Jika anda menulis tentang jantina manusia, lebih mudah untuk anda berbicara tentang kaum lelaki berbanding wanita.

Ini kerana istilah yang mewakili kaum lelaki seperti 'lelaki', 'pria' atau 'jantan' mempunyai sifat universal yang mudah difahami tanpa ada stigma, berbanding label kepada wanita.

Kenapa wujud perbezaan sebegitu apabila kita membicarakan tentang istilah yang merujuk kaum Hawa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mari kita pelajari apakah perbezaan di antara istilah-istilah yang kita amal iaitu wanita, perempuan atau mungkin juga betina, agar kita dapat lebih memahami kenapa kewujudannya ada perbezaannya.

Perempuan atau wanita

mana tepat perempuan atau wanita

Kami ajukan satu soalan mudah; bagaimana kita hendak menggunakan perempuan atau wanita dengan betul?

Kami yakin akan ada bermacam jenis pandangan dapat kita dengari, kerana penggunaannya seakan tidak ada bezanya. Tetapi kita tahu ada bezanya kan? 

Isu perbezaan istilah sebegini sukar untuk kita jawab secara fakta.

Ini kerana daripada kajian berkenaan kedua-dua istilah itu sendiri, ada wujud kecelaruan yang berlaku hasil daripada perubahan kaedah bahasadiamalkan, bukan saja oleh masyarakat kita tetapi turut merangkumi penutur di Indonesia dan Brunei.

Dari aspek susur galurnya, istilah 'wanita' dilihat sebuah istilah yang lebih moden dan segar, seiring dengan imej wanita zaman sekarang jika kita bandingkan dengan istilah perempuan. 

Kita tidak menggunakan frasa 'perempuan korporat' kan? Agak janggal bunyinya. 'Wanita korporat'? Kena dengan selera masyarakat moden kita serta kedengaran berprofil tinggi.

Tetapi tahukah anda jika dibandingkan susur galur istilah di antara kedua-duanya - 'perempuan' mempunyai makna jauh lebih mulia berbanding 'wanita'?

Dari mana datang istilah 'perempuan'?

wanita perempuan betina perang istilah

Dalam aspek kajian bahasa, istilah 'perempuan' bukan saja diletakkan dalam hirarki yang lebih mulia berbanding 'wanita' bahkan dipercayai telah wujud lebih awal dalam masyarakat kita.

'Perempuan' dibentuk daripada istilah akar dari bahasa Sanskrit 'empu' yang ditambahkan imbuhan 'per~' dan '~an' membentuk istilah lengkapnya.

'Empu' mempunyai makna yang luas, boleh membawa makna seseorang yang mahir dan berkuasa serta boleh juga merujuk kepada seorang ketua, kepala atau tuan.

Uniknya, istilah ini juga berkait dengan istilah 'ampu' yang biasa kita gunakan dalam konotasi negatif dalam era moden merujuk kepada perbuatan 'mengipas' orang lain.

Realitinya 'ampu' mempunyai makna baik; merujuk kepada perbuatan menyokong atau menahan sesuatu agar tak runtuh atau jatuh.

Apabila dikenakan kepada individu atau 'pengampu', istilah ini merujuk kepada individu, kumpulan pemerintah atau ketua yang 'mengampu' atau mempertahankan sesebuah kerajaan/negeri agar bertahan.

Daripada istilah positif 'ampu' inilah istilah perempuan dibentuk, merujuk kepada individu yang memainkan peranan menongkat atau mempertahankan keluarga serta membantu suami.

Kenapa perempuan juga digelarkan 'wanita'? 

sophia albarakbah wanita cantik

Dalam konteks asal-usul istilah 'wanita', ada beberapa pendapat yang boleh kita perincikan.

Jika kita rujuk kepada bahasa Sanskrit, memang wujud satu istilah berbunyi 'vanita' yang membawa makna 'yang diinginkan' atau 'yang dikehendakkan', kemudian diserap ke dalam bahasa Jawa bagi membentuk istilah 'wanita.'

Hujahan ini nampak kuat bagi menyokong asal-usul dari mana datangnya istilah 'wanita.'

Namun ada hasil kajian penyelidik bahasa di Asia Tenggara khususnya di Indonesia, menyebut istilah 'wanita' merupakan korupsi atau perubahan yang terjadi yang berlaku kepada istilah 'betina' pula. Aneh kan?

Daripada aspek kajian bahasa, nenek moyang kita yang terdahulu menamakan golongan haiwan betina yang telah menjadi ibu sebagai 'ina', digunakan khusus untuk merujuk kepada haiwan. 

'Betina' kemudiannya mula digunakan kepada bagi merujuk kaum perempuan, berubah kepada 'batina' dan selepas itu 'banita'. Cara sebutannya itu kemudiannya diubah masyarakat Jawa dari segi bunyi dan sebutan, membentuk istilah 'wanita.'

Pendapat ketiga menyebut istilah 'wanita' datang daripada frasa bahasa Jawa yang berbunyi 'wani ditata', membawa maksud 'seseorang yang perlu bersedia diatur', menggambarkan sifat seorang perempuan itu biasanya akur dan menuruti kehendak keluarga atau suaminya.

Bagaimanapun ada pertembungan pendapat sesetengah penyelidik yang mendakwa frasa 'wani ditata' ini juga hadir daripada istilah vanita dalam Sanskrit seperti yang kami utarakan di atas.

Vanita diubah kepada wani ditata agar seiring dengan sistem bahasa Jawa kuno, memperkembangkan maknanya jika kita lihat daripada aspek ideologi moden.

Wanita, perempuan atau betina? 

kucing betina kuat mengawan

Dalam konteks bahasa moden, penggunaan 'wanita' atau 'perempuan' memang sudah berkembang maknanya.

Namun kita secara tidak rasmi meletakkan hirarki seolah-olah wanita jauh lebih tinggi hirarki istilahnya berbanding perempuan, sedangkan sejarah kedua-dua istilah itu jelas membuktikan perempuan sebenarnya lebih baik dari aspek maknanya.

Betina memikul persepsi yang negatif disebabkan oleh makna asalnya untuk merujuk kepada binatang atau ibu haiwan.

Mungkin ada peristiwa zaman dahulu berlaku melibatkan individu perempuan yang mempunyai perangai tak senonoh kerana berperangai serupa haiwan yang mengawan tanpa mengira siapa bapa kandungannya, yang memulakan panggilan betina kepada kaum perempuan.

Tetapi harus kami perjelaskan di sini juga, pengguna bahasa Palembang di Indonesia merujuk perempuan sebagai betino tanpa membawa stigma buruk yang kita ada, sementara lelaki dirujuk sebagai lanang.

Sedar tak, setiap istilah yang berkait dengan jantina pasti ada regunya : suami dan isteri. Raja dan Permaisuri. Jantan dan betina.Tidak ada regu khas kepada 'wanita'. Ada penyelidik mencadangkan perkataan 'pria' tetapi kita di Malaysia jarang menggunakannya.

Kaum perempuan, apa cadangan anda?

Persoalan akhir sebelum kami mengundur diri; anda lebih selesa digelar perempuan atau wanita?

Rujukan 

Pendekatan Sosiologi Feminis dalam Kajian Sastra

PERANG TERMINOLOGI: ANTARA ISTILAH WANITA DANPEREMPUAN




Hakcipta iluminasi.com (2017)