Oleh pada 29 Aug 2017 kategori

genghis khan 2

Bagi yang meminati sejarah, sudah pastinya mengenali siapa gerangan pemerintah ini. Genghis Khan adalah pengasas dan pemerintah Empayar Mongol sehingga tahun 1227. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam usaha menubuhkan empayar yang menjadi kerajaan terbesar dalam sejarah manusia. Bermula dengan menyatukan suku kaum Nomad, usaha penaklukan oleh Genghis Khan diserahkan kepada anaknya, Ogedei Khan, yang memperluaskan Empayar Mongol hingga ke Asia Tengah dan China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di era kegemilangan empayar ini, ia mengawal kawasan berkeluasan hampir 33 juta kilometer persegi yang bersamaan saiz hampir sebesar benua Afrika, atau 100 kali ganda saiz Malaysia, atau 22% keluasan darat bumi. 40 juta nyawa terkorban di tangan Genghis Khan dan beliau dianggap sebagai antara pemerintah paling bengis dan kejam di dunia.

genghis khan 1 731

Namun, beliau juga dipuji kerana berjaya menghasilkan suasana politik yang bersatu di Silk Road yang membolehkan perdagangan dan komunikasi dari Timur Laut Asia ke Barat Daya Asia (Islam) dan juga Kristian Eropah. Ini secara tak langsung memperluaskan hubungan di antara ketiga-tiga budaya ini.

Kehidupan awal

Dilahirkan pada tahun 1162, Genghis dilahirkan dengan nama sebenar, Temüjin, berdekatan dengan sempadan Mongolia dan Siberia pada hari ini. Beliau mempunyai 6 lagi adik beradik (4 kandung, 2 tiri). Bapa Temüjin iaitu Yesügei adalah ketua puak Borjigin yang muncul sebagai ketua pemerintah puak Mongol. Kehidupan awal beliau agak sukar apabila bapanya mengaturkan perkahwinan dan menghantar Temüjin tinggal bersama keluarga bakal isterinya, Borte, ketika beliau berusia 9 tahun. Beliau dikatakan disuruh menjadi ketua pembantu rumah sehingga bersedia untuk berkahwin paa usia 12 tahun.

genghis khan 3

Nasib bapanya tidak baik apabila dalam perjalanan pulang selepas menghantar beliau, terserempak dengan puak musuh yang menawarkan makanan yang mempunyai racun. Bapanya mati akibat memakan makanan tersebut. Mendengar berita tersebut, Temüjin pulang ke rumahnya dan menuntut posisi ayahnya untuk menjadi ketua puak. Namun, abang tirinya, Begter, yang merupakan ahli keluarga lelaki paling tua mula menunjukkan kuasa dan berhak menuntut dan menjadikan Hoelun (ibu Temüjin), sebagai isteri. Berang dengan situasi itu, Temüjin dan abang kandungnya, Khasar, telah membunuh Begter.

Ketika berusia 15 tahun, beliau telah diculik oleh musuh bapaya dan telah dijadikan hamba, namun akhirnya berjaya melarikan diri. Beliau mula dipandang tinggi kerana mampu melepaskan diri, dan kemudiannya menubuhkan pakatan bersama Jelme dan Bo'orchu. Dan ketika ini, puak-puak di Mongolia tidak bersatu, dan ia menjadi satu adat untuk mengukuhkan pakatan buat sementara, dengan mengaturkan perkahwinan anak-anak. Menggunakan apa yang diajarkan oleh ibunya iaitu kepentingan pakatan yang kuat bagi memastikan kestabilan Mongolia, Temüjin mula mendapat idea.

Perkahwinan dan mula berkuasa

Temüjin mengahwini Borte ketika berusia 16 tahun dan menggabungkan dua puak. Borte kemudiannya diculik oleh puak Merkits, namun telah diselamatkan oleh Temüjin. Beliau dibantu oleh puak Keraites yang memberikan bantuan 20,000 orang tentera, dan juga oleh rakan Temüjin iaitu Jamukha, yang ketika itu adalah Khan (pemerintah tentera) dalam puak Jadaran.

genghis khan 6

Walaupun berjaya mengalahkan puak Merkits, ia merupakan bibit-bibit perpecahan antara Temüjin dan Jamukha, yang mana mereka adalah "blood brothers" dan telah bersumpah untuk kekal setia selamanya. Antara faktor utama perpecahan antara mereka adalah kerana Jamukha menyokong pemerintahan tradisional Mongolia secara aristokrasi, dan Temüjin pula mengikut cara meritokratik. Cara yang dipegang Temüjin telah menarik rangkuman rakyat yang lebih luas, serta mendapat pengikut daripada golongan bawahan.

