Secara umumnya, kita di Malaysia ini sememangnya akan memakai pewangi deodoren terutamanya apabila keluar dari rumah. Tujuannya adalah bagi memastikan ketiak kita tidak berbau apabila berpeluh. Maka, pewangi deodoren boleh dianggap sebagai satu keperluan bagi seseorang lelaki atau wanita dewasa.
Cuaca di Malaysia yang panas sepanjang tahun sememangnya akan menyebabkan ketiak mudah untuk berpeluh (dalam bahasa pasarnya dipanggil "ketibas", singkatan untu ketiak basah). Lama-kelamaan, ketiak yang berpeluh ini tentulah akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Percaya atau tidak, bau badan (termasuklah bau ketiak) manusia dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya pemakanan dan genetik. Maka, tidak hairanlah ada individu yang mempunyai ketiak yang sangat berbau apabila berpeluh dan ada segelintir individu yang tidak perlu khuatir kerana ketiaknya tidak berbau apabila berpeluh.
Kewujudan gen ABCC11
Bagi segelintir manusia yang mempunyai gen ABCC11 pula, mereka dianggap unik kerana tidak mempunyai masalah ketiak berbau. Apa itu gen ABCC11? Gen ABCC11 ini berkemungkinan terdapat dalam 3 genotip iaitu GGG, GA atau GA.
Gen ini bertanggungjawab secara langsung untuk menentukan sama ada manusia mempunyai telinga basah atau kering serta sama ada mereka mempunyai osmidrosis atau bau yang dikaitkan dengan peluh yang disebabkan oleh rembesan apokrin yang berlebihan.
Kajian mengenai gen ABCC11
Menurut sekumpulan penyelidik dari University of Bristol di UK, hanya 2 peratus orang (sekurang-kurangnya dalam tinjauan mereka) membawa versi unik dari gen ABCC11 yang menghalang ketiak mereka daripada menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.
Kajian yang diterbitkan oleh Journal of Investigative Dermatology ini mengkaji 6,495 ibu-ibu di British yang telah menjadi sebahagian dari kajian kesihatan jangka masa panjang sejak mereka melahirkan anak pada tahun 1991 atau 1992. Dalam analisis DNA yang dilakukan, kira-kira 2% sahaja atau lebih tepat lagi 117 orang mempunya gen ini.
Para penyelidik telah mengetahui kewujudan gen unik ini sejak sekian lamanya. Walau bagaimanapun kebanyakan kajian yang dilakukan ke atasnya hanya menumpukan pada hubungannya dengan "tahi telinga". Orang yang mempunyai varian gen unik ini lebih cenderung untuk menghasilkan "tahi telinga" yang kering (berbanding dengan basah atau melekit).
Oleh itu, satu cara untuk mengetahui jika anda mempunyai "keunikan" ketiak yang tidak berbau busuk adalah dengan mengetahui sama ada "tahi telinga" yang dihasilkan telinga anda kering atau tidak.
Kajian yang dilakukan juga mendapati bahawa gen yang jarang ditemui ini lebih mudah ditemui dalam kalangan penduduk Asia Timur. Menurut kajian yang diterbitkan pada tahun 2012 oleh pihak Frontier in Genetics pula mendapati sebahagian besar orang Korea mempunyai gen unik ini.
Pengaruh gen ABCC11 terhadap bau badan
Para pengkaji masih belum dalam mengenalpasti dengan tepat bagaimanakah gen yang jarang ditemui ini boleh mempengaruhi penghasilan tahi telinga dan bau peluh manusia. Walau bagaimanapun mereka membuat teori ianya mungkin mempunyai kaitan dengan penghasilan asid amino.
Kewujudan bakteria yang semakin bertambah akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan apabila berpeluh dan golongan yang mempunyai gen ABCC11 ini besar kemungkinan menghasilkan sedikit asid amino yang menggalakkan pertambahan bakteria yang menyebabkan bau ini.
Bagi manusia, tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada ketiak dan badan yang berbau ini mempunyai kelebihan berbanding dengan badan dan ketiak yang tidak berbau. Walau bagaimanapun, bagi haiwan, rembesan peluh yang berbau ini sebenarnya membantu meningkatkan rembesan apokrin yang digunak untuk memikat pasangan berlainan jantina.
Melalui kajian-kajian yang dinyatakan di atas, maka sedarlah kita bahawa kita di Malaysia ini secara umummnya boleh dianggap "wajib" untuk memakai deodoren setiap hari kerana kemungkinan besar kita tidak mempunyai genetik yang sangat unik ini.
Kredit: