Pada 16 April 1853, kereta api penumpang pertama di dunia bergerak dari Bunder (Bombay) ke Thane dengan jarak 34 kilometer. Kereta api ini dikendalikan oleh tiga lokomotif, yang diberi nama Sahib, Sultan dan Sindh, dan mempunyai tiga belas gerabak.

Dan kini lebih dari 150 tahun kemudian, jenis pengangkutan ini menjadi antara yang paling penting bagi manusia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan adanya kereta api, kita boleh bergerak ke destinasi tanpa perlu melalui jalan raya yang biasanya mengalami kesesakan.

Di Malaysia, jarak perjalanan kereta api penumpang paling jauh dan lama tanpa henti adalah dari JB Sentral ke Tumpat, Kelantan.

ekspres rakyat timuran

(Kredit: Deezzullens la photographie)

Anda boleh merasai pengalaman ini dengan menaiki Ekspres Rakyat Timuran sejauh 723 kilometer yang mengambil masa selama 17 jam dan 17 minit merangkumi 24 hentian.

Ia merupakan salah satu perkhidmatan kereta api Intercity sleeper yang dikendalikan oleh kereta api diesel lama yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Namun, pernahkah anda tertanya-tanya berapakah jarak dan tempoh yang diambil oleh perjalanan kereta api penumpang paling panjang di dunia?

Ini adalah persoalan yang agak sukar untuk dijawab, namun ada jawapannya. Sebelum itu, terdapat beberapa kategori dan kriteria yang perlu dijelaskan untuk menentukan perkara ini.

peta landasan kereta api

Pertama, adalah sangat sukar untuk mengendalikan kereta api dalam jarak yang terlalu jauh. Lihat pada peta di atas, setiap warna yang berbeza dalam peta ini menunjukkan jarak landasan yang berbeza di negara yang berbeza.

Sama seperti negara yang berbeza mempunyai jenis soket dan mata wang yang berbeza, kelebaran landasan kereta api dari negara yang berbeza adalah tidak sama.

Ini bermakna kereta api di sesebuah negara hanya boleh berfungsi di negara tertentu sahaja dan ini boleh mencetuskan kesukaran.

Seperti yang anda lihat dalam peta, Sepanyol dan Portugal mempunyai ukuran landasan yang berbeza berbanding seluruh Eropah.

perancis dan sepanyol

Sebab mengapa perbezaan saiz landasan di Sepanyol adalah supaya Perancis tidak boleh menjajah mereka menggunakan kereta api. Pada satu ketika, orang Sepanyol tidak boleh sampai ke Perancis dengan menaiki kereta api tanpa menukar kereta api.

Namun Sepanyol kemudiannya membina beberapa laluan kereta api berkelajuan tinggi dalam ukuran standard yang digunakan Perancis dari bandar-bandar utama negara itu ke Perancis, jadi kini anda dapat menaiki kereta api secara langsung, sebagai contoh dari Madrid dan Barcelona ke Paris.

Namun di kawasan lain iaitu di kawasan tanpa landasan kereta api berkelajuan tinggi, anda tidak boleh melintasi sempadan dengan kereta api.

Sebagai contoh, jika anda ingin menaiki kereta api dari Biarritz, Perancis ke San Sebastian, Sepanyol, kereta api tersebut akan berhenti di Irun di mana anda perlu menaiki jambatan dan kemudiannya menukar kereta api untuk sampai ke San Sebastian.

Ini kerana kelebaran landasan kereta api di Sepanyol adalah 23.3 sentimeter lebih lebar dari landasan di Perancis.

lebar landasan kereta api berbeza setiap negara

Walaupun begitu, kereta api dari Biarritz sebenarnya boleh bergerak terus ke San Sebastian, namun tolok landasan perlu ditukar dan ini sangat menyusahkan.

Ia kerana proses ini memakan masa yang agak lama bagi kereta api yang sarat dengan penumpang namun bagi perkhidmatan seperti trans-Siberia dari Moscow ke Beijing, hal ini dilakukan.

Kereta api trans-Siberia berhenti di sempadan Mongolia-China selama 4 jam sementara menunggu kereta api ini diatur semula untuk laluan di China yang lebih kecil.

