Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Penyanyi Ferhad diumumkan sebagai peserta sulung tersingkir daripada rancangan realiti Gegar Vaganza 4 (GV4).

Keputusan itu diumumkan di hujung konsert kedua GV4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Penyanyi kelahiran Singapura ini mempertaruhkan lagu Harus Terpisah (nyanyian asal Cakra Khan) dalam konsert yang bertemakan 'Sekali Dengar, Terus Melekat'.

Penilaian dibuat sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Hetty Koes Endang, bersama juri jemputan mingguan, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan.

Manakala, Elyana menerusi persembahan Masih Cinta (nyanyian asal kumpulan Kotak) diiktiraf pemenang Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Penyingkiran Ferhad sekaligus memberi ruang kepada 11 peserta lain untuk mara ke minggu seterusnya.

Mereka ialah Aishah, Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Firman, Haida, Aqasha, Elyana, Syura, Raja Azura dan Lan Kristal.

Konsert GV4 yang dikemudikan hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse, ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.




Hakcipta iluminasi.com (2017)