Penulisan ini ditulis Dr. Rusyainie Ramli, seorang doktor perubatan di laman Facebook nya dan pihak iluminasi telah mendapat izin untuk mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Penulisan ini telah disunting bagi memudahkan pembacaan.
Saya sudah lama perhatikan bani klimaks, suku sakat dan kaum kerabat mereka ini berkeliaran macam zombies dalam siri The Walking Dead dalam Facebook. Dengan tiada langsung rasa malu dan aib bila bercerita tentang hubungan kelamin suami isteri. Cara mereka mempromosikan produk mereka sungguh meloyakan.
Memualkan. Menjijikkan.
Wanita melayu terutamanya dimomokkan dengan ayat-ayat mengancam. Ala-ala faraj tu nak pakai lama. Mesti kena ketat. Kalau tak jaga faraj tu nanti suami tinggal.
Suami cari lain. Suami makan luar.
Dah gerun dan takut, pengguna pun berebut-rebut beli jamu pengetat tu. Duit berkepuk-kepuk dan berdenting-denting dalam poket bani klimaks. Bani klimaks ni siap tunjuk ajar macam mana nak meruang dan masukkan jamu yang diproses belakang rumah, dalam vagina. Belakang rumah adik, kakak dan makcik oi!
Macamlah bersih berkilat dan ikut piawaian antarabangsa belakang rumah dia. 'Herba-herba' bani klimaks guna tu gerenti ke bebas dari kulat, bakteria bagai? Eloklah sangat kan, tumbuk-tumbuk dan kisar-kisar kemudian kita yang naif ni beli, makan dan sumbat dalam faraj. Meremang bulu roma saya bila saya fikir bab ni dan tulis status begini.
Bani klimaks ni merosakkan dan mencemarkan kesucian sebuah perkahwinan. Bagi mereka, perkahwinan yang sempurna itu hanyalah berdasarkan persembahan di ranjang. Itukah yang diajar di dalam Islam? Inikah yang diwarisi budaya Melayu?
Akibat pengaruh filem lucah, media dan pandangan orang, kita dihadapkan dengan persepsi yang saiz organ luaran seksual termasuk berapa longgar atau ketatnya faraj itu berkait rapat dengan tahap kepuasan nafsu fitrah manusia.
Kalau itu ukuran kita, kita tidak ada bezanya dengan binatang. Binatang, Tuhan jadikan kena berdansa la, berbunyi la, berwarna-warni la untuk menarik perhatian jantina yang lagi satu. Apakah kalau wanita itu dadanya leper, atau sudah beranak 7 8 orang, dia akan ditinggalkan kerana lelaki seperti binatang mencari pasangan lain?
Atau kalau lelaki itu saiz zakarnya kecil, dia tidak layak mempunyai pasangan?
Betapa ceteknya dan dangkalnya kita sebagai manusia kalau begitu. Semacam tidak bertamadun.
Dalam masyarakat yang begitu liberal di barat sekali pun, hubungan kelamin suami isteri itu adalah satu perkara yang sungguh suci dan sekiranya pasangan itu curang, ia tidak boleh diterima langsung oleh mereka.
Hubungan kelamin yang benar sebenarnya lahir dari cinta dan kasih sayang antara suami dan isterinya. Hadir dari rasa hormat menghormati dan toleransi yang dibina dalam perkahwinan itu.
Saya ada pesakit yang pernah memberitahu yang hubungan kelamin antara dirinya dan isterinya seperti dia melanggan pelacur kerana rumahtangga mereka sudah lama retak menanti belah. Hanya untuk puaskan nafus serakah saja.
Wanita yang beria-ia dan bersungguh-sungguh makan segala mak bapak jamu ni, sudah-sudahlah. Itu belum masuk topik jahanam segala organ badan macam buah pinggang dan hati akibat melantak jamu. TIDAK PERLU JAMU PUN. Yang penting, kena pastikan :
- Pemakanan yang lengkap dengan nutrisi.
- Berat badan ideal. Kita orang asia. BMI tak boleh lebih 23.
- Bersenam. Saya jadi bibik kat rumah. Tulah senaman saya. Susah tau nak pastikan rumah sentiasa kemas.
Saya bebel banyak kali :
- Rancang keluarga. Anak-anak berderet dan rapat-rapat, kita tak sempat nak sembuh dari proses mengandung dan bersalin. Tak campur lagi dengan beban nak besarkan anak-anak. Ini bukan benda main-main. Penat tak terkata. Lelah tak terkira.
- Didik anak-anak tidur awal. Ni tak, anak umur 1 tahun, tidur pukul 1 pagi. Saya dah siap tulis 3 bahagian kat FB cara nak tidurkan anak-anak ikut tahap umur.
- Asingkan tempat tidur. Ni pun saya dah tulis sebab musababnya. Berjela lagi.
Semua tu gunanya nak bantu wanita seperti ini mempunyai kesihatan fizikal, mental dan sosial yang baik untuk menguruskan rumahtangga dan seterusnya menjadi pasangan yang mampu menjalankan tanggungjawab kepada suami.
Badan dah lunyai. Tidur tak cukup. Makan ala kadar. Emosi dah tak keruan. Jangan mimpi nak ada hubungan kelamin yang baik dan sihat. Ada pesakit saya kata, hubungan kelamin dia macam touch 'n' go. Silap hari bulan macam smart tag.
Tidak ada pil magik untuk semua itu. Kalau ada masalah berkaitan dengan hubungan kelamin, DAPATKAN NASIHAT DOKTOR. Bukan dalam talian, saya pun tak buat konsultasi kat Facebook.
Pergi jumpa doktor tu. Tanya segala yang musykil. Bincang sampai puas hati. Rawat apa yang patut. Bukan tanya pada bani klimaks yang buta pekak dalam bidang perubatan tapi perasan gah dan hebat. Bukan apa, nak duit kan. Malu campak tepi jalan. Aib letak dalam longkang.
Bila jadi komplikasi, apa susah, doktor dan hospital kan ada. Biar kami lah yang membersihkan sisa kejahatan dan hasil ketamakan bani klimaks.