Sultan Baibar I (yang juga dieja sebagai Baybar) adalah Sultan yang terkenal dan sering dikenang kerana kepimpinannya dalam ketenteraan. Kepimpinannya itu terserlah terutamanya ketika melawan Tentera Salib dan kaum Mongol.
Selain itu, Sultan Baibar I juga dikenali dengan kemahiran diplomatiknya. Beliau sering dirujuk sebagai salah satu Sultan paling terkenal dalam Kesultanan Mamluk yang memerintah Mesir dan Syria pada zaman Abad Pertengahan.
BESARKAN TEKS A- A+
Sultan Baibar I adalah Sultan Mamluk yang keempat memerintah Mesir dan Syria, umumnya beliau dianggap oleh ahli sejarah sebagai pengasas kepada Dinasti Bahri.
Selain itu, Sultan Baibar I juga telah memperluaskan sempadan penguasaan Kesultanan Mamluk, hasil daripada kejayaannya memimpin pasukan tentera dan kemahirannya dalam mengendalikan urusan berkaitan diplomatik.
Asal-usul Sultan Baibar I
Nama penuh Sultan Baibar I ialah al-Malik al-Zahir Rukn al-Din Baibar al-Bunduqdar dan beliau bermazhab ahlussunnah. Beliau dilahirkan di negara Turki Kipchak di sebelah utara Laut Hitam. Kira-kira pada tahun 1242, Turki Kipchak telah diserang oleh kaum Mongol dan Baibar I adalah salah seorang daripada tawanan perang yang dijual sebagai hamba.
Beliau akhirnya dibeli oleh Sultan as-Salih Najm al-Din Ayyub, Sultan Dinasti Ayyubid yang memerintah Mesir dan Syria. Baibar I kemudian dihantar untuk menjalankan latihan ketenteraan di salah sebuah pulau di Sungai Nil bersama-sama dengan hamba-hamba lain yang dibeli oleh Sultan as-Salih Ayyub.
Semasa latihannya, Baibar I mempamerkan kehebatannya sebagai tentera yang luar biasa. Apabila tamat sahaja pengajian, beliau diberi kemerdekaan dan dilantik sebagai komandan pasukan pengawal peribadi Sultan as-Salih Ayyub.
Bagaimana beliau menaiki takhta
Perang salib ketujuh di Al-Mansourah
Pada tahun 1249, berlakunya Perang Salib Ketujuh yang diketuai oleh raja Perancis iaitu Louis IX di Damietta, Mesir. Bandar pelabuhan itu akhirnya berjaya ditawan pada bulan Jun dan tentera salib mula berarak pula ke Kaherah pada bulan November setelah berita kematian Sultan as-Salih Ayyub tersebar.
Walau bagaimanapun, tentera salib gagal dalam misi menakluki Mesir. Pada bulan Februari 1250, mereka ditewaskan di Pertempuran Al-Mansurah dan Raja Louis IX berjaya ditangkap. Sebanyak 800,000 syiling emas dibayar sebagai wang tebusan untuk membebaskan Raja Perancis itu.
Ketika itu Baibar I adalah salah seorang komandan tentera Dinasti Ayyubid dan ini merupakan kemenangan utamanya sebagai ketua tentera.
Bagi Dinasti Ayyubid, as-Salih Ayyub adalah sultan terakhir yang berjaya memerintah Mesir dan Syria dengan berkesan. Penggantinya iaitu al-Muazzam Turanshah hanya memerintah untuk masa yang singkat dan telah dibunuh oleh Kesultanan Mamluk.
Lukisan pemerintah Dinasti Mamluk
Apabila Dinasti Ayyubid digulingkan, Dinasti Mamluk pula mula berkuasa. Sultan pertama dinasti itu ialah Aybak, yang tidak disenangi oleh Baibar I. Akhirnya, Baibar I telah melarikan diri ke Syria dan tinggal di sana untuk beberapa tahun.
