Baju dalam wanita juga dikenali sebagai coli, bra atau sarung payudara. Suatu masa dulu, penggunaan baju dalam atau 'bra' tidaklah begitu meluas.

Ini kerana sebelum baju dalam menjadi popular seperti ketika ini, wanita-wanita zaman dahulu lebih ramai yang mengenakan korset, sejenis bengkung yang bukan sahaja menutupi buah dada malahan mampu mengetatkan pinggang bagi menampakkan ukuran badan yang lebih mengancam.

Sejarah baju dalam memang bermula dengan pengenalan korset. Bagaimanapun, tahukah anda bagaimana baju dalam, coli atau bra yang kita kenali sekarang berjaya menggantikan korset yang boleh memudaratkan kesihatan?

Permulaan pemakaian korset

pembantu perlu untuk ikat pakaian dalam

Pemakaian korset mula popular semenjak abad ke 16, selepas diperkenalkan di Perancis. Wanita-wanita di Perancis melihat pemakaian korset sebagai satu kaedah paling mudah untuk menonjolkan buah dada mereka supaya 'terkeluar' dan mendapatkan bentuk badan yang diidamkan wanita waktu itu.

Korset pada zaman tersebut diperbuat daripada kayu atau tulang ikan paus yang dijahit ke dalam fabrik yang dipilih. Ini membuatkan setiap korset yang ada mempunyai bentuk yang keras dan pemakaiannya pasti akan membuatkan kaum wanita tidak merasa selesa.

Bagaimanapun, korset bertahan lama sebagai salah satu aksesori wajib bagi kaum wanita selama lebih 400 ratus tahun. Hanya pada abad ke 19, pemakaian korset mula digantikan dengan pemakaian bengkung yang dinamakan 'girdle' yang mempunyai bentuk yang lebih lembut dan selesa untuk dipakai.

Pemakaian korset menjadi lebih popular selepas bentuknya dipecahkan kepada dua, berbanding satu unit yang bercantum sebelum ini, pada tahun 1869. Kini bahagian atas penutup dada dan bahagian bawah penutup pinggang dijual secara berasingan. Walaupun begitu, rupanya tetap lebih mirip kepada sebuah korset yang dikenali sebelum itu.

Terma 'bra' terhasil

iklan corset zaman dulu lingerie

Rasanya kita semua sudah tahu perkataan bra sebenarnya berasal daripada perkataan 'brasierre.' Perkataan itu diperkenalkan pada tahun 1902 dan diambil dari Bahasa Perancis yang membawa maksud 'pelindung bahu.' Hanya pada 1907, perkataan itu mula popular di kalangan pengguna Bahasa Inggeris selepas digunakan dalam majalah Vogue, yang cukup popular di kalangan wanita zaman tersebut.

Atas populariti perkataan itu, pihak Oxford akhirnya memasukkan perkataan 'brasierre' secara rasmi ke dalam daftar kata mereka pada tahun 1911. Ini menjadikan perkataan 'brasierre' dalam Bahasa Inggeris mula membawa maksud 'pakaian yang mengikut tubuh badan yang dipakai untuk menyokong buah dada wanita.'

Bra moden pertama dunia

mary phelps jacobs bra pertama duni

Walaupun bahan fabrik yang digunakan ketika itu semakin lembut serta semakin selesa dipakai, buatan sesebuah brasierre ketika itu masih lagi memerlukan 'tulang' yang keras dan menyebabkan ketidak selesaan pada wanita.

Pada usia 16 tahun di tahun 1910, Mary Phelps Jacobs perlu menghadiri sebuah majlis rasmi yang memerlukan dia memakai brasierre yang pada ketika itu, tetap sebuah korset keras. Oleh kerana buah dada Mary agak besar, korset yang dipakai menyebabkan dadanya sakit.

Korset yang dipakai juga mampu dilihat terkeluar pada pakaian gaun yang akan dipakainya. Bagi menyelesaikan masalah itu, Mary mengambil dua helai sapu tangan dan riben yang diperbuat dari sutera, kemudian menjahitnya menjadi sehelai pakaian dalam yang mampu menyokong buah dadanya, tanpa membataskan pergerakannya.

Ciptaan secara tak sengaja Mary pada ketika itu membolehkan dia menari dengan lebih bebas tanpa rasa sakit dan ini menimbulkan tanda tanya pada wanita-wanita lain, yang menghadiri majlis tersebut. Keesokannya, Mary mengajar wanita-wanita yang berminat dengan ciptaan ringkasnya itu.

Selepas ditawarkan wang oleh wanita yang ingin membeli rekaannya itu, Mary tahu dia ada peluang yang besar untuk meniagakan ciptaannya, jadi dia memfailkan paten penciptaan 'brasierre' moden pertama dunia pada tahun 1914.

