Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
Pelakon yang terkenal menerusi drama Mr Grey, Fendy Bakry menangkis dakwaan yang mengaitkannya dengan penyakit kronik seperti yang diwar-warkan dalam media.
Susulan itu, Fendy atau Mohd Affandi Nor Bakri berharap netizen tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tular.
“Assalamualaikum kesayangan abam (abang). Untuk makluman semua, abam sihat saja di sini. Sakit pun sikit saja, tidak sampai teruk macam yang hampa (anda) tengok. Ironman pun boleh sakit, takkan abam yang macam ni tidak boleh sakit," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi tulisan Instagram Story yang dikirimkannya.
Sebaliknya aktor yang dikesan bakatnya menerusi program Pencarian Hero Remaja 2012 ini berharap para peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk kesihatannya di masa mendatang.
Kredit foto: Instagram Fendy Bakry
“Cuma sekarang, mendoakan yang baik-baik untuk abam. InsyaAllah abam okey. Jangan dengar berita dari mana-mana. Hampa pun tidak tahu kadang berita itu kena atau tidak,” tulisnya lagi.
Dalam perkongsian sama, aktor kelahiran Perlis ini berjanji untuk membuka kisah sebenar yang berlaku sepanjang misteri keberadaannya di hospital menjalani rawatan.
“Tidak mengapa, esok-esok abam sudah betul-betul sihat abam akan cerita kepada hampa," katanya.
Fendy juga berharap netizen tidak bersusah-payah mengirimkan hadiah, termasuk datang melawatnya.
“Sekarang ini pun abam hanya memerlukan rawatan dan bukan untuk dilawat. Kalau nak bagi hadiah, tidak perlu bersusah payah. Kirimkan doa saja. Itu pun sudah besar rahmat,” katanya.