Oleh pada 16 May 2017 kategori

Ketibaan Hari Guru sememangnya dinanti-nantikan oleh para guru seluruh negara. Masa inilah mereka akan rasa dihargai dengan kad ucapan, hadiah cawan, frame gambar, bunga, pen, cokelat dan sebagainya.

hargai guru sepanjang hayat

Tapi anda yang dah memasuki alam institut pengajian tinggi, alam pekerjaan dan alam berumah tangga ini bagaimana pula? Takkanlah tak mahu turut sama mengucapkan terima kasih kepada bekas guru anda? Merekalah yang memberikan anda didikan dan ilmu sehingga anda berjaya kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami kongsikan 5 cara mudah menyampaikan penghargaan kepada bekas-bekas guru anda:

#1 Ucap terima kasih

Ini mungkin cara paling mudah dan tulus ikhlas untuk menunjukkan bahawa anda amat menghormati dan menghargai guru-guru. Kini ramai pelajar yang 'berkawan' dengan bekas guru di media sosial. Anda boleh sahaja memuatnaik status ucapan terima kasih dan tag semua guru yang ada dalam senarai rakan anda.

Anda juga boleh menghantar mesej peribadi melalui SMS atau Whatsapp kepada mereka untuk sentuhan yang lebih deep.

Selain itu, anda juga boleh menghantar kad ucapan atau surat kepada mereka melalui pos. Ramai orang zaman kini lebih menghargai surat dan kad yang ditulis tangan. Buatlah sedikit karangan agar lebih menyentuh jiwa. Boleh menitis air mata cikgu baca luahan isi hati anda tau!

cara hargai bekas guru sekolah 4

#2 Beri sedikit sumbangan

Sekiranya anda terlibat aktif dengan program alumni sekolah, anda boleh memberikan sedikit sumbangan. Ia tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sebagai contoh, anda dan beberapa orang rakan boleh berkumpul untuk melakukan gotong-royong di sekolah, mengecat makmal sains atau paling mudah - melawat bekas guru.

Selain itu, guru-guru amat menghargai sumbangan buku untuk digunapakai oleh anak-anak murid di sekolah mereka. Dahlah disayangi cikgu, anda pun dapat pahala berlipat kali ganda pada masa yang sama kerana membuat kerja amal.

cara hargai bekas guru sekolah 2

#3 Hantar makanan atau snek kepada guru

Seorang guru terpaksa berlari ke sana ke mari memanjat tangga sepanjang hari dan kadangkala boleh menjadi begitu letih melayan kerenah murid-murid di sekolah. Apa kata anda buat pesanan penghantaran makanan kepada mereka.

Kejutan seumpama ini boleh menghilangkan rasa letih mereka dan akan membantu memberi tenaga kepada mereka. Kalau guru tersebut dah pencen pun, apa salahnya. Hantar sajalah ke rumah mereka.

cara hargai bekas guru sekolah 832

#4 Komunikasi

Jangan putuskan hubungan silaturahim bersama bekas guru anda. Sentiasa berkomunikasi bersama mereka dan tanya khabar sekali-sekala. Janganlah tunggu Hari Guru tiba saja baru nak bertanya khabar.

Apabila anda mengeratkan perhubungan dengan bekas guru, mereka pun rasa bersyukur sangat kerana melahirkan anak didik seperti anda. Tak payah bagi hadiah pun mereka dah gembira, percayalah!

cara hargai bekas guru sekolah3

#5 Belanja makan

Anda mungkin selalu buat reunion bersama rakan sekolah, tapi sesekali buat reunion dengan cikgu seronok juga. Jika guru tinggal berdekatan dengan anda, ajaklah cikgu-cikgu anda keluar makan bersama. Anda boleh juga sediakan makanan sedap-sedap kemudian jemput mereka datang ke rumah.

Sambil makan, anda pun boleh berborak panjang bersama guru tersebut. Cikgu-cikgu semua pun mesti nak tahu perkembangan terbaru diri anda. Bila dah dapat lihat sendiri kejayaan bekas anak didik, lebih bersemangatlah guru-guru ini nak menabur bakti mengajar sehingga ke akhir hayat.

hargai guru sepanjang tahun

Mudah saja kan nak menghargai guru? Jangan sesekali lupa jasa mereka dan tunjukkan penghargaan anda.

Kami di ILUMINASI ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, bakal guru, bekas guru dan kesemua warga pendidik di seluruh Malaysia.

Terima kasih, cikgu!




Hakcipta iluminasi.com (2017)