Populariti 'brasierre' mula memuncak kerana Perang Dunia

wanita zaman dulu kerja kilang pakai korset

Perang Dunia Pertama yang mula berlaku pada tahun 1914 sehingga 1918 di antara Pihak Bersekutu dan Kuasa Tengah, selepas terbunuhnya Archduke Franz Ferdinand boleh dikatakan membantu perniagaan Mary.

Pada ketika itu, walaupun perniagaan Mary sudah mula berkembang namun ciptaannya masih terpaksa bersaing dengan pakaian berbentuk korset dan girdle yang dipakai kebanyakan wanita. Korset dan girdle pada waktu itu, telah pun dimodenkan dan bahan seperti tulang ikan paus yang diguna sebelum itu, telah pun digantikan dengan besi.

Ekoran perang yang melanda dunia ketika itu, Amerika Syarikat mengalami masalah kekurangan bahan besi untuk dijadikan perkakasan perang seperti peluru dan perkakas lain. Bagi membantu mengatasi masalah kehabisan bahan besi ini, kerajaan Amerika Syarikat melalui US War Industries Board melakukan satu tindakan drastik.

Pada tahun 1917 semasa Perang Dunia masih berlangsung, mereka melarang golongan wanita ketika itu membeli korset yang masih dijual, supaya bekalan besi yang diguna dalam korset dapat disalurkan kepada pembuatan barangan perang. Ekoran larangan ini, kaum wanita terpaksa mencari alternatif lain untuk menyokong payudara mereka dan pilihan mereka adalah rekaan brasierre yang diilhamkan oleh idea Mary Phelps Jacobs.

Larangan pembelian korset itu membantu mempopularkan penggunaan 'bra' di kalangan wanita ketika itu dan berjaya mewujudkan bekalan besi sebanyak 12,700 kilogram yang dapat digunakan untuk membina peralatan perang seperti kapal dan peluru. Tidak disangka-sangka juga selepas semakin ramai wanita menyedari mudahnya mereka bergerak ketika bekerja semasa memakai bra berbanding korset, penggunaan korset semakin lama semakin pudar popularitinya.

Selepas perang dunia tamat, wanita zaman tersebut terus mengamalkan pemakaian bra atau baju dalam yang jauh lebih menyenangkan mereka. Tradisi itu diteruskan dengan pengenalan sistem ukuran bra pada tahun 1932 yang memperkenalkan pada kita ukuran menggunakan huruf A,B,C dan D dan penggunaan fabrik elastik yang mengikat bra pada tubuh pada pertengahan tahun 1930-an. Penggunaan wayar dalaman atau 'underwire' bagi mengukuhkan struktur penyokong buah dada pada bra diperkenalkan pada tahun 1937.

Ancaman tradisi pemakaian bra pada zaman moden

Walaupun majoriti masyarakat dunia masih lagi meneruskan pemakaian bra yang dicipta hampir 100 tahun lalu, populariti bra kini sedang berdepan ancaman kumpulan wanita yang mahu memperjuangkan kebebasan sepenuhnya  cara wanita berpakaian.

Kumpulan ini yang berpendapat wanita sepatutnya tidak 'dikurung' atau 'diikat' dengan menggunakan bra atau korset (yang masih lagi diamalkan pada waktu tertentu) dan sepatutnya dibenarkan untuk membiarkan sahaja buah dada mereka bergantung-gantungan tanpa penyokong, mengikut pendapat wanita itu.

Malahan lebih teruk lagi, ada juga kelompok wanita yang mahukan kebebasan sepenuhnya untuk mereka menayangkan puting payudara , sama seperti lelaki. Gerakan seperti Free the Nipple dan Topfreedom merupakan dua kumpulan terbesar yang mahukan perubahan drastik masyarakat dunia, dalam cara kita melihat status buah dada. Sambutan-sambutan seperti Go Topless Day kini sudah menjadi satu perayaan tahunan yang diadakan setiap tahun, serta disambut jutaan wanita seluruh dunia.

Pemakaian korset perlu mengambil masa beratus-ratus tahun sebelum menjadi satu kebiasaan, sebelum digantikan dengan pemakaian bra yang mengambil belasan tahun untuk benar-benar popular.

Kami tidak tahu adakah gerakan-gerakan anti-bra ini benar-benar boleh mengubah budaya pemakaian wanita di seluruh dunia. Agak aneh juga sekiranya 5 tahun lagi, kami terpaksa pula menulis artikel 'mengapa kaum wanita berhenti memakai baju dalam'.

Harapan kami, kita di Malaysia tak sampailah ke tahap itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)