Kredit foto: Astro Gempak
Rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ merupakan sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri dan disiarkan di saluran Astro Warna.
Program versi Malaysia dari rancangan realiti Korea Selatan berjudul ‘The King of Mask Singer' ini bakal memulakan siaran pada 18 September 2020 pada jam 9 malam.
The King Of Mask Singer
'The King of Mask Singer’ yang bersiaran di Korea Selatan sejak tahun 2015, telah mencetuskan fenomena di peringkat antarabangsa, hingga turut diadaptasi di negara-negara luar seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat
Kredit foto: Astro Gempak
Peserta
Seramai 12 peserta yang dirahsiakan identiti mereka bakal mempersembahkan bakat nyanyian masing-masing untuk diadili barisan juri.
Para peserta misteri ini merupakan bintang-bintang ternama yang hadir dari pelbagai cabang seni, antaranya adalah penyanyi, pelakon, pengacara, tokoh sukan dan ramai lagi.
Begitupun identiti mereka disembunyikan di sebalik 12 kostum hasil rekaan perunding dan pereka fesyen berpengalaman, Akma Suriati Awang iaitu kostum Musang King, Nasi Lemak, Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, ABC, Enggang, Ayam Jantan, Reno, Rimau, Rafflesia dan Bunga Raya.
Identiti barisan peserta akan terus menjadi rahsia serta hanya diketahui oleh lapan orang sahaja daripada kalangan produksi.
Hanya jika peserta itu disingkirkan, rakyat Malaysia buat pertama kali akan didedahkan siapa sebenarnya di sebalik topeng dan kostum berkenaan.
Konsep
Menggunakan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’ dengan suntikan elemen lokal, peserta The Masked Singer Malaysia yang bersembunyi di sebalik kostum dari kepala hingga ke kaki, hanya mempertaruhkan suara dan kreativiti persembahan sebagai sandaran untuk menentukan kedudukan mereka dari minggu ke minggu sehinggalah juara musim pertama dinobatkan.
Menariknya, identiti mereka menjadi rahsia terbesar hingga tidak diketahui hos, barisan panel termasuk ratusan krew produksi dan staf, kecuali 8 orang daripada bahagian produksi yang memegang amanah untuk menyimpan rahsia tersebut.
Bukan sahaja bentuk fizikal, malah suara percakapan peserta juga turut diubah!
Bagaimanapun sebelum setiap persembahan peserta bermula, akan ada video klu yang dipaparkan untuk memberi bayangan siapakah gerangan selebriti yang menyorok di sebalik kostum.
Barisan juri akan cuba meneka identiti peserta sejurus persembahan selesai, selain memberi markah bagi menentukan siapa peserta tercorot yang akan disingkirkan di hujung konsert.
Segmen penyingkiran akan menjadi detik paling dinanti-nantikan kerana peserta tersingkir akan mendedahkan identiti sebenarnya buat pertama kali kepada orang ramai.
Penantian semua penonton akan terjawab pada saat itu!
Peserta yang berjaya menjejakkan kaki sehingga episod kelapan akan diangkat sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim pertama.
Kredit foto: Instagram SINAR
Tempoh Siaran
Lapan episod untuk lapan minggu berturut-turut.
Rakan Digital Dan Radio Rasmi
Gempak menjadi rakan digital rasmi, manakala SINAR pula memegang mandat sebagai Radio Rasmi.
Vlog kelolaan hos Farid dan Aizat yang memaparkan momen-momen di belakang pentas boleh disaksikan dalam siri ‘Pintu Belakang’ di Zon Lawak menerusi saluran YouTube rasminya.
Kredit foto: Astro Gempak
Juri
Sembilan figura berpengaruh dunia hiburan tempatan diberi tugasan sebagai Juri Tetap untuk mengadili pertandingan.
Mereka ialah Datuk Aznil Haji Nawawi, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Zizan Razak, Nabila Huda, Michael Ang, Raja Azura, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.
Pengarah Muzik
Pemuzik, penerbit, penggubah dan penulis lirik, Shahnizam Abdul Halim yang juga nama popularnya, Shah Slam bertindak sebagai Pengarah Muzik yang juga pencipta salah satu lagu tema program ini.
Lagu tema kedua pula menggunakan khidmat ikon rap ternama, Altimet sebagai pencipta.
Kredit foto: Astro Gempak
Pengacara
Datuk AC Mizal bakal mengemudikan pentas pertandingan sebagai hos, manakala siri Live+ yang ke udara setiap Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 18 September 2020 menggandingkan pengacara Izzue Islam dan Elly Ariffin bersama pengisian menarik dengan imbauan persembahan termasuk perbualan bersama penonton yang hadir.
Kredit foto: Instagram Zon Lawak
Waktu Siaran
Fenomena 'The Masked Singer Malaysia' bakal bermula pada 18 September 2020, bersiaran setiap hari Jumaat, jam 9 malam di saluran Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107), selain boleh distrim di aplikasi Astro GO.
Konsert mingguan yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam itu hanya membabitkan skala penonton yang kecil selaras arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Kesemua telefon pintar penonton yang hadir akan disimpan pihak produksi dan hanya akan diberikan semula apabila program berakhir.
Ia bagi mengekalkan elemen ‘rahsia’ yang mana turut menuntut penonton untuk menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) sebelum masuk ke sesi rakaman.
Siaran Live+ pula akan ditayangkan pada setiap Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 18 September 2020.
Sumber:
1. Astro Lancar Program Cetus Fenomena ‘The Masked Singer Malaysia’
2. Bawa 'Hallyu Wave', Astro Warna Saji 'The Masked Singer Malaysia’ Untuk Penonton