Temüjin seolah-olah melanggar adat apabila menjadikan sekutu yang mahir untuk memegang jawatan tinggi dan melaksanakan hukuman terhadap pihak musuh, yang sepatutnya menjadi hak ahli keluarganya. Beliau mengaturkan dan memecahkan pahlawan-pahlawannya kepada 10 unit, tanpa mengira hubungan kekeluargaan.

genghis khan 4 655

Sebanyak 4 orang anak lelaki dilahirkan oleh Borte, iaitu Jochi, Chagatai, Ögedei dan Tolui. Temüjin mempunyai ramai lagi anak dengan isteri-isteri lain namun dikecualikan daripada penggantian takhta. 

Menubuhkan empayar

Kehidupan awal Temüjin dipenuhi dengan dakwaan beberapa siri pengkhianatan dan konspisrasi, termasuklah keretakan hubungan dengan rakan baiknya Jamukha yang juga ingin menjadi pemerintah Mogol dan juga masalah dengan bomoh yang ingin melagakan beliau dengan adiknya, Khasar. Dengan ini, beliau lebih teliti dalam merancang mengumpulkan maklumat serta menyelidik motivasi musuhnya dengan menggunakan rangkaian pengintipan yang luas.

ogedei khan

Taktiknya berhasil apabila beliau berjaya menyatukan puak Merkits, Naimans, Mongols, Keraites, Tatars, Uyghurs dan beberapa puak kecil yang lain, di bawah kuasanya. Kejayaan ini dianggap sebagai sesuatu yang sangat hebat kerana sebelum ini puak-puak ini tidak pernah bersatu. Dengan berada di bawah satu tampuk pemerintahan yang sama, ia telah meleraikan persengketaan dan bergabung menjadi satu pasukan tentera, dikenali sebagai Mongol.

Menjelang tahun 1205 ketika berusia 43 tahun, semua musuh Temüjin telah dihapuskan termasuklah bekas rakan baiknya, Jamukha. Walaupun Temüjin berkepercayaan animis, namun pengikut-pengikutnya termasuk daripada golongan Kristian, Muslim dan juga Buddha.

Pada tahun 1206, Temujin bermesyuarat dengan ketua daripada setiap wilayah/puak yang disatukan olehnya dan menubuhkan sebuah negara yang lebih kurang sebesar Mongolia pada hari ini. Dalam mesyuarat yang dikenali sebagai Khuruldai itu, beliau diberikan gelaran Chinggis Khan yang bermaksud "Pemerintah Universal", yang kemudiannya dikenali sebagai Genghis Khan di Barat.

chinggis khan

Seramai 1 juta berada di bawa pemerintahannya ketika puak-puak itu bersatu. Untuk mengelakkan daripadanya tercetusnya perbalahan di antara puak, beliau menghapuskan sistem aristokrasi. Perkara-perkara lain juga diubah oleh Temujin seperti mengharamkan penjualan dan penculikan wanita, mengharamkan sistem hamba dalam kalangan Mongol, dan juga menghukum bunuh kepada pencuri ternakan. Beliau juga mengarahkan penggunaan sistem tulisan, menjalankan banci, mengurniakan imuniti diplomatik kepada duta asing serta memberikan kebebasan beragama.

Kempen penaklukan dan peperangan Yehuling

Selepas beberapa pencerobohan oleh Mongol terhadap kerajaan Xi Xia di barat laut China, inisiatif terbesar telah dilancarkan pada tahun 1209 yang membuatkan mereka menghampiri ibu kota Xi Xia, iaitu Yinchuan. Tentera Mongol terdiri daripada pasukan berkuda yang sangat mahir dalam berkuda dan pakar dalam memanah. Taktik yang digunakan mereka di Yinchuan adalah melakukan pengunduran palsu, dan kemudian melancarkan pengepungan. Taktik ini berjaya dan pemerintah Xi Xia telah menyerah kalah.

mongol empire

Bagi melebarkan sayap Empayar Mongol, Genghis Khan mengarahkan serangan ke atas Dinasti Jin di utara China, kerana pemerintah dinasti ini telah menuntut supaya Genghis Khan menyerah diri. Dengan kekuatan yang lebih rendah daripada kekuatan musuh, tentera Mongol mula menyerang dan merosakkan perkampungan dari tahun 1211 hingga 1214, menyebabkan ramai orang kampung yang terdiri daripada petani miskin melarikan diri ke bandar. Situasi ini menyebabkan bekalan makanan (diternak dan ditanam di kawasan luar bandar) berkurangan, dan mencetuskan masalah. Berang dengan situasi tersebut, tentera Dinasti Jin membunuh berpuluh-puluh ribu petani mereka sendiri.

