Kredit foto: Instagram @mel77_melati
Pembantu peribadi kepada Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Melati Abdul Ghani, 41, menegaskan aksinya dalam video yang dikongsi di Instagram bukanlah bermaksud untuk mengampu majikannya.
Sebaliknya, Mel berasa terkesan apabila Aliff dituduh menabur pasir ke periuk nasi para pelakon tempatan.
"Apabila ada orang tuduh Datuk kacau periuk nasi orang, itu yang saya buat video nak beritahu rezeki ni semua bukan orang itu yang tentukan.
"Saya peliklah, Datuk tak kacau orang pun, kenapa sampai tak puas hati dengan dia dan buat macam ini.
"Itu sekadar luahan hati saya. Bukan nak mengampu bos atau apa-apa. Kita bercakap benda betul tapi netizen sendiri yang tak boleh​ terima kenyataan," katanya menurut laporan Mstar Online.
Dalam rakaman video berdurasi 60 saat yang menarik perhatian ramai itu memperlihatkan Mel mengutuk tindakan aktres Amyza Aznan kerana mendakwa kononnya Aliff 'memperalatkan' bidang seni untuk kepentingan bisnes.
Amyza dalam kenyataan terdahulu yang dikeluarkan dalam ruangan komen status pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin, mengatakan betapa dia marah melihat Aliff seakan tidak dapat menerima kritikan penonton terhadap filem terbaharunya, Badang.
Dalam pada itu, Mel berkata, sudah menjadi kewajipannya sebagai pekerja untuk patuh dan memberi sokongan atas apa juga yang diperjuangkan majikan.
Justeru dia tidak terasa hati apabila digelar 'kaki ampu' dan bodek.
Kredit foto: Instagram @mel77_melati
"Tang mana saya jilat dan bodek tu? Saya hanya bekerja dan jalankan amanah sebaiknya. Kalau saya ni orang kaya, saya tak kerja. Baik saya duduk rumah jaga anak-anak.
"Jadi, saya sebagai pekerja semestinya akan berada di sisi dia ketika susah dan senang. Saya mohon jangan hina bos saya sedemikian rupa.
"Orang luar nak cakap apa pun cakaplah. Sebab kita tak boleh nak tutup mulut semua pihak. Tak semua orang suka kita," kata individu yang sudah enam tahun berkhidmat di syarikat pengasas jenama D'Herbs itu.
Sumber berita: Mstar