turun semula.
Ia seperti anda mendaki Gunung Everest dan turun semula, sebanyak 14 kali.
Jarak ini mengambil masa selama 4,646 jam atau 194 hari, jika anda berjalan tanpa henti.
Walau bagaimanapun, ini merupakan anggaran yang agak tidak realistik kerana tiada manusia yang mampu berjalan selama 194 hari tanpa henti.
Adalah lebih munasabah untuk kita anggarkan bahawa rata-rata orang yang mengambil bahagian dalam perjalanan ini hanya mampu berjalan sekitar 20 kilometer sehari dalam jangka masa 8 jam setiap hari.
Jika anda mampu berjalan selama 8 jam dan 20 kilometer sehari secara berterusan setiap hari, maka anda akan menamatkan perjalanan ini dalam tempoh 1,153 hari atau 3 tahun 2 bulan.
Dan ini jika kita membuat andaian bahawa tiada perkara yang tidak diingini berlaku semasa perjalanan ini, namun peluangnya adalah sangat tipis.
Jika dilihatkan pada peta di atas, perjalanan jarak jauh ini mungkin tidak selancar yang anda harapkan.
Mula-mula sekali anda perlu berjalan merentasi Afrika Selatan tetapi anda dapat mengelak daripada melalui bandar-bandar yang berbahaya, dan kemudiannya sampai di Zimbabwe di mana perkara-perkara yang tidak diingini mungkin berlaku.
Jenayah di Zimbabwe tidaklah begitu tinggi namun negara ini mempunyai makhluk-makhluk yang agak berbahaya seperti Black Mamba, sejenis ular yang sangat pantas dan boleh membunuh anda dengan gigitannya dalam masa 20 minit.
Anda perlu merentasi Zimbabwe sebelum sampai ke Mozambique, di mana anda akan melalui Malawi yang berada di kedudukan ke-9 teratas di dunia bagi penyakit malaria.
Anda kemudiannya akan melalui Zambia, negara ke-6 dengan kes malaria tertinggi di dunia. Laluan ini akan membawa anda melalui Malawi semula sebelum merentasi sempadan Tanzania dan perlu mendaki sebelum sampai ke "ibu kota malaria dunia" iaitu Uganda.
Namun jika anda tahu jalan di Uganda, anda masih boleh terselamat daripada nyamuk-nyamuk Uganda, akan tetapi anda perlu menyeberang melalui Air Terjun Murchison, Taman Nasional yang mempunyai haiwan seperti gorila, badak air dan lebih banyak ular Black Mamba.
Kemungkinan bahagian perjalanan anda yang paling menakutkan bermula ketika anda melintasi sempadan ke Sudan Selatan, yang mana dianggap sebagai negara ke-3 paling berbahaya di dunia.
Konflik bersenjata antara kumpulan politik dan etnik-etnik tempatan sedang berlaku di seluruh negara sementara kecurian kereta, tembak-menembak, serang hendap, rompakan dan penculikan menjadi perkara biasa.
Malah, pegawai kerajaan AS di negara ini mempunyai perintah berkurung yang sangat ketat dan disediakan pengangkutan berperisai untuk keselamatan mereka sendiri.
Anda pastinya akan mengalami kesukaran yang tidak dapat dibayangkan, sebelum tiba ke Sudan di mana anda perlu berjalan merentasi Gurun Sahar yang tersangat panas, sekitar 47°C pada musim panas.
Setelah itu, anda akan tiba di Wadi Halfa, sebaik sebelum memasuki Mesir.
Tiada satu jalan pun yang menghubungkan Sudan dengan Mesir, yang mana menunjukkan perancangan yang sangat teruk bagi kedua-dua negara ini, jadi Google akan membawa anda menaiki feri merentasi Tasik Nasser ke Aswan, Mesir.
Namun, ini akan melanggar peraturan kerana perjalan ini perlu 100% berjalan kaki dan menaiki feri adalah tidak dibenarkan.
Dengan itu, anda perlu merentasi Gurun Sahara tanpa jalan berturap, sebelum sampai ke Aswan.
Perjalanan di Gurun Sahara ini tersangat lah bahaya dan anda mungkin akan terbunuh, namun jika dilihatkan sebelum itu anda telah berhadapa dengan banyak situasi yang berbahaya, jadi kita anggap anda terselamat di Gurun Sahara ini.
Anda kemudiannya akan berjalan merentasi seluruh Mesir dan merentasi jambatan Terusan Suez, kemudian berjalan ke Jordan serta Israel.
Perjalanan di Jordan mungkin tidak begitu sukar, namun anda akan melalui Syria, negara yang bergelut dengan perang saudara yang membunuh lebih dari setengah juta nyawa dan masih berterusan.
Syria dianggap sebagai negara kedua paling berbahaya di dunia, di belakang Afghanistan. Perjalanan akan kembali normal sebaik sahaja anda memasuki Turki.
Seterusnya anda akan melalui Georgia dan akhirnya, tiba ke negara terluas di dunia iaitu Rusia.
Perjalanan yang paling jauh adalah di Rusia, seakan-akan anda perlu berjalan merentasi seluruh negara ini dan memasuki Siberia yang tersangat luas. Jika tiba musim sejuk di Siberia, anda mungkin mati memberku di sini di sekitar Yakutsk, namun kita anggap anda terselamat untuk memudahkan jalan cerita ini.
Untuk rekod, cuaca biasa pada bulan Januari di sini adalah sekitar -39°C.
Jalan untuk ke Magadan dikenali sebagai "jalan tulang", bersempena pekerja buruh gulag yang mati di bawah pemerintahan Joseph Stalin, dan mayat mereka bersemadi dalam jalan-jalan yang anda lalui ini.
Jika kita beranggapan bahawa anda tidak mengalami sebarang kecederaan atau jatuh sakit, dan entah bagaiamana boleh terselamat dari segala bahaya yang dilalui, anda akan tiba di Magadan sekitar 3 tahun kemudian dan menjadi manusia pertama yang berjaya berjalan dengan jarak terpanjang di dunia.
Jalan kaki 3 tahun? Kerja gila!
Rujukan:
2. Nerdist
3. Life