Kredit foto: Instagram Astro Shaw
Cukup membanggakan apabila filem terbaru terbitan Astro Shaw iaitu Dukun berjaya mengumpul kutipan hampir RM1.5 juta hanya dalam tempoh sehari tayangan.
Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata, kutipan hari pertama pada 5 April itu merupakan hasil pungutan dari 120 pawagam.
Sementara itu, bakal ada penambahan pawagam sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 133 pawagam menayangkan Dukun, termasuk di negara Brunei.
Kredit foto: Kosmo! Online
“Kami dengan rasa berbesar hati mengumumkan filem Dukun membuka tayangan di pawagam pada hari pertama tayangan dengan membuat kutipan menghampiri RM1.5 juta dan kutipan ini adalah hasil dari 120 pawagam.
“Pihak Astro Shaw juga menerima berita baik dari pihak pempamer, ada penambahan pawagam dengan menjadi keseluruhan sebanyak 133 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei," kata Najwa memetik laporan portal Astro Gempak.
Di kesempatan itu, Najwa merakamkan ucapan penghargaan kepada para peminat yang memberikan sokongan penuh terhadap filem seram kontroversi yang terperap selama 12 tahun itu.
Kredit foto: Instagram Astro Shaw
“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penonton yang menonton filem ini di pawagam. Semoga filem ini menunjukkan hasil positif dan kepada mereka yang masih belum berkesempatan, segera ke pawagam berdekatan untuk menonton Dukun,” katanya lagi.
Di bawah arahan Dain Said, Dukun menggandingkan barisan para pelakon hebat tanahair seperti Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussien, Namron, Bront Palarae, Elyana, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.
Teruskan bersama Iluminasi untuk perkembangan selanjutnya tentang jumlah kutipan dan sambutan filem Dukun sepanjang ditayangkan.