Istilah 'troll' pada asalnya merujuk kepada lembaga gergasi hodoh yang menakutkan.
Disebabkan oleh perubahan teknologi, istilah itu mula digunakan netizen bagi menggambarkan perbuatan seseorang sengaja mencari pasal atau gaduh dengan individu/badan lain, yang boleh berlaku secara spontan atau dirancang tanpa mengambil kira status hubungan tukang 'troll' dan mangsanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Merebaknya penggunaan media sosial menyemarakkan lagi budaya 'trolling' sehinggakan perkara ini sudah menjadi salah satu topik hangat pengguna internet dan laman-laman yang ditubuhkan khas untuk 'troll' melakukan kerjanya; telah mendapat liputan media arus perdana.
Persoalannya - apakah kesan baik dan buruk budaya sengaja mencari gaduh 24 jam setiap masa?
Laskar siber penggerak budaya?
Untuk membicarakan tentang budaya 'troll', tak sah untuk kita tidak turut sama membicarakan peranan politik dalam memekarkan budaya pengacau ini.
Politik Malaysia khasnya selepas pasca 1998 melihat perubahan besar dalam cara kita menelusuri pembacaan politik. Penggunaan internet yang lebih meluas membolehkan ramai individu mula berkongsikan pandangan mereka tentang hala tuju kepimpinan negara.
Istilah 'troll internet' sebenarnya sudah mula digunakan sejak hujung dekad 1980-an namun popularitinya di negara kita, layak dikatakan bermula selepas krisis negara mula melahirkan ramai tukang komentar tidak rasmi yang setiap hari berkongsikan pandangan.
Provokasi tanpa perbincangan
Perkongsian-perkongsian ini yang popular akan mewujudkan dua kelas pembaca dalam setiap satu karya; penyokongnya dan juga yang keras anti kannya.
Permulaan trend interaksi antara penyokong dan pihak yang membantah ini melahirkan pertukaran komentar yang agresif - dengan setiap pihak cuba mempertahankan apa yang dia rasa.
Di kalangan tukang-tukang komentar ini pula wujud segelintir yang seakan gembira melihat lawannya marah dan itulah tujuannya komentar ditulis; hanya untuk menaikkan emosi lawan yang tidak sependapatnya agar lawannya mula menyerang balas tanpa henti sehingga sanggup duduk mempertahankan pandangan dari pagi ke malam.
Modus operandi seorang 'troll' mudah; lambakkan saja bermacam bentuk provokasi dan nantikan reaksi, tanpa mengambil kira tahap sensitiviti atau berusaha untuk menemui kata sepakat dalam sesuatu isu yang dibincangkan.
Kaitan politik negara kita dengan budaya trolling
Politik kita menjadi medan utama 'troll' sejak zaman dahulu lagi namun dengan kemudahan internet, amalan ini jadi semakin mudah.
Jika dulu masyarakat perlu bergantung kepada buku 'troll' politik terkenal seperti 'SH*T' karya bekas ahli parlimen Malaysia merangkap sasterawan negara Dato Haji Shahnon Ahmad yang mendapat reaksi besar lapisan pemimpin dan rakyat, kebangkitan 'troll' generasi seterusnya menjadi lebih meluas cakupannya.
Ruangan internet dipenuhi blogosfera yang dicipta khas untuk memaparkan artikel atau karya bersifat 'troll', memainkan sesuatu isu tanpa mempedulikan nilai-nilai murni masyarakat sebelum blog diambil alih oleh media sosial seperti Friendster dan Myspace yang mempercepatkan akses.
Letupan populariti laman media sosial generasi baru seperti Facebook dan Twitter memudahkan lagi troll beraksi bila-bila masa saja, dengan capaian jauh lebih pantas yang membolehkan perbincangan lebih hangat berlaku masa nyata.
I LOVE MY PM!
Istilah laskar siber mula popular semasa era Perdana Menteri ke 6 berikutan ramainya akaun-akaun sama ada tulen atau palsu identitinya, yang akan mengulang-ngulang frasa 'I LOVE MY PM' dalam setiap perkongsian yang bersifat anti kerajaan.
Di pihak lawan pula, dakwaan kewujudan organisasi yang diistilahkan sebagai 'RBA' atau 'Red Bean Army' yang seringkali dinafikan, terus menjadi misteri walaupun harus diakui memang banyak juga akaun-akaun bernama individu Cina tanpa profil lengkap, yang dilihat sengaja mencetuskan kekeliruan.
Ketika ini pula, budaya trolling nampaknya diwarisi beberapa buah laman terkenal kelolaan sendiri seperti 'Tentera Troll Kebangsaan Malaysia' atau TTKM.
TTKM dilaporkan mempunyai kekuatan untuk mengerahkan beribu-ribu tukang komentar menyerang mana-mana perkongsian atau akaun yang dirasakan tidak seiring dengan dasar yang mereka pegang.
Walau bagaimanapun 'juara troll Malaysia' ketika ini nampak didakap kemas bekas Perdana Menteri ke 6 yang nampaknya berjaya memahami intipati 'troll' yang lebih berkesan dan berkualiti, jika dibandingkan dengan laskar siber penyokong beliau semasa dia ditampuk kuasa.
Keberkesanan nama-nama besar ini dalam membentuk atau menentukan perjalanan hala tuju sesuatu isu, tidaklah dapat kami nukilkan secara fakta.
Namun kami akui ada isu yang ditonjolkan mereka baik di pihak sana atau sini; nyata dapat mengubah persepsi walaupun cara penyampaiannya agak kurang formal dan lebih berkisar kepada usaha nak menyakitkan hati.
Masa depan budaya troll
Bagi mereka yang mengkritik budaya 'troll' ini, sudah pastilah mereka melihat budaya ini sebagai satu amalan tidak sihat yang wajar dibendung atau dihapuskan.
Pada pandangan penulis, kita harus menerima hakikat bahawa budaya 'trolling' ini pasti akan kekal kerana sindiran merupakan satu benda yang lumrah, bukan saja dalam perbincangan politik bahkan turut sama berlaku di kalangan cendekiawan sendiri dalam menyampaikan bentangan mereka.
Persoalannya, sejauh mana usikan yang mampu kita dengari, sebelum kita hilang ketawa?
Apa pula kesannya terhadap mangsa 'troll' yang mungkin sukar untuk menerima bagaimana mudahnya persepsi terhadap mereka, diperkotak-katik individu-individu tidak dikenali yang akhirnya memberikan tekanan besar kepada psikologi mereka?
Adakah 'troll' patut dibenarkan?
Ya. Ini kerana ada kalanya nasihat secara berdepan tidak berkesan, sebaliknya seseorang itu perlu disindir dengan harapan kesedaran itu akan datang.
Kami amat bersetuju dengan pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan (kini Menteri Agama) yang membenarkan 'troll' asalkan 'tukang troll' tahu apa sempadannya. Sindiran dan bahasa kiasan yang dibuat tanpa merendahkan maruah seseorang adalah 'sempadan' yang perlu difahami setiap kaki troll di Malaysia.
Jadi teruskanlah usaha anda untuk menyedarkan orang ramai tentang apa saja isu dengan cara 'trolling', asalkan anda tahu mesej sampai kepada sasaran anda, anda tidak menjatuhkan maruah dia dan anda tahu bila nak hentikan serangan anda.