Kredit foto: Instagram Astro Gempak
‘Karaoke Superstar’ merupakan sebuah rancangan TV realiti berkonsepkan pertandingan karaoke yang menyaksikan pertembungan di antara penyanyi popular bersama hiburan permainan berbentuk kuiz.
Penyanyi terkenal akan digandingkan bersama-sama dengan peminat setia yang dipilih daripada kelab peminat mereka - melalui kaedah cabutan dalam segmen-segmen tertentu.
Setiap persembahan peserta akan diiringi oleh 'live band' bagi menyuntik kelainan dalam suasana berkaraoke.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Format Program
Para selebriti bakal menyanyikan genre lagu yang keluar dari zon selesa mereka melalui seleksi lagu yang belum pernah dinyanyikan mereka di mana-mana platform.
Kriteria lagu adalah mengikut pilihan lagu yang biasa dinyanyikan oleh para pengunjung di pusat karaoke.
Menariknya tentang 'Karaoke Superstar', penonton boleh menyaksikan paparan lirik lagu di kaca televisyen sewaktu peserta sedang membuat persembahan dengan hanya menekan butang sarikata di alat kawalan Astro.
Dalam menilai peserta di setiap segmen, juri akan membuat penjurian berdasarkan pengalaman mereka selama berada dalam industri.
Barisan artis yang terlibat dengan program ini adalah seramai 20 orang, berentap mempertaruhkan bakat nyanyian bersama pengetahuan yang dimiliki dalam usaha mengumpul markah sehingga akhir pertandingan - bagi merebut trofi emas Karaoke Superstar!
Segmen
Di bawah format ‘Karaoke Superstar’, ia dipecahkan kepada lima segmen yang merangkumi nyanyian, permainan, duet bersama peminat serta kuiz yang mencabar bakat dan pengetahuan tentang dunia hiburan.
Segmen-segmen yang diwujudkan ialah:
1. SUPERFANS
Salah seorang peminat setia artis tersebut akan cuba meraih markah untuk kumpulannya dengan mendendangkan lagu popular artis berkenaan. Pemilihan peminat dilakukan hasil uji bakat bersama dengan pihak produksi.
2. KAROK UJI
Pusingan kedua yang akan mencabar artis untuk berduet dengan peminat yang ditentukan secara cabutan nombor, menerusi pemilihan lagu oleh pihak lawan mereka.
3. KUIZ KAROK STAR
Lontaran soalan-soalan survey popular untuk mendapatkan jawapan yang paling tepat akan menguji artis bersama peminat yang dipilih secara cabutan nombor. Hukuman menanti peminat sekiranya mendapat markah terendah.
4. MIKROFON MISTERI
Seorang artis popular akan hadir ke pentas sebagai kejutan bagi mewakili artis minggu tersebut. Artis jemputan ini akan mempersembahkan lagu popular artis pilihan mereka bagi membantu pertambahan markah.
Persona artis jemputan ini akan disembunyikan sehingga di akhir persembahan yang mana ia menjadi tanggungjawab artis minggu tersebut untuk meneka siapakah gerangannya.
5. MESSY UP STAR
Pusingan akhir menyaksikan artis diuji dengan nyanyian lagu artis pihak lawan mereka secara mashup namun perlu menggunakan identiti nyanyian yang tersendiri.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Pengacara
Kemeriahan program ini bakal digamatkan lagi dengan kehadiran dua pengacara terkenal iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi bersama dengan Ain Edruce yang akan mengemudikan pentas dengan pendekatan secara santai bersama selitan elemen jenaka.
Juri
Kesemua bintang dan peserta diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada pelakon terkenal bertaraf lagenda, Erra Fazira serta ratu dangdut negara, Mas Idayu sebagai Ratu Karok. Mereka berdua disertai dengan penglibatan seorang juri jemputan pada setiap episod.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Senarai Peserta / Artis Jemputan
20 orang selebriti yang diketengahkan sebagai peserta merupakan penyanyi-penyanyi profesional terkenal tanah air yang akan mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian mereka serta pengetahuan masing-masing dalam misi memiliki trofi emas Karaoke Superstar.
Minggu 1 - Zamani & Wany Hasrita
Minggu 2 - Tomok & Adira Suhaimi
Minggu 3 - Tajul & Amira Othman
Minggu 4 - Ezad Lazim & Ramlah Ram
Minggu 5 - Ameng Spring & Datin Alyah
Minggu 6 - Rahmad Mega & Ara Johari
Minggu 7 - Syamel & Liza Hanim
Minggu 8 - Muss & Amelina
Minggu 9 - Dato’ Nash & Aina Abdul
Minggu 10 - Black Hanafiah & Jaclyn Victor
Format Penjurian
Pecahan markah bagi persembahan peserta untuk setiap segmen akan diberikan oleh pihak juri berdasarkan beberapa kriteria iaitu vokal atau tempo (40%), persembahan (40%), personaliti (10%) dan bakat spontan (10%).
Menerusi segmen ketiga iaitu ‘Kuiz Karok Star’, jumlah jawapan tepat dalam kuiz-kuiz yang dilontarkan oleh hos, bakal menentukan pemenang yang layak.
Hadiah
Pemenang untuk setiap cabaran akan dikurniakan sebuah trofi, manakala juara keseluruhan bakal membawa pulang piala pusingan juara Karaoke Superstar.
Pemenang yang menjadi wakil fanclub selebriti masing-masing mendapat sebuah plaque sebagai cenderahati kemenangan.
Kredit foto: Instagram Astro Gempak
Tempoh Siaran
'Karaoke Superstar' mengambil slot tayangan di kaca televisyen pada setiap hujung minggu bagi siaran selama 10 minggu berturut-turut.
Waktu Tayangan
‘Karaoke Superstar’ yang berdurasi selama satu jam tiga puluh minit untuk setiap episod ini disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam bermula 5 Jun 2022 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) selain turut dimuatkan sebagai kandungan online di aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Episod-episod kapsul program selama 10 episod akan ditayangkan selama 10 minit pada setiap minggu, selain episod istimewa ‘The Best of Karaoke Superstar’ yang mengandungi sebanyak empat episod disiarkan di saluran sama.
Kredit video: [EPISOD PENUH] Karaoke Superstar Minggu 1