Seperti sedia maklum, kos sara hidup kini semakin meningkat dari hari ke hari. Jika 50 ringgit yang dahulunya boleh bertahan sehingga seminggu, tapi tidak hari ini. Masalah yang membelenggu ini tidak tertumpu kepada masyarakat bandar sahaja , tetapi ia bersifat nasional. Pakar ekonomi pula mula mencongak pelbagai susun atur buat panduan rakyat tentang perihal pengurusan kewangan dan sebagainya. Pelbagai teoritikal yang keluar oleh para penulis dan cendekiawan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kita acapkali terbaca artikel mengenai keburukan dan kesan sampingan membuat pinjaman bank. Graduan yang baru bekerja pula disaran supaya mengelakkan diri dari dari membuat pinjaman bank demi mengelak implikasi jangka panjang yang bakal dihadapi. Antara tajuk hangat yang dibahaskan ialah graduan yang baru memasuki alam pekerjaan tidak digalakkan membeli kereta dan sebagainya yang melibatkan pinjaman kredit di bank. Namun sejauh manakah kebenaran teori itu? Atau ia hanya omongan yang bermodalkan air liur.
Jika kita dalami secara halus, isu ini sangat subjektif kerana melibatkan pelbagai aspek. Secara amnya, kenderaan merupakan salah satu keperluan yang tertakluk dalam kebanyakan syarat permohonan kerja yang dikeluarkan oleh majikan. Mereka lebih mengutamakan pekerja yang memiliki lesen dan mampu ke tempat kerja sendiri. Bagi mereka yang sudah memiliki kenderaan, tidak menjadi isu. Tetapi bagaimana pula dengan yang tidak punyai kenderaan? Mungkin ada yang berbicara mengenai kemudahan awam seperti bas, Lrt, KTM dan sebagainya. Bagaimana pula mereka yang dikawasan luar bandar yang susah untuk mendapatkan kemudahan awam. Mungkin masih ada bas, tetapi ia tidak efisien dari segi jadual bas itu sendiri dan tenaga yang dihabiskan.
Mungkin bagi individu yang sudah memiliki motosikal, masih boleh menggunakan untuk permulaan dua tahun pertama di alam pekerjaan. Bagi lelaki, ia masih relevan, tetapi untuk wanita ia mungkin timbul sedikit isu dari segi keselamatan. Belum lagi soal hujan atau ribut. Tak kurang juga yang menasihati supaya menggunakan kenderaan ibu bapa buat sementara waktu. Akan tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang kurang bernasib baik, ibu bapa tidak pernah memiliki kenderaan sendiri.
Ada yang berpendapat, dari berhutang lebih baik beli kereta terpakai. Juga perlu diketahui, kereta terpakai mempunyai pelbagai jenis penjualannya. Ada yang menerima tunai sahaja, ada juga yang boleh dibeli dengan pinjaman tetapi mengikut tahun tertentu. Bagi individu yang baru bekerja, tunai sekurang-kurangnya sepuluh ribu adalah mustahil bagi mereka yang berpendapatan sekitar Rm1500 ke Rm2500 sebulan. Belum lagi diambil kira masalah teknikal yang akan datang, maklumlah kereta terpakai. Tetapi ada juga yang kereta terpakai yang masih bagus performancenya bergantung pada nasib.
Oleh itu, dalam hal ini kita perlu mengkaji secara total, tentang keperluan yang mendesak. Ia bukan soal kereta siapa lebih mahal, tetapi mengenai medium perantara antara anda dan tempat kerja. Anggaplah potongan gaji Rm300 ke Rm500 untuk kereta pertama anda sebagai inisiatif demi kesenangan dan keselamatan. Siang malam bertungkus lumus memerah keringat dan kudrat, ditambah dengan kerja lebih masa, apalah kiranya kereta itu sebagai self reward buat diri anda.
Tetapi harus diingat, pemilihan kereta pertama anda itu haruslah sepadan dengan pendapatan. Ukur baju dibadan sendiri. Jangan pula potongan gaji melebihi baki yang tinggal. Ini akan menjadi masalah akibat tidak dapat mengawal nafsu dan akhirnya terpaksa mengikat perut di hujung bulan.
Kesimpulannya, pada zaman yang menghimpit kita dengan pelbagai cukai dan kos sara hidup yang tinggi, kita tidak dapat lari dari berhutang/loan. Ini kerana rata-rata daripada kita bukanlah datang dari keluarga elit, apatah lagi kerabat diraja. Mahu atau tidak kita akan berdepan dengan semua ini, namun apa yang membezakan ialah bagaimana cara menguruskan kewangan. Buat masyarakat di bandar, jika masih terdapat option seperti kenderaan awam, manfaatkan. Bagi mereka yang membeli kereta, cuba minimumkan perbelanjaan bulanan ikut kemampuan dan kawal selia akaun dengan rapi supaya segalanya teratur. Diharap kupasan ini dapat menepis segala momokkan tentang kesan negatif buat graduan yang membeli kereta ketika baru mula bekerja.