Adakalanya langit tidak cerah berpanjangan semasa anda sedang dilamun cinta. Baru saja 2 bulan kahwin dan pindah masuk rumah baru di Kubang Kerian, tiba-tiba suami dapat arahan bertukar ke Lahad Datu selama 2 tahun. Si isteri tak boleh berhenti kerja sebab dah ikat kontrak selama 5 tahun. Maka, bermulalah episod hidup berasingan pasangan suami isteri ini selama 2 tahun berikutnya.
Sepanjang 2 tahun yang bakal dilalui, anda mula fikir macam-macam boleh berlaku. Nanti suami cari yang baru ke? Isteri digoda Pak Mat duda merenyam tu tak? Siapa nak basuh baju suami? Kalau rindu macam mana? Sama-sama boleh setia ke kalau duduk berjauhan?
BESARKAN TEKS A- A+
Mula-mula, anda perlu faham dan ketahui bahawa pasangan juga boleh curang walaupun hari-hari ada depan mata anda ok? Jadi, ketepikan segala perasaan cuak yang menebal dalam diri dan teruskan membaca tips long-distance relationship ini:
#1 Selalu berkomunikasi
Komunikasi merupakan perkara yang paling penting dan kunci utama sebuah perhubungan. Jika duduk berjauhan, pastikan anda selalu berkomunikasi dengan pasangan. Tapi janganlah terlalu melekat nak bercakap di telefon 24 jam sampai pasangan nak pergi buang air pun tak boleh. Tak ada privacy langsung.
Ramai pasangan beranggapan mereka perlu 'menggantikan' masa bersama yang hilang akibat berjauhan dengan cara begitu. Tak perlu ekstrim sangat sebenarnya. Takut nanti lama-lama pasangan pun naik bosan dengan anda yang terlalu clingy berlebihan sehingga mengganggu kerjanya atau membuatkan dia tak cukup tidur.
#2 Berkomunikasi secara kreatif dan efektif
Pilih satu jenis komunikasi rutin seperti sentiasa menghantar teks untuk mengucapkan selamat pagi atau selamat malam setiap hari. Selain itu, dengan adanya kecanggihan teknologi zaman kini, gunakanlah aplikasi yang ada sebaiknya.
Anda boleh membuat Facetime, panggilan video, menghantar klip audio dan gambar masing-masing untuk melepaskan kerinduan. Janganlah hantar video atau gambar yang tidak senonoh pula. Manalah tahu si dia tertinggal telefon dalam kereta kawan, tak pasal-pasal kawan tu pula yang kenyang tengok gambar anda.
#3 Elakkan situasi mengundang 'bahaya'
Kalau anda dah tahu pasangan tak suka anda keluar melepak sampai pukul 2-3 pagi bersama kawan-kawan, janganlah buat. Apatah lagi menghabiskan masa di kelab malam atau berpoya-poya bercampur lelaki dan perempuan. Ini boleh membuatkan pasangan berasa sakit hati, risau dan syak wasangka dengan anda.
Jika ada rakan sekerja berlainan jantina mengajak anda keluar makan atau ke mana-mana, seboleh-bolehnya elakkan. Kita tidak tahu apa niat orang lain dan apa yang akan terjadi kalau anda 'terlayan'. Daripada anda difitnah, lebih baik anda balik rumah dan buat panggilan lepaskan rindu pada pasangan.
#4 Buat aktiviti bersama-sama
Walaupun anda berada di dua lokasi berbeza, namun anda masih boleh melakukan aktiviti bersama-sama. Contohnya anda boleh bermain game online, menonton Youtube, menyanyi karaoke Smule walaupun suara tak sedap ataupun beriadah di luar sambil membuat panggilan video. Selain itu, anda juga boleh membeli-belah secara online bersama-sama dan belikan hadiah istimewa untuk dihantar kepada pasangan.
Dengan teknologi, tak susah sangat dah untuk menjadi lebih kreatif dalam perhubungan.
#5 Luaskan topik perbualan
Berikan cadangan pada pasangan untuk membuat perkara yang lebih kurang sama. Sebagai contoh, anda berdua suka menonton rancangan Korea. Cadangkanlah pasangan untuk menonton sesuatu rancangan menarik yang pasti digemari, kemudian anda berdua akan punya lebih banyak topik untuk dibincangkan.
Tak adalah boring hari-hari asyik tanya benda yang sama. Balik-balik "sayang buat apa? dah makan belum? makan apa tadi?"
#6 Ketahui bila anda berdua dapat bertemu
Apabila hidup berjauhan, anda perlu ada sasaran dan perancangan. Ketahui bila pasangan akan pulang, sama ada dalam masa 1 bulan atau 6 bulan. Bila anda ada sasaran, anda akan sentiasa berasa teruja mempunyai sesuatu yang amat 'dialu-alukan' kedatangannya. Pejam, celik, sedar tak sedar dah bertemu kembali.
Kepulangan dan perkara yang tidak dapat dikenal pasti (uncertainties) boleh membuatkan anda sentiasa tertunggu-tunggu dan akhirnya berasa muak dengan pasangan.
#7 Rancang masa depan
Semasa berkomunikasi jarak jauh, bincanglah masa depan dan simpan angan-angan bersama-sama. Senaraikan apa yang ingin dilakukan apabila dapat peluang berjumpa. Selain itu, berboraklah mengenai perancangan masa depan seperti hendak membeli rumah di mana, perancangan bilangan ahli keluarga, percutian mengembara ke negara lain dan pelbagai lagi.
#8 Libatkan rakan-rakan dan ahli keluarga
Anda mungkin berasa sunyi kerana tinggal berjauhan dengan pasangan, tapi anda bukanlah berseorangan. Anda masih mempunyai sahabat, rakan sekerja dan ahli keluarga yang menyayangi anda.
Gunakanlah masa ini untuk mengeratkan hubungan bersama mereka. Sentiasa ziarah ibu bapa, adik-beradik atau keluar bersama rakan-rakan. Anda juga boleh membuat panggilan video semasa bersama mereka. Mereka juga mungkin merindui pasangan anda. Bukan anda seorang saja nak rindu-rindu.
#9 Sentiasa jujur
Jujurlah mengenai perasaan sebenar anda. Luahkan segala perasaan takut, curiga, cemburu, simpati dan sebagainya. Sekiranya anda menyembunyikan perasaan sebenar, lama-kelamaan ia akan memakan diri sendiri. Jangan sesekali cuba mengendalikan masalah sendirian. Kongsilah dengan pasangan dan anda akan berasa amat lega kerana mendapat sokongan padu daripadanya.
Sekiranya ada masalah dalam perhubungan, cuba atasi segera sebelum lebih melarat. Jangan sampai masing-masing tidak berhubungan secara berpanjangan. Takut ada yang gigit jari nanti.
#10 Nikmati masa berseorang diri
Janganlah bazirkan masa menangis sambil meratapi nasib hidup kesunyian. Ini mungkin sisa-sisa waktu terakhir anda bersendirian. Apabila sudah tinggal bersama kelak, sukar untuk anda menikmati kehidupan seorang diri dah. Anda boleh bangun tidur lewat, malas mandi, malas basuh baju, malas masak, tonton tv 24 jam dan tak mahu basuh pinggan selepas makan.
Anda juga boleh menyambung atau memulakan hobi atau perkara yang anda tak pernah cukup masa nak buat. Bila dah kembali hidup bersama nanti, susah dah nak bermalas-malas!