Dan dengan melakukan pengaturan landasan ini, kereta api trans-Siberia menjadi perkhidmatan kereta api penumpang ketiga terpanjang di dunia yang merangkumi 8,983 kilometer mengambil masa selama 6 hari.

Untuk gambaran yang lebih luas, kita perlu merujuk kepada perkhidmatan kereta api penumpang terpanjang mengikut negara.

peta landasan kereta api dunia

Di Amerika Syarikat, perjalanan kereta api penumpang terpanjang adalah dari Chicago ke Los Angeles sejauh 4,345 kilometer mengambil masa 65 jam, di United Kingdom sejauh 1,159 kilometer selama 13 jam dari Aberdeen ke Penzance, di Canada sejauh 4,458 kilometer selama 86 jam dari Toronto ke Vancover, di Australia sejauh 4,345 kilometer selama 65 jam dari Sydney ke Perth dan yang terakhir di India yang mengambil masa 80 jam dari Kannyakumari ke Dibrugarh sejauh 4,281 kilometer.

Namun, perkhidmatan kereta api penumpang terpanjang kedua di dunia juga di Rusia dan ia juga merupakan perkhidmatan trans-Siberia, iaitu dari Moscow ke Vladivostok mengambil masa selama 6 hari sejauh 9,289 kilometer.

Dan bagi persoalan di atas, perjalanan kereta api penumpang paling panjang dan lama di dunia adalah di negara paling kurang mesra di dunia iaitu Korea Utara.

gerabak kereta api korea utara

Namun, perkhidmatan kereta api terpanjang di dunia bukanlah oleh kereta api penuh, tetapi hanya gerabak kereta api dalam gambar di atas milik Korea Utara.

Kereta Api Korea Utara mengendalikan perkhidmatan ini dari Pyongyang ke Moscow dengan menghantar gerabak kereta api ini ke sempadan dengan Rusia.

perjalanan kereta api penumpang paling jauh dan lama di dunia 2

Ia kemudiannya dipasang pada kereta api Rusia yang bergerak Vladivostok ke Moscow.

Secara teknikal, ini adalah perjalanan secara terus atau langsung kerana penumpang tidak meninggalkan gerabak kereta api ini selama 206 jam atau 8 hari dan 14 jam, sejauh 10,268 kilometer.

Ini sekaligus menjadikan ia sebagai perkhidmatan kereta api penumpang terpanjang di dunia.

perjalanan kereta api penumpang paling jauh dan lama di dunia

Untuk gambaran, jarak ini adalah sejauh perjalanan kereta api dari JB Sentral ke Tumpat berulang alik sebanyak 7 kali.

Walaupun begitu, ia bukanlah perkhidmatan kereta api terpanjang di dunia kerana terdapat perkhidmatan kargo yang lebih lama.

Dalam usaha meningkatkan hubungan dengan barat, China telah mengendalikan kereta api kargo terus ke Eropah dan ini bukan hanya untuk menunjuk-nunjuk.

perjalanan kereta api paling panjang di dunia

Perjalanan ini adalah sejauh 13,000 kilometer dari Yiwu, China melalui Kazakhstan, Rusia, Belarus, Poland, Jerman dan Perancis sebelum berhenti di Madrid, Sepanyol, yang mengambil masa selama 21 hari.

Sebagai perbandingan, perjalanan laut akan memakan masa 6 minggu dan pengangkutan jalan raya akan menyebabkan pencemaran sekitar 3 kali ganda iaitu 114 tan karbon dioksida berbanding 44 tan menggunakan kereta api.

kereta api dari yiwu ke madrid

China, Poland, dan Eropah Barat menggunakan tolok landasan standard, sementara Kazakhstan, Rusia, dan Belarus menggunakan tolok Rusia, manakala Sepanyol menggunakan tolok Iberia yang lebih lebar.

Dengan teknologi yang semakin canggih, mungkin satu hari nanti kita dapat mengembara ke seluruh dunia dengan hanya menaiki kereta api dan peta landasan kereta api 50 tahun lagi mungkin kelihatan seperti di bawah. Wallahualam.

bayangkan jika kita boleh mengembara ke seluruh dunia menaiki kereta api

Rujukan:

1. Global Times

2. Guinness World Records

3. Halfasin

4. Times of India




Hakcipta iluminasi.com (2017)