Kredit foto: Instagram Shahir Zawawi
Penyanyi Shahir Zawawi mahu memberikan tumpuan kepada Konsert Akhir AF Megastar sekaligus enggan menjaja kisah hubungannya dengan aktres Erra Fazira.
Bagaimanapun dia tidak menolak sekiranya jodoh menjadi dengan primadona itu dan pastinya akan berkongsi dengan para peminat bila tiba masanya nanti.
"Saya tidak mahu dikatakan terlalu menjaja perkara ini (perhubungan dengan Erra). Oleh itu, lebih baik sekiranya saya melangsaikan dulu tugas di pentas AF Megastar.
"Apa yang boleh saya katakan, sekiranya ada jodoh antara kami, pastinya saya akan membuat pengumuman rasmi mengenainya. Terima kasih kerana memahami situasi saya," katanya memetik laporan portal BH Online.
Status hubungan Shahir dan Erra masih menjadi persoalan ramai kerana pasangan itu sering mengelak daripada menjawab pertanyaan media.
Dalam pada itu, Shahir menjadi antara peserta yang terpilih untuk bertanding di Konsert Akhir AF Megastar bersama empat lagi finalis iaitu Marsha, Idayu, Bob dan Syamel.
Sewaktu persaingan separuh akhir, bekas juara Akademi Fantasia Musim Kelapan itu mempertaruhkan lagu Warkah Untukku untuk tema 'Lagu Carta' dan Hello untuk tema 'Lagu Duet'.
Sementara itu, menjawab khabar angin yang mengatakan dirinya sukar menerima pendapat, penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, dia bersedia dikritik asalkan tidak bertentangan dengan prinsip yang dipegang.
"Tidak salah untuk menerima teguran, apatah lagi untuk kebaikan diri sendiri. Cuma, tidaklah sekiranya perkara itu bertentangan dengan prinsip saya.
"Saya tidak mahu menjadi manusia yang bodoh sombong, sebaliknya tetap berpegang dengan apa yang saya perjuangkan selama ini. Usaha dan sokongan padu yang diberikan oleh peminat pula sentiasa menjadi pembakar semangat saya," katanya lagi.
Sumber berita: BH Online