Johnny Depp merupakan pelakon lelaki yang menerima bayaran kelima tertinggi di Hollywood. Pada tahun 2016 sahaja dia memperolehi pendapatan sebanyak $48 juta menurut Forbes. Namun, jutaan dolar itu masih belum mampu menampung masalah kewangan yang dihadapinya.
Anda mesti tertanya-tanya, dapat duit banyak-banyak setiap tahun sepanjang sedekad yang lepas, tak mungkinlah hidup susah juga?
BESARKAN TEKS A- A+
Johnny Depp menghabiskan sekitar $2 juta setiap bulan untuk mengekalkan gaya hidupnya yang mewah. Ini termasuklah wang sebanyak $30,000 untuk wain sahaja. Itu belum dikira masalah peribadi dan konflik bersama pengurusnya, maka lengkaplah resipi untuk bencana kewangan berpanjangan.
Masalah kewangan Johnny Depp mungkin nampak serius namun dia bukanlah satu-satunya selebriti yang mengalami masalah seperti ini.
1. Nicolas Cage
Menurut ABC News, Nicolas Cage pernah berhutang sebanyak $14 juta dengan IRS (organisasi yang sama seperti LHDN di Malaysia).
Seperti Johnny Depp, perbelanjaan mewah telah menenggelamkan pelakon utama filem Ghost Rider ini. Antara koleksi barangan berharga yang telah dibeli adalah seperti koleksi kepala manusia yang telah diawetkan, tengkorak dinosaur, sebuah jet Gulfstream, pelbagai haiwan eksotik, komik pertama Superman dan juga seketul batu nisan yang berbentuk piramid dari New Orleans.
Walau bagaimanapun, menurut The Street, punca sebenar masalah kewangan Nicolas Cage adalah portfolio hartanahnya. Dia telah membeli beberapa buah istana dan pulau persendirian namun tidak mampu komited untuk membayarnya. (Sumber 1, 2)
2. Kanye West
Pada tahun 2016, Kanye West menjadi paparan berita hiburan selepas memuat naik satu status Twitter tentang hutang berjumlah $53 juta. Menurut Vanity Fair, masalah kewangan Kanye bukanlah berpunca daripada perbelanjaan mewah, sebaliknya ia adalah disebabkan perniagaan.
Kanye yang banyak menceburkan diri dalam bidang fesyen baru-baru ini telah banyak mengeluarkan belanja untuk pemasaran label jenamanya sendiri. Namun, ia tidak mendatangkan keuntungan yang besar.
Vanity Fair juga melaporkan yang tweet Kanye itu hanyalah salah satu cara bijak untuk menarik perhatian pelabur untuk berkongsi dana dalam perniagaannya. Walau sesak bagaimana sekali pun, kemungkinan besar isterinya, Kim Kardashian, mampu untuk menghulurkan bantuan. (Sumber 1, 2)
3. Lindsay Lohan
Lindsay Lohan pada mulanya merupakan seorang pelakon cilik yang mengharungi masa sukar beralih ke arah kerjaya dewasa. Walaupun banyak berjaya memegang watak utama filem yang Box Office, dia banyak berbelanja. Pada tahun 2010, dia mempunyai hutang kad kredit sebanyak $600,000. Pada tahun 2012 pula, dia menyelesaikan hutang sebanyak $93,000 dengan IRS dengan bantuan Charlie Sheen.
Walaupun kini Lindsay Lohan jarang menjadi tajuk utama tabloid dan majalah, masalah kewangannya masih lagi berterusan. Pada penghujung 2016, tuan rumahnya telah menghalaunya keluar dari apartment di London kerana tidak membayar sewa tertunggak sebanyak $137,000. Namun itu bukanlah kali pertama dia dihalau keluar dari bangunan. Pada tahun 2012 dia pernah dihalau dari Chateau Marmont di Los Angeles kerana enggan membayar bil berjumlah $46,000. (Sumber 1, 2, 3)
4. Ozzy Osbourne
Pada 2011, pihak IRS telah mengenakan lien cukai pada sebuah rumah yang dimiliki oleh vokalis utama kumpulan Black Sabbath, Ozzy Osbourne dan isterinya, Sharon Osbourne. Walau bagaimanapun, pasangan ini mampu menyelesaikan hutang itu dengan segera.
Menurut Sharon yang juga merupakan pengurus suaminya, dia tidak tahu menahu tentang hutang cukai itu sehinggalah pihak media melaporkannya. Bil tertunggak itu dijelaskan dan dia meletakkan tanggungjawab itu ke atas penasihat kewangan mereka. (Sumber)
5. Tyga
Penyanyi rap Tyga atau nama sebenarnya, Michael Stevenson telah disaman pada 2016 akibat tidak membuat bayaran sebuah Ferrari. Kereta yang sama sebelum itu pernah ditarik ketika dia sedang membeli kereta baru berjenama Bentley.
Tyga juga berhutang hampir $300,000 dengan sebuah kedai barang kemas di Beverly Hills, walaupun peguamnya mengatakan yang hutang itu telah dijelaskan. Dia juga pernah berhutang besar dengan tuan-tuan rumah. Tidak dilupakan, nafkah anaknya bersama Blac Chyna juga telah lama tertunggak. (Sumber)