Kredit foto: Instagram Rozita Che Wan

Aktres, hos dan usahawan Rozita Che Wan bakal bergelar penyanyi tidak lama lagi.

Hasrat itu bakal direalisasikan penyanyi dan komposer terkemuka, Hazami.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia teruja bercampur gementar memikirkan cabang kerjaya baharunya itu.

"Dalam soal nyanyian ini, saya memang serius, apatah lagi Hazami juga beriya-iya mahu saya menyanyikan lagu ciptaannya.

"Sebelum ini, saya pernah didekati penggiat seni lain seperti Eddie Hamid dan Imran Ajmain yang menawarkan peluang serupa. Namun, mungkin ketika itu saya belum bersedia. Waktu itu pun, Imran mencari pelakon sebagai rakan duet dan bukannya penyanyi," kata ibu kepada tiga anak ini.

Che Ta mengatakan dia sememangnya menyukai karya Hazami, antaranya Takdir (nyanyian Dayang Nurfaizah), yang juga lagu tema drama Syurga Yang Kedua

Mengulas genre kegemarannya, pelakon Kak Marr ini akui tidak punya pilihan spesifik.

"Saya pun tak pernah terfikir nak jadi penyanyi selama ini. Jadi, mungkin lagu balada atau irama Malaysia sesuai dengan saya," katanya yang sedia dikritik apabila lagu baharu itu keluar nanti.

Dalam masa sama, Hazami di ketika ini dikatakan sedang sibuk menyiapkan lagu untuk penyanyi Azharina Azhar dan Aishah.

"Mungkin giliran saya akan tiba selepas Hazami menyiapkan lagu untuk Aishah," tutur isteri kepada aktor Zain Saidin ini.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)