Dalam peperangan ini, hampir separuh daripada 950,000 tentera dinasti Jin telah terbunuh oleh tentera Mongol dengan kekuatan 110,000 tentera berkuda.

mongol empire 2

Tentera Mongol kemudiannya mengepung ibu kota Zhongdu yang dikenali sebagai Beijing pada hari ini, yang membuatkan pemerintah Dinasti Jin bersetuju menyerahkan sutera, perak, emas dan kuda dalam jumlah yang banyak. Pemerintah Jin kemudian melarikan diri ke selatan, menyebabkan Genghis Khan menganggap ini sebagai perlanggaran perjanjian dan menghancurkan Zhongdu.

Penaklukan Empayar Khwarezm 

Pada tahun 1218 hingga 1221, Genghis Khan menerajui Mongol dalam peperangan dengan Empayar Khwarezm (Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Iran hari ini) yang diketuai oleh Shah Ala ad-Din Muhammad. Genghis Khan melihatkan Khawarizmia sebagai berpotensi sebagai rakan dagangan komersial menggunakan Silk Road. Beliau menghantar sebuah karavan untuk menubuhkan ikatan dagangan secara rasmi dengan Empayar Khwarezm. 

mongol army

Namun, karavan itu telah diserang oleh gabenor Khwarizmia yang mendakwa karavan itu mengandungi perisik. Gabenor itu enggan membayar gantirugi rampasan karavan itu menambahkan lagi ketegangan. Genghis Khan sekali lagi menghantar 3 orang wakil, 2 orang Mongol dan seorang Muslim, untuk berjumpa terus dengan pemerintah Khwarizmia, Shah Ala.

Namun, Shah Ala mengarahkan kepala ketiga-tiga wakil Genghis Khan dicukur, dan wakil Muslim tersebut telah dipancung. Kepala beliau dihantar pulang bersama dua lagi wakil Mongol. Genghis Khan yang berang dengan penghinaan tersebut, telah merancang pencerobohan terbesar dalam sejarah pemerintahannya dengan mengarahkan 100,000 tentera yang terdiri daripada pegawai paling mahir bersama beberapa orang anak-anaknya.

empayar shah

Empayar Khwarzem

Dengan kekuatan tentera yang lebih rendah, tentera Mongol telah menyerang Empayar Khwarezm. Temujin yang berang atas tindakan Shah Ala, telah membalas dendam dengan membunuh dan menyembelih 1.25 juta rakyat empayar itu, dan ada yang mengatakan kesemua rakyat empayar itu dibunuh. Ia dikatakan sebagai pembunuhan beramai-ramai yang terbesar dalam sejarah ketika itu.

Tukang kayu dan tukang emas diselamatkan dan golongan aristokrat serta tentera Khwarzem yang menentang telah dibunuh. Tulang rangka mangsa-mangsa tersebut kemudiannya ditimbunkan ditengah kota sebagai peringatan kepada semua apa yang akan berlaku jika membantah permintaannya. 

Tidak cukup dengan itu, Shah Ala telah dibunuh oleh Genghis Khan dengan cara paling kejam, iaitu menuangkan leburan perak ke dalam mata dan telinganya. Kemenangan itu telah membuatkan Bukhara, Samarkan dan Urgench jatuh ke tangan Empayar Mongol.

Kebengisan Genghis Khan dan keganasan tentera Mongol

Selain daripada pembunuhan pemerintah Empayar Khwarezm dengan kejam, Genghis Khan dan tenteranya sangat terkenal dengan keganasan dan kebengisan yang membuatkan beliau dianggap sebagai antara pemerintah yang digeruni dan ditakuti dalam sejarah manusia. Genghis Khan biasanya akan meminta musuh untuk menyerah kalah dan kemudiannya membunuh serta memusnahkan kesemua yang ada termasuk keluarga dan rakan-rakan musuh.

kejam

Mereka gembira dan berbangga dengan pembunuhan yang mereka lakukan, dan berasakan ia dapat menakutkan musuh-musuh. Dengan ini, ia membuatkan musuh menyertai tentera Mongol, tanpa perlu mengorbankan tentera sendiri. 

