Michael Cicconetti, berumur 51 tahun adalah seorang Hakim di daerah Painesville, Lake County, Ohio.

Walaupun beliau adalah seorang Hakim bertaraf daerah dan kuasanya tidaklah besar mana, beliau amat terkenal sebagai seorang hakim yang menjatuhkan hukuman yang disifatkan sebagai "creative justice." Beliau lebih gemar memberi pesalah yang telah didapati bersalah, pilihan untuk memilih sendiri bentuk hukuman yang dijatuhkan atau masuk ke penjara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bentuk-bentuk hukuman yang beliau jatuhkan selalunya tidak bersifat konvensional. Berikut adalah contoh-contoh hukuman yang beliau telah jatuhkan sebagai hakim kepada pesalah yang telah disabitkan kesalahan.

1. Kesalahan tinggalkan 35 ekor anak kucing dalam hutan

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif

Michelle M.Murray, 25 tahun didapati telah meninggalkan 35 ekor anak kucing di dalam hutan di Ohio sekitar bulan September 2005.

Pada 19 September, seorang renjer hutan menjumpai anak-anak kucing tersebut, ada yang dah meninggal dan beberapa ekor pula menghadapi masalah pernafasan. Pemilik anak kucing tersebut dikenal pasti berdasarkan kolar yang mempunyai nombor identifikasi, yang merujuk kepada Murray.

Cicconetti memberikan Murray pilihan sama ada mahu:

a. hukuman dipenjara 90 hari

b. pakej hukuman 14 hari penjara, 15 hari tahanan rumah, wajib memberi sumbangan kepada rumah kebajikan dan diwajibkan untuk tinggal bersendirian di dalam hutan selama satu malam tanpa makanan, bahan bacaan atau peranti hiburan.

Murray memilih hukuman yang kedua untuk mengelakkan ke penjara selama 90 hari. Murray kemudian duduk di dalam hutan selama satu malam atas kesalahan yang dilakukannya. Harap tidak ada hantu anak kucing mengganggu beliau pada malam itu.

2. Buang anak anjing dari tingkat 6

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif2

Seorang lelaki bernama Michael Sutton, 23 didapati bersalah kerana membuang anak anjingnya dari rumahnya yang berada ditingkat enam blok bangunan, atas alasan anak anjing tersebut berak di atas katil beliau. Anak anjing tersebut dibaling keluar melalui tingkap lalu jatuh ke dalam tong sampah yang berada di bawah. Keadaan bangkainya dikata mengerikan.

Menegaskan yang tindakan Sutton adalah tindakan tidak berperikemanusiaan, Hakim Cicconetti ingin menghukum Sutton dengan memasukkan beliau ke tong sampah dan diperintah duduk di dalam itu mengikut tempoh tertentu. Walau bagaimanapun, hasrat Hakim Cicconetti tidak kesampaian kerana itu adalah kes jenayah Sutton yang kedua, membuatkan hukuman lebih berat terpaksa dijatuhkan kepada Sutton.

3. Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif3

Jon Tarase didapati bersalah kerana memandu dalam keadaan mabuk. Tarase, 23, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan mengaku menyebabkan kecederaan pada sepasang suami isteri yang berada di dalam sebuah kereta yang dilanggar oleh Tarase.

Tarase diberi pilihan untuk:

a. Penjara selama 5 hari sebagai tambahan ke atas 60 hari hukuman lokap yang sudah dikenakan ke atas beliaub. Perlu menghadiri kursus mengenai ketagihan alkohol. Tarase juga diwajibkan untuk ke hospital atau bilik mayat bagi melihat dengan mata sendiri dua sampel mayat yang menjadi mangsa kes kemalangan. Tarase memilih untuk mengikuti kursus dan menjenguk mayat supaya beliau tidak ke penjara.

4. Wanita elak bayar tambang teksi

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif4

Victoria Bascom menaiki sebuah teksi bersama 4 kawannya untuk pulang selepas mengunjungi sebuah bar dengan perjalanan sejauh 58km dari Cleveland ke Painesville.Sampai di destinasi, beliau turun bersama seorang lagi rakannya. Bascom memberitahu yang dua lagi rakannya yang masih di dalam teksi itu yang akan membayar tambang perjalanan. Walaupun begitu, kedua-duanya tidak mampu membayar tambang. Pemandu teksi itu mengetuk pintu rumah Bascom dan polis pun dipanggil untuk membantu.

Selepas disiasat, mahkamah mendapati Bascom bertanggungjawab untuk membayar tambang tersebut. Bascom didapati bersalah kerana gagal membayar kos perjalanan teksi tersebut. Hukuman untuk Bascom adalah penjara 60 hari. Hakim Cicconetti juga memberikan opsyen kepada Bascom hukuman berjalan kaki sebanyak 58 kilometer dalam 48 jam yang ditetapkan mahkamah. Bascom memilih untuk berjalan kaki. Mahkamah memasangkan alat GPS pada tubuhnya untuk memastikan hukuman diselesaikan dengan betul dan Bascom pun berjalan di sekeliling bandar. Dikhabarkan dia perlu berpusing sekeliling bandar sebanyak 40 kali.

5. Kesalahan menyembur penyembur lada

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif5 862

Seorang wanita berumur 20 tahun bernama Diamond T.Gaston didapati bersalah menyerang seorang lelaki dengan penyembur lada. Beliau diberikan pilihan sama ada mahu menghabiskan 30 hari di dalam penjara atau membenarkan mangsa serangan beliau menggunakan penyembur lada pada muka beliau, sebagai ganti hukuman.

iluminasi michael cicconetti hakim hukuman kreatif6

Gaston ketakutan kerana tahu kesan kesakitan yang terjadi tetap memilih untuk ditembak dengan penyembur lada, untuk mengelakkan penjara. Bagaimanapun, semuanya berakhir dengan gembira kerana penyembur lada yang digunakan untuk menyembur Gaston sebenarnya hanyalah air. Satu mahkamah ketawa melihat ketakutan Gaston sebelum disembur dan semuanya dirakam dalam video. Selepas "disembur" Gaston tetap dikenakan hukuman 3 hari kerja komuniti dan diletakkan dibawah tempoh percubaan selama 4 bulan.


Ada banyak lagi contoh lain yang menunjukkan hukuman kreatif yang dilaksanakan oleh Hakim Cicconetti,tapi untuk menyenaraikan semuanya memerlukan artikel yang berjela-jela panjangnya. Adakah hukuman seperti ini mampu membuatkan anda takut nak melakukan semula kesalahan? Jawapannya ada pada diri masing-masing. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)