Pada tahun 1260, Baibar I telah diundang untuk kembali ke Mesir oleh Sultan Mamluk yang ketiga iaitu Saif ad-Din Qutuz. Pada tahun yang sama juga tentera Mongol sedang melakukan persiapan untuk menakluk Mesir. Konflik antara kedua-dua kuasa besar ini memuncak ketika berlakunya Pertempuran Ain Jalut yang berlaku di Lembah Jezreel, Palestin.
Dalam pertempuran itu, Baibar I telah menjadi ketua tentera Mamluk dan berjaya membuktikan kehebatannya dalam perperangan. Tentera Mamluk telah berjaya mengalahkan tentera Mongol. Namun, Sultan Saif ad-Din Qutuz tidak lama menikmati kemenangannya itu apabila dia dibunuh ketika dalam perjalanan balik ke Mesir oleh sekumpulan pemberontak yang diketuai oleh Baibar I.
Kempen ketenteraan dan diplomatik sebagai Sultan
Berikutan kematian Sultan Saif ad-Din Qutuz, Baibar I telah diangkat menjadi Sultan Mamluk yang seterusnya. Salah satu matlamat utama beliau selaku seorang sultan adalah untuk memerangi dan menghalau saki-baki tentera salib yang berada di Syria. Baibar I ingin menjadi seperti pemimpin Islam yang hebat iaitu Salahuddin al-Ayubi.
Beliau telah menguatkan kedudukan tentera Mamluknya di Syria dan menyerang tentera salib dari tahun 1265 hingga 1271. Satu demi satu kubu kuat tentera salib termasuk di Arsuf, Jaffa dan Antioch telah jatuh ke tangan tentera Mamluk.
Walaupun sebilangan kecil tentera salib masih lagi berada di negeri-negeri Levant (Cyprus, Mesir, Iraq, Jordan, Lebanon, Palestine, Syria, dan Turki), kempen ketenteraan Baibar I telah menandakan berakhirnya perjuangan tentera salib sebagai kuasa besar dalam dunia politik di rantau itu.
Tentera Mamluk menentang Mongol
Selain tentera salib, Baibar I juga mengadakan kempen menentang Mongol, Kristian Armenia, Markuria di Nubia serta beberapa anggota Hashshashin yang masih tersisa.
Walaupun Baibar I berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin tentera yang cemerlang, beliau juga mampu menggunakan diplomasi apabila berhadapan dengan kuasa asing.
Sebagai contoh, sultan itu berjaya mengekalkan hubungan baik mereka dengan Empayar Byzantium. Selain itu, perjanjian komersial antara Mesir dan negara asing seperti Aragon (timur laut Sepanyol), Leon (Portugal) dan Castile (Sepanyol) telah ditandatangani semasa pemerintahan Baibar I.
Hal ehwal dalam negari dan kematian Baibar I
Perpustakaan Al-Zahiriyah
Selain perhubungan luar negara, Sultan Baibar I juga mahir dalam mengendalikan hal ehwal dalam negeri. Antara pencapaian paling ketara Baibar I ialah penubuhan perkhidmatan pos laju antara Kaherah dan Damsyik serta pelantikan ketua-ketua hakim yang mewakili empat sekolah utama bidang undang-undang Islam. Selain itu, infastruktur penting seperti terusan dan pelabuhan juga dibina dan diperbaiki.
Sultan Baibar I yang hebat itu telah meninggal dunia di Damsyik pada tahun 1277. Menurut beberapa sumber, kematian Sultan Baibar I itu adalah disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan. Beliau telah meminum secawan minuman yang mengandungi racun tetapi sebenarnya ditujukan kepada orang lain.
Sultan Baibar I dari Dinasti Kesultanan Mamluk itu telah disemadikan di bawah kubah Perpustakaan Al-Zahiriyah di Damsyik yang diasaskan oleh beliau sendiri.
Rujukan:
2. Thought Co
3. Britannica
4. Tour Egypt