Oleh pada 25 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Hans Isaac & Instagram Zizan Razak

Aktor Datuk Hans Isaac melahirkan kekesalan terhadap jenaka yang dilontarkan pengacara Anugerah Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29), Zizan Razak ketika acara tersebut berlangsung.

Jelas Hans, Zizan sewajarnya menjaga elemen gurauan dalam pertuturannya terutama ketika mengendalikan sebuah acara yang berprestij.

Aktor itu mengakui berasa terkesan, malah jenaka Zizan turut memberi tempias buruk terhadap kredibiliti Sultan.

"Terus-terang saya memang kecewa Zizan membuat lawak mempersoalkan gelaran Datuk yang saya terima daripada Sultan Pahang.

"Lawak tersebut telah membuatkan nama dan imej saya terjejas. Dia sebagai seorang pelawak tidak seharuskan menggunakan eleman lawak sebegitu.

"Dia bukan sahaja mempertikaikan kredibiliti saya tetapi juga Sultan," kata Hans seperti dilaporkan portal Mstar Online.

Hans membuat kenyataan tersebut ketika mengulas tentang kiriman Instagramnya yang dimuat naik sejurus selepas FFM29 selesai.

dimalukan zizan ini respon bengang hans isaac 2

Kredit foto: Instagram Hans Isaac

Dalam kiriman tersebut, Hans mempertikaikan kredibiliti Zizan sebagai pengacara anugerah yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Sabtu.

Ini susulan gurauan Zizan yang mempertikaikan gelaran Datuk yang diperolehnya.

Selain aktor berusia 46 tahun itu, Datuk Eizlan Yusof juga turut menjadi mangsa usikan nakal pengacara terbabit berkaitan isu yang sama.

Dalam pada itu, Hans menegaskan tindakannya bersuara juga adalah untuk mempertahankan maruah anak-anak seni lain yang turut membawa gelaran tersebut.

"Saya hanya memberitahu perkara yang benar dan mempertahankan rakan-rakan yang lain. Dia tidak sepatutnya memperkecilkan kredibiliti orang lain.

"Saya terima gelaran ini secara profesional atas usaha saya selama 25 tahun di dalam industri seni.

"Macam-macam saya usahakan untuk memajukan industri. Bukan saya meminta-minta sendiri gelaran tersebut," luahnya.

Sementara itu, Hans memberitahu Zizan ada membuat beberapa panggilan telefon sejak malam acara itu, namun dia enggan menjawab kerana masih terasa hati dengan apa yang berlaku.

"Zizan ada hubungi saya sejak malam tadi. Tapi saya tidak mahu membalas segala panggilannnya.

"Buat masa ini, saya memang tidak dapat terima apa yang dia katakan," akui Hans.

Untuk info, Hans mendapat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa kepada gelaran Datuk pada tahun lepas bersama dua lagi rakan artis iaitu Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Ziela Jalil.

Usaha untuk mendapatkan Eizlan bagi mengulas isu yang sama gagal kerana aktor itu mempunyai urusan lain.  

Sumber berita: Mstar



Hakcipta iluminasi.com (2017)