Kredit foto: Instagram Fendy Bakry & Instagram Fadzil Zahari
Menafikan Fendy Bakry berada dalam keadaan koma atau tenat sebagaimana dakwaan yang tular, pengurusnya, Fadzil Zahari bagaimanapun memberitahu pelakon Mr Grey itu sedang dirawat di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
"Sebaliknya doktor merehatkan Fendy dari sebarang tindakan refleks seperti batuk atau bersin dengan bius untuk mengelak jangkitan penyakit lain seperti lelah sekiranya dia batuk secara semulajadi.
"Pihak keluarga amat berduka cita dengan perkembangan khabar angin dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab apatah lagi pihak yang tiada kepentingan pun terhadap perkembangan kerjayanya selama ini," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fadzil, keluarga Fendy juga menghormati keputusan perubatan serta tidak mendahului kenyataan doktor dan pengurusan rasmi yang mengendalikan Fendy.
Sementara itu, Fadzil berkata, aktor itu hanya mendapatkan rawatan susulan biasa sebelum pihak hospital mengesan simptom batuk.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati Fendy mengalami simptom 'pneumonia' (paru-paru berair) yang seterusnya meletakkannya di bawah pemantauan doktor.
Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
"Oleh kerana simptom itu tidak dapat dirawat segera disebabkan batuk dan serangan sakit dada yang mengganggu proses rawatan pemulihan pneumonia, doktor memutuskan untuk merehatkannya dengan bius serta memasukkan oksigen sebagai alternatif pernafasan normal untuk mengelak sesak nafas berpanjangan atau mendapat serangan asma.
"Disebabkan itu juga, dia kini diletakkan pada tahap unit rawatan intensif (ICU) di hospital sama," kata Fadzil.
Rentetan berita Fendy dirawat di hospital itu menjadi tular, Fadzil berkata, pihak hospital terpaksa meletakkan garis panduan serta mengetatkan kawalan untuk kunjungan hanya daripada anggota keluarga terdekat sahaja.
Ia demi menghormati privasi rehat serta tidak mahu menggangu kerja pasukan perubatan yang bertugas.
Sehubungan itu, Fadzil berharap Fendy dapat menikmati ruang selesa sepanjang berada di sana dengan kerjasama orang ramai untuk menghormati privasinya.
Dua hari lalu, portal Harian Metro mendedahkan Fendy yang dipercayai menghidap masalah buah pinggang dan penyakit jantung berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan doktor.