Kredit foto: Instagram Dayang Nurfaizah
"Kemenangan ini sangat besar maknanya bagi saya, apatah lagi ia mengiktiraf hasil kerja penyanyi dan lagu dari rantau nusantara."
Demikian kata penyanyi Dayang Nurfaizah mengulas kemenangannya dalam dua anugerah utama kategori terbaik di acara Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) yang berlangsung di MES Theatre Mediacorp pada Sabtu.
Dayang merangkul trofi Artis Terbaik Wanita dan Lagu Terbaik Malaysia menerusi Lelaki Teragung, karya yang turut membawa tuah kemenangan kepadanya ketika menyertai Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31).
Menerusi kategori Artis Terbaik Wanita, Dayang dicabar tiga pesaing iaitu Isyana Sarasvati (Indonesia), Aisyah Aziz (Singapura) dan Raisa (Indonesia).
Manakala dalam kategori Lagu Terbaik Malaysia, 'Lelaki Teragung' menewaskan Jampi (Hael Husaini), Dirghahayu (Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza), Selamanya Cinta (Shila Amzah dan Alif Satar) dan Andainya Takdir (Anuar Zain).
Dalam pada itu, penyanyi berusia 36 tahun itu menganggap kemenangannya sebagai pemberi semangat untuk membuka langkah dalam melebarkan sayap ke negara seberang.
Kredit foto: Instagram Dayang Nurfaizah
Menyentuh mengenai ketiadaannya di acara itu, Dayang menjelaskan dia mempunyai komitmen lain yang telah dipersetujui lebih awal.
"Saya mengambil kesempatan atas kemenangan ini untuk merakamkan terima kasih kepada pihak juri di APM 2017 dalam menilai bakat dan karya yang saya ketengahkan.
"Saya turut dedikasikan kemenangan ini kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung sehingga membolehkan saya mahupun lagu Lelaki Teragung mencapai banyak kejayaan di dalam mahupun luar negara," katanya.
Dua lagi pencalonan lain diterima Dayang ialah Lagu Paling Popular dan Artis Paling Popular APM 2017.
Sumber berita: Astro Gempak