Kredit foto asal: Instagram.com/dayangsayangkamu
Penyanyi lagu tema Sukan SEA KL2017 bertajuk 'Bangkit Bersama', Dayang Nurfaizah enggan memandang serius terhadap komen segelintir pihak yang mengatakan lagu tersebut gagal memberikan impak yang sepatutnya terhadap acara sukan berprestij itu.
Dayang (36 tahun) berkata dia sudah mencuba sehabis baik dalam menyampaikan lagu ciptaan Datuk Ramli MS itu.
Bagi saya setiap orang ada pandangan tersendiri. Memang ada yang suka dan tidak, tetapi saya tak nak menjadikan ia satu masalah besar. Sebagai penyanyi saya sudah beri yang terbaik.
Dalam perkara ini saya terima setiap komen dan kritikan. Saya tak boleh kata saya seorang saja yang betul. Kalau ada yang menganggap lagu ini tidak membangkitkan semangat, saya terima.
Bagaimanapun, penyanyi yang baru sahaja tampil dengan single terbaru berjudul 'Separuh Mati Ku Bercinta' itu memberitahu kritikan yang membina juga perlu bagi mengelakkan dirinya 'berpeluk tubuh'.
Saya tak nak melatah dengan komen diberikan. Kalau semua beri komen bagus, nanti saya berasa selesa pula. Bagi saya perlu ada teguran bagi menambahbaik sesuatu perkara.
Malah, Dayang turut meluahkan rasa bangga kerana dipilih untuk menyanyikan lagu tema temasya dwi tahunan itu kerana ianya merupakan suatu tanggungjawab besar yang mungkin digalasnya sekali seumur hidup.
Lagu ini berbeza daripada kebanyakan lagu saya sebelum ini. Secara peribadi lagu ini beri semangat kepada atlet negara dan seluruh rakyat Malaysia. Justeru peluang diberikan ini sesuatu yang sangat berharga.
Ia juga satu tanggungjawab buat saya kerana perlu menyampaikan mesej lagu kepada orang ramai. Pendek kata ia satu penghargaan tertinggi secara peribadi dan kerjaya saya.
Sumber berita: Harian Metro