Satu daripada peraturan purba dipegang teguh oleh Genghis Khan yang mana mereka tak dibenarkan menumpahkan darah "mulia" walaupun ianya pihak musuh. Apabila mereka menangkap musuh yang daripada kelahiran yang mulia, mereka tidak menikam atau mengelar. Namun, ia tak bermakna mereka tak akan bunuh musuh tersebut. 

kebengisan genghis khan

Terdapat beberapa cara membunuh, dan jika musuh mulia tersebut bernasib baik, tentera Mongol akan mematahkan lehernya, tanpa menumpahkan setitis darah pun. Namun, jika tak bernasib baik, seperti yang dilakukan terhadap tentera Rusia yang menyerah kalah kepada mereka. Tentera Mongol telah membaringkan tawanan dan meletakkan sepapan kayu di atas mereka. Tentera Mongol kemudiannya naik ke atas papan tersebut dan memijak papan tersebut sehingga tawanan-tawanan itu mati.

Genghis Khan juga menggunakan tawanan perang yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran sebagai perisai manusia yang diletakkan di hadapan tentera perang ketika serangan akan datang. Terdapat insiden dimana beribu-ribu rakyat China bertindak membunuh diri untuk mengelakkan diri mereka dibunuh oleh Genghis Khan.

Hujung kehidupan dan kematian Genghis Khan

Genghis Khan pulang ke Mongolia pada tahun 1225, dan beliau mengawal sebahagian besar wilayah daripadda Laut Jepun hingga Laut Kaspian. Dalam pemerintahan Genghis Khan, beliau telah menakluki 2 kali ganda kawasan berbanding mana-mana penakluk yang ada dalam sejarah manusia, yang telah mendekatkan hubungan antara tamadun Timur dan Barat. Takhta beliau diberikan kepada anak, Ogedei Khan yang kemudiannya memberikan kepada cucunya, Kublai Khan.

gengkhis 5 448

Lukisan Genghis Khan dan 3 anak-anaknya

Ogedei Khan meluaskan Empayar Mongol sehingga ke Poland, Vietnam, Syria dan Korea. Penaklukan ini berakhir pada tahun 1368 yang ketika itu diterajui oleh Toghon Temür, keturunan Genghis Khan.

kematian genghis

Lakaran kematian Genghis Khan

Tiada kepastian mengenai punca kematian Genghis Khan yang dikatakan mati pada Ogos 1227 ketika berusia 65 tahun. Tiada siapa juga tahu di mana lokasi pengebumian atau kubur Genghis Khan. Antara desas-desus sebab kematian beliau adalah dibunuh ketika berperang, penyakit, jatuh daripada kuda atau disebabkan luka berterusan dalam peperangan. Menurut The Secret History of the Mongols, Genghis Khan mati disebabkan kecederaan akibat jatuh daripada kuda ketika sedang memburu.

Sumbangan Genghis Khan kepada dunia

Walaupun Genghis Khan dikenali sebagai pemerintah yang bengis, kejam dan tidak berperikemanusiaan dan bertanggungjawab ke atas kematian 40 juta nyawa namun terdapat beberapa sumbangan beliau terhadap dunia. Beliau diiktiraf sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menyatukan Silk Road menjadi satu suasana politik yang damai, yang telah menghubungkan komunikasi dan perdagangan daripada Timur Laut Asia ke Islam Barat Daya Asia dan Kristian Eropah. Hasilnya, ketiga-tiga budaya berlainan ini telah diperluaskan.

sistem pos

Selain pemanah dan kuda, senjata paling penting bagi Empayar Mongol adalah sistem komunikasi mereka yang sangat luas. Ketika mula-mula dilantik sebagai Khan, Genghis Khan telah mengarahkan pembinaan stesen pos dan penghantar surat di seluruh empayarnya. Sistem ini dinamakan sebagai "Yam" atau "Ortoo". Dengan ini, beliau telah mencipta sistem pos antarabangsa yang pertama. Sistem ini kemudiannya digunakan oleh cucunya, Kublai Khan di kawasan jajahan mereka di China. 

surat mongol

Stesen pos bukan hanya digunakan untuk menghantar surat tetapi juga untuk menghantar pegawai, tentera dan pembesar asing. Sebanyak 1,400 stesen pos terdapat di China sahaja ketika di akhir pemerintahan Kublai Khan. Sebanyak 50,000 ekor kuda, 1,400 ekor lembu, 6,700 ekor keldai, 400 buah kereta tarik, 6,000 buah bot, 200 ekor anjing dan 1,150 ekor kambing biri-biri digunakan untuk sistem pos ini.

Setiap stesen pos berjarak 40 hingga 64 kilometer di antara satu sama lain dan mempunyai penjaga yang sangat dipercayai. Marco Polo sendiri mengakui tahap keberkesanan sistem pos ini.

Rujukan:

1. History

2. Biography

3. Britannica

4. Genghis Khan

5. History Information




Hakcipta iluminasi